Moxy Kuala Lumpur Chinatown (11-12/4/25)
- hanuds
- Apr 12
- 3 min read
Hotel kepunyaan YTL Corporation ini adalah salah satu hotel di bawah rangkaian Marriott. Ianya baru sahaja memulakan operasinya iaitu pada 1 April yang lepas. Bangunan hotel ini sebenarnya adalah bekas ibu pejabat Oriental Bank yang terletak di Jalan Hang Lekiu. Bangunan yang mempunyai 22 tingkat ini telah lama kosong sebelum ianya diubahsuai untuk dijadikan hotel. Dengan menggunakan aplikasi Marriott Bonvoy, saya menempah bilik jenis Moxy Deluxe, Guest Room yang berharga RM285 dan ianya termasuk sarapan pagi untuk dua orang. Selepas ditambah caj perkhidmatan dan juga cukai, ianya menjadi RM336.30.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 5 petang dan terus sahaja ke lobi hotel yang terletak di tingkat bawah. Laluan pintu utama untuk ke lobi bukanlah dari bahagian depan tetapi ianya dari bahagian tengah bangunan iaitu dari laluan masuk ke parkir. Lobi hotel ini luas dan ianya sangat cantik. Proses daftar masuk sekejap sahaja kerana saya telahpun mendaftar masuk secara atas talian. Hotel ini tidak mengenakan sebarang deposit dan selepas mendapat kad akses bilik saya terus sahaja ke bilik saya di Tingkat 12. Saya diberi bilik di tingkat tinggi dan terletak di bahagian sudut (corner room) secara percuma (free upgrade). Terdapat empat buah lif di hotel ini dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk menunggu lif tidaklah lama.
Seperti hotel Moxy yang lain, bilik di hotel ini kecil sahaja. Bilik deluxe yang saya tempah hanya mempunyai keluasan 193 kaki persegi dan bilik yang saya inap ini mungkin luas sedikit. Sebaik melangkah masuk saya sangat teruja dengan interior bilik yang sangat cantik walaupun ianya agak padat. Di dinding sebelah kanan pintu masuk terdapat tempat untuk menyangkut baju dan pakaian yang terbuka. Di bahagian ini juga digantung satu meja kecil dan dua kerusi lipat yang boleh digunakan oleh pengunjung. Bersebelahan katil pula terdapat satu kerusi rehat yang kecil. Bilik ini mempunyai sebuah katil bersaiz queen yang dirapatkan ke dinding di bahagian tingkap cermin. Di bahagian kaki katil pula terdapat satu kabinet sederhana besar yang menempatkan TV bersaiz 50 inci.
Di sebelah kiri kaki katil pula terdapat singki di mana ianya terletak di luar bilik air. Di bahagian ini terdapat peti simpanan keselamatan dan juga sebuah peti sejuk mini. Di sebelah singki pula terdapat perkakas untuk membancuh minuman serta peralatan mandian sepert berus gigi dan juga tuala. Hotel ini menyediakan perkakas mandian yang lengkap termasuklah tuala tangan dan juga tuala muka. Tandas dan ruang pancuran pula terletak di sebelah singki dan ianya ditutupi oleh pintu cermin yang lut cahaya. Memasuki bilik airnya adalah ruang tandas dan di sebelahnya pula adalah ruang pancuran yang dipisahkan oleh pintu cermin yang seratus peratus lutsinar. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula terdapat dua jenis pancuran. Ruang pancurannya luas tetapi ianya bukanlah berbentuk segi empat tepat. Tingkap cermin hotel ini mempunyai bidai dan juga langsir. Bilik yang saya inap ini pemandangannya mengadap ke Stesen LRT Masjid Jamek dan pengunjung dapat mendengar bunyi LRT dengan jelas.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di Tingkat 9. Kawasan kolam renangnya sangat cantik kerana ianya adalah di ruang yang terbuka. Dari kolam renang pengunjung dapat melihat bangunan Merdeka 118, Menara Maybank serta Menara Kuala Lumpur. Di bahagian kolam renang juga terdapat sebuah bar serta kerusi dan sofa untuk pengunjung berehat dan bersantai. Di aras yang sama juga terdapat sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam tetapi saiznya kecil sahaja dan tidak banyak peralatan yang disediakan.
Sarapan pagi hotel ini adalah di restoran yang terletak di Tingkat Dua. Menu yang disediakan tidaklah banyak tetapi sudah memadai bagi saya. Nasi lemaknya sedap tetapi mi gorengnya biasa sahaja. Di dalam bilik wifi yang disediakan tidaklah laju, hanya mencapai kelajuan sekitar 15mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 591mbps sementara Tune Talk pula 544mbps. Hotel ini menyediakan Smart TV yang hanya mempunyai beberapa siaran asas, walau bagaimanapun ianya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya berpuas hati mandi di pancurannya. Hotel ini ada menyediakan parkir tetapi ianya bukanlah percuma, pengunjung akan dikenakan bayaran RM15 setiap kali menginap di sini.
Layanan kakitangan hotel ini sangat ramah dan secara peribadi saya sangat menyukai interior hotel ini yang bagi saya sangat cantik. Ruang lobi serta kolam renangnya di hias indah cuma ianya agak padat dengan kerusi dan sofa. Biliknya pula walaupun kecil tetapi disusun dengan cantik dan kemas. Jika dibandingkan dengan Moxy Putajaya saya lebih menyukai hotel ini, cuma lokasinya sahaja yang tidak saya gemar kerana terletak di kawasan yang dipenuhi warga asing. Di waktu malam kawasan ini dipenuhi pula dengan golongan gelandangan dan pengunjung mungkin tidak begitu selesa bersiar-siar di watu malam. Hotel ini terletak 300 meter dari Pasar Seni, 400 meter dari Dataran Merdeka dan juga Jalan Petaling (Petaling Street). Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini hanyalah 290 meter dari Stesen LRT Masjid Jamek.
Bilik
Bilik Air
Lobi
Kolam Renang
Hotel
Sarapan
Pemandangan dari Bilik
Comments