top of page
Search
hanuds

MPalace Hotel Kuala Lumpur (3-4/6/23)

Hotel ini letaknya di penghujung Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur berhadapan dengan Pawagam Coliseum dan di sebelahnya pula ialah Gedung Kamdar. Saya menempah hotel ini dengan menggunakan aplikasi Trip.com dan memilih bilik jenis deluxe yang berharga RM153.28 (tanpa sarapan). Bilik jenis deluxe ini mempunyai keluasan 290 kaki persegi.


Saya tiba di hotel pada pukul 2.30 petang dan terus sahaja ke lobi yang terletak di tingkat 2. Terdapat hanya 2 buah lif di hotel ini. Lobi hotel agak besar dan semasa saya tiba hanya terdapat seorang pekerja yang sedang bertugas. Pada masa itu terdapat hanya seorang tetamu dan proses untuk pendaftaran masuk (check-in) sangat cepat. Hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM100. Selain kaunter terdapat sebuah restoran di aras yang sama.


Saiz bilik jenis deluxe ini kecil sahaja. Sebaik memasuki bilik, bila air letaknya di hadapan pintu masuk. Selain satu katil queen, terdapat satu almari kecil di sebelah kanan kaki katil yang mempunyai pintu gelongsor (pintunya adalah cermin muka sepenuhnya). Di dalam almari ini terdapat penyangkut baju dan juga peti simpanan keselamatan. Di sebelah almari ini terdapat satu rak yang menempatkan peralatan untuk membancuh kopi dan juga teh, termasuklah cerek letrik. Kemudian di sebelah rak ini pula letaknya satu meja kerja yang kecil dan di atasnya pula terdapat TV berukuran 40 inci yang digantung di dinding. Bilik ini tidak menyediakan peti sejuk dan juga seterika.


Saiz bilik airnya juga kecil menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya pula ditutupi cermin seratus peratus lutsinar dan ruangnya agak sempit. Terdapat hanya pancuran jenis siling di bilik air hotel ini. Hotel ini menyediakan hanya tuala mandi, sabun dan shampu sahaja. Hotel ini tidak mempunyai kolam renang.


Di dalam bilik kelajuan wifi agak laju mencapai kelajuan 53mbps. Telco pula sangat laju di mana Celcom mencapai kelajuan sehingga 118mbps dan Tune Talk pula 80mbps. Hanya beberapa siaran TV sahaja yang ada dan ianya bukanlah dalam bentuk HD. Di bilik mandi tekanan airnya sangat kuat tetapi saya tidak begitu gemar dengan pancuran yang digunakan. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses dan mengambil kembali wang deposit.


Secara peribadi dengan fasiliti yang disediakan hotel ini agak mahal bagi saya (tidak menyediakan peti sejuk dan juga seterika) tetapi lokasinya sangat strategik. Hotel ini sangat bersih cuma saya tidak begitu menyukai haruman yang digunakan. Hotel ini secara umumnya sesuai kepada yang ingin membeli belah di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR). Kompleks membeli-belah SOGO hanyalah 450 meter dari hotel ini. Di malam minggu pengunjung boleh ke Pasar Malam Jalan TAR yang terletak di belakang hotel ini sahaja. Pengunjung juga boleh bersiar-siar di Dataran Merdeka yang terletak hanyalah 550 meter dari hotel. Cuma yang menjadi masalah ialah parkir yang tidak disediakan tetapi terdapat beberapa parkir awam berbayar di sekitar hotel. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak 500 meter ke Stesen LRT Bandaraya dan 550 meter ke Stesen LRT Masjid Jamek.


Bilik


Bilik Air


Hotel


Dataran Merdeka


98 views0 comments

Commentaires


Post: Blog2_Post
bottom of page