Dari Jalan Yap Kwan Seng saya ke Jalan Kia Peng di Bukit Bintang untuk staycation saya seterusnya. Hotel ini adalah salah satu hotel di bawah rangkaian Accor dan saya telah menggunakan aplikasi Accor All untuk menempah bilik deluxe yang berharga RM294.15 (harga ini tidak termasuk sarapan pagi). Sebenarnya saya pernah ke hotel ini pada bulan Julai 2021 iaitu ketika masih lagi di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Harga semua hotel ketika PKP sememangnya murah dan ketika itu harga hotel ini hanyalah RM157.25.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.45 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobi hotel ini tidaklah besar dan sangat ringkas (simple). Di aras yang sama terdapat juga sebuah kafe di mana terdapat banyak sofa untuk pengunjung duduk. Saya terus sahaja membuat proses daftar masuk (check-in) dan masa yang diperlukan untuk proses ini sekejap sahaja. Oleh kerana bilik saya masih lagi belum sedia, saya meletakan barang-barang terlebih dahulu dan kemudiannya pergi ke Pavilion untuk makan tengahari.
Saya pulang semula ke hotel kira-kira pukul 3 petang dan terus menerima kunci bilik yang terletak di Tingkat 18. Hotel ini mempunyai hanya 3 buah lif dan masa untuk menunggu tidaklah lama kerana pengunjung tidaklah ramai. Bilik deluxe hotel ini mempunyai keluasan 301 kaki persegi dan ianya tidaklah besar, tetapi tidak juga terlalu kecil. Sebaik memasuki bilik terdapat almari di sebelah kanan pintu masuk dan di sebelah kiri pula adalah bilik mandi. Almari ini selain menempatkan tempat untuk menyangkut baju, terdapat juga peti simpanan keselamatan dan juga seterika serta papan seterika. Di sebelah almari ini terdapat satu kabinet menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik. Di sebelah kabinet ini terdapat satu rak kecil bagi pengunjung meletakan beg dan barang-barang.
Selain satu katil king, terdapat satu sofa kecil di sebelah kiri katil iaitu di tepi tingkap. Di hadapan sofa ini diletakan satu meja bulat yang kecil. Di sebelah kiri kaki katil pula terdapat satu meja kerja serta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja pejabat di sini. Di atas meja ini terdapat satu lampu bacaan. Hotel ini menyediakan TV yang besar, mungkin bersaiz 65 inci yang dilekatkan di dinding bertentangan dengan kaki katil.
Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Hotel ini menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula terdapat hanya pancuran jenis pegang. Ruang untuk pancurannya agak kecil tetapi masih lagi selesa. Hotel ini menyediakan peralatan mandian sepeti berus gigi dan tuala tangan. Di sebelah singki terdapat penapis air bagi kegunaan pengunjung untuk air minuman kerana hotel ini tidak menyediakan air mineral seperti kebanyakan hotel.
Kolam renang hotel ini terdapat di Tingkat 3 dan saiz kolamnya kecil sahaja tetapi mempunyai kawasan yang agak luas dan cantik. Selain kolam renang untuk dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak tetapi saiznya sangat kecil. Kolam renang hotel ini dibuka pada jam 7 pagi hingga 8 malam. Di tepi kolam renang terdapat juga gimnasium tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi. Selain itu di aras yang sama terdapat sebuah surau bagi kegunaan pengunjung muslim.
Hotel ini menyediakan wifi percuma yang laju tetapi kelajuannya tidak begitu stabil. Di petang Sabtu kelajuannya mencecah 178mbps tetapi di pagi Ahad kelajuannya turun ke 22mbps. Bagi telco pula, Tune Talk (5G) mencapai kelajuan 101mbps sementara Celcom (4G) pula hanya berkelajuan 53mbps. Siaran TV pula agak banyak dan kebanyakannya di dalam bentuk HD dan tekanan air di bilik mandi juga kuat. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining yang beroperasi 24 jam dan untuk perbandingan harga, nasi goreng dan mee goreng mamak berharga RM33 dan jus buah-buahan pula berharga RM18. Bagi yang membawa kenderaan sendiri, hotel ini menyediakan parkir tetapi parkirnya agak sempit (mungkin akan menjadi masalah kepada pengunjung yang membawa kenderaan yang bersaiz besar). Hotel ini mengenakan bayaran sebanyak RM5 untuk sehari.
Setelah 2 kali ke hotel ini secara peribadi saya agak gemar dengan hotel ini kerana lokasinya yang terletak berhampiran dengan Pavilion. Pengunjung boleh berjalan kaki menggunakan jejantas untuk ke Pavilion dari hotel ini yang mengambil masa tidak sampai pun 5 minit. Walaupun hotel ini letaknya di Bukit Bintang, sebenarnya jarak ke KLCC hanyalah kira-kira 700 meter (10 minit jika berjalan kaki). Hotel ini boleh dijadikan pilihan jika pembaca ingin bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di Bukit Bintang dan juga KLCC. Harga hotel ini agak murah jika dibandingkan dengan harga hotel yang terdapat di sekitarnya seperti Banyan Tree dan juga Pullman. Hotel ini walaupun agak lama tetapi ianya bersih dan juga selesa cuma di waktu malam biliknya agak gelap kerana tidak terdapat lampu di siling, begitu juga dengan penghawa dinginnya yang agak bising. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak kira-kira 750 meter dari Stesen MRT dan 850 meter dari Stesen Monorel Bukit Bintang.
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Comentarios