top of page
Search
hanuds

Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA (1-2/4/23)

Untuk staycation kali ini saya memilih satu hotel yang terletak di Sepang, Selangor. Hotel yang terletak bersebelahan Masjid Sultan Abdul Samad KLIA ini adalah salah satu hotel kepunyaan Tabung Haji di mana pengurusannya adalah di bawah Accor Hotels. Oleh kerana Accor All mengadakan promosi untuk ahlinya, saya telah menempah hotel ini menggunakan keahlian saya di Accor All. Saya telah memilih bilik yang paling kecil iaitu bilik superior berharga RM227.05 (tanpa sarapan).


Saya tiba di hotel pada pukul 3.00 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di tingkat bawah hotel. Hotel ini mempunyai rekabentuk bangunan yang agak unik. Selain kaunter terdapat juga restoran di lobinya serta sebuah kedai runcit. Terdapat sofa-sofa diletakan di lobi bagi pengunjung untuk berehat sambil menunggu proses pendaftaran. Proses pendaftarannya ringkas sahaja di mana saya hanya perlu menandatangani satu borang. Selepas menerima kad akses, saya terus sahaja menaiki lif menuju ke tingkat 7 (di dalam lif tingkat ini dilabelkan sebagai ‘Executive Floor’). Oleh kerana bangunannya agak memanjang, terdapat 3 bahagian lif dan di setiap bahagian pula mempunyai 2 lif menjadikan jumlah keseluruhan lifnya adalah 6 buah. Lifnya mempunyai dinding cermin yang lutsinar dan ianya tidak memerlukan kad akses untuk menggunakannya.


Bilik jenis superior ini mempunyai keluasan 387 kaki persegi dan agak besar. Sebaik memasuki bilik seperti kebanyakan hotel bilik air terdapat di sebelah pintu masuk. Selepas itu terdapat almari yang bertutup dengan pintu gelongsor dan saiznya agak besar. Di dalam almari ini terdapat tempat untuk menyangkut baju dan juga peti simpanan keselamatan. Terdapat 2 pasang jubah mandi (bathrobe) tergantung di dalamnya serta 2 pasang selipar. Selain itu terdapat juga seterika dan papan seterika serta lampu suluh dan juga penimbang (tetapi tidak mempunyai bateri) di dalam almari ini.


Di ruang bilik pula terdapat satu katil king di tengah-tengah serta 2 lampu tergantung yang cantik di kiri dan kanan katil. Di dinding bertentangan dengan kaki katil pula terdapat satu meja panjang dan di atasnya diletakan talipon dan juga mesin membancuh kopi. Terdapat juga satu lampu bacaan di atasnya dan satu kerusi di sebelah meja untuk pengunjung membaca atau melakukan kerja-kerja pejabat. Di hujung tepi meja pula terdapat satu kabinet bertutup di mana di dalamnya terdapat satu peti sejuk mini dan di atas kabinet ini pula terdapat perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh, termasuklah cerek letrik. Air minuman pula diletakan di dalam dua botol kaca. Di bahagian atas meja di dinding pula dilekatkan TV bersaiz besar, mungkin 55 ataupun 60 inci.


Bilik airnya mempunyai dua pintu iaitu berdekatan dengan pintu masuk dan juga bersebelahan katil. Saiznya agak besar menempatkan sinki, tandas, ruang pancuran (shower) dan juga bathtub. Ruang tandas dan juga pancuran berkongsi pintu gelongsor. Ini bermakna jika ruang tandas ditutup, ruang pancuran pula akan terbuka dan begitu juga sebaliknya. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang, walau bagaimanapun saiz ruang pancuran ini agak sempit. Di sebelah ruang pancuran ini pula terdapat bathtub yang saiznya agak besar. Peralatan mandian lengkap di sediakan yang diletakan di sebelah sinki.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 3. Oleh kerana hotel ini adalah hotel patuh syariah, terdapat kolam renang berasingan untuk lelaki dan perempuan. Saiz kolamnya besar dan lanskapnya agak cantik. Terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak bersebelahan dengan kolam renang dewasa. Waktu operasi kolam renang di hotel ini ialah antara jam 7 pagi dan 7 petang. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining dan harga makanannya bagi saya agak mahal. Sebagai perbandingan nasi goreng berharga RM58 dan sup cendawan pula berharga RM43.


Wifi percuma di dalam bilik tidak begitu laju, hanya sekitar 10mbps sahaja sementara telco pula agak perlahan di mana Celcom hanya mencapai kelajuan 47mbps sementara Tune Talk pula 33mbps. Siaran TV pula banyak dan kebanyakannya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula sangat kuat tetapi agak payah untuk mengawal suhunya. Bagi yang membawa kenderaan, hotel ini ada menyediakan parkir terbuka di sekitar hotel tetapi ianya bukanlah percuma. Pengunjung akan dikenakan RM5 untuk sekali masuk dan bayaran adalah menggunakan kad Touch & Go.


Secara peribadi saya rasa hotel ini agak murah dengan harga yang saya bayar (harga biasa adalah sekitar RM300). Saya agak suka dengan hotel ini kerana biliknya yang agak cantik dan hotel ini tidak pula sibuk kerana di luar musim haji. Saya berpendapat hotel ini berpotensi untuk lebih dikenali di kalangan pelancung dan bukanlah hanya dijadikan hotel transit untuk ke KLIA ataupun KLIA2. Hotel ini sesuai untuk keluarga yang ingin berehat dan bersantai di hotel kerana lokasinya yang terasing dan jauh dari Kuala Lumpur. Lokasi hotel ini adalah kira-kira 7km ke KLIA dan 3km ke Mitsui Premium Outlet. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak 7.3km ke Stesen ERL Salak Tinggi.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Hotel


60 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page