Staycation saya minggu ini masih lagi di Putrajaya iaitu di satu lagi hotel di bawah rangkaian Marriott. Hotel ini baru sahaja memulakan operasinya pada Febuari lepas. Apa yang menarik tentang hotel ini ialah lokasinya yang terletak bersebelahan dengan IOI City Mall. Sekali lagi saya membuat tempahan bilik menggunakan aplikasi Trip.com kerana harganya yang lebih murah jika dibandingkan dengan aplikasi Marriott Bonvoy. Harga bilik jenis Moxy Queen ini ialah RM355.14 dan harga ini tidak termasuk sarapan pagi.
Saya tiba di hotel agak awal iaitu pada jam 12.30 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk proses daftar masuk. Hotel ini mempunyai ruang lobi yang luas dan cantik serta agak unik. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan layanan kakitangan yang bertugas juga cukup baik dan mesra. Walaupun saya tiba agak awal, saya terus sahaja diberi kad akses bilik kerana bilik saya telah pun sedia. Waktu rasmi untuk masuk ke hotel ini ialah pada jam 3 petang. Terdapat 5 buah lif untuk ke bilik dan oleh kerana pengunjung masih lagi tidak ramai, masa untuk menunggu lif tidaklah lama.
Dengan keluasan hanya 236 kaki persegi bilik Moxy Queen ini agak kecil tetapi masih lagi selesa. Biliknya agak ringkas (simple) tetapi cantik. Sebaik memasuki bilik, bilik airnya terletak di sebelah kiri pintu masuk dan di sebelah kanan pula terdapat tempat untuk menyangkut baju yang terbuka. Hanya ada beberapa penyangkut baju disediakan. Di sebelah pintu bilik air pula terdapat satu kabinet menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di ruang katil selain satu katil queen, terdapat satu sofa bujang di sebelah kiri katil. Meja kerja pula terletak di penjuru kiri kaki katil dan saiznya kecil sahaja. Seperti kebanyakan hotel yang lain, TV digantung di dinding berhadapan dengan kaki katil dan hotel ini menyediakan TV yang sangat besar, mungkin bersaiz 65 inci.
Bilik airnya pula sederhana luas menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Pintu bilik airnya menggunakan pintu gelongsor yang boleh dikunci dari dalam. Hotel ini tidak menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan hanya menggunakan mangkuk tandas yang terdapat paip di dalamnya. Ruang pancuran pula agak luas ditutupi oleh cermin seratus peratus lutsinar. Terdapat pancuran jenis pegang dan juga siling disediakan di dalamnya. Hotel ini ada menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala tangan dan juga tuala muka.
Kolam renang hotel ini terdapat di Tingkat 2 dan ianya agak luas. Walau bagaimanapun tidak terdapat kolam renang untuk kanak-kanak di hotel ini. Kawasan kolam renang agak besar dan betul-betul mengadap ke IOI City Mall. Kawasan kolam renangnya agak cantik cuma saya tidak begitu gemar dengan susunan perabutnya yang terlalu banyak hingga menampakan kawasan kolam ini sangat padat. Waktu operasi kolam renang hotel ini ialah pada pukul 7 pagi sehingga ke 9 malam. Di aras yang sama juga terdapat sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam.
Jika pengunjung tidak menempah bilik berserta sarapan pagi, pangunjung boleh sahaja bersarapan pagi dengan bayaran RM38 untuk seorang. Saya sempat mencuba sarapan pagi di hotel ini iaitu di restoran yang terletak di lobi hotel. Menu yang disediakan tidaklah banyak tetapi sedap bagi saya cuma saya tidak begitu suka dengan susunatur makanannya yang terpisah jauh di banyak tempat. Di dalam bilik, wifi percuma yang disediakan tidak begitu stabil walaupun mempunyai kelajuan maksima 29mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 110mbps sementara Tune Talk pula sedikit perlahan dengan kelajuan 98mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang banyak dan kebanyakan siarannya di dalam bentuk HD. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, ianya kuat dan saya sangat puas mandi di pancurannya.
Bagi saya hotel ini mempunyai hiasan dalaman (interior) yang sangat cantik dan sesuai bagi yang gemar bergambar (ootd). Di sekitar ruang lobi terutamanya, banyak sudut-sudut hotel dihiasi dengan cantik. Bukan itu sahaja, pencahayaan di dalam hotel ini juga cantik dan seimbang di setiap sudut. Dari segi lokasinya pula, hotel ini terletak bersebelahan dengan IOI City Mall dan sangat sesuai kepada mereka yang ingin membeli-belah di mall tersebut. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini agak jauh dari Stesen MRT ataupun Stesen ERL Putrajaya iaitu kira-kira 10km. Jika membawa kenderaan sendiri, hotel ini ada menyediakan tempat letak kereta dan ianya adalah percuma kepada pengunjung hotel. Parkir valet juga ada disediakan dengan bayaran RM26. Jika ditanya hotel manakah yang lebih saya suka antara Hotel Marriott dan Moxy, secara peribadi saya lebih gemar menginap di Hotel Mariott kerana biliknya yang lebih luas serta suasana di hotel itu yang lebih tenang dan tenteram, sesuai untuk saya berehat dan bersantai di hotel. Satu lagi kelebihan Hotel Marriott ialah kolam renangnya yang sangat besar, sangat sesuai untuk membawa keluarga mandi-manda di kolamnya. Jika ada kelapangan, saya akan mencuba pula menginap di Hotel Le Meridien Putrajaya jika mendapat harga yang berpatutan.
Bilik
Bilik Air
Lobi
Kolam Renang
Hotel
Sarapan
Comments