Untuk staycation pada minggu ini saya telah memilih satu hotel yang terletak di Bukit Bintang, iaitu di Jalan Berangan. Lokasi hotel ini agak strategik di mana ianya hanyalah kira-kira 250 meter sahaja ke Jalan Alor (jalan yang terkenal dengan street food di Kuala Lumpur) dan 800 meter ke pusat membeli-belah Pavilion. Selain itu hotel ini hanyalah 900 meter ke Berjaya Times Square. Melalui aplikasi Booking.com saya telah memilih bilik jenis King yang berharga RM161.80 dan ianya tanpa sarapan pagi. Bilik jenis ini mempunyai keluasan 204 kaki persegi.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2.40 petang dan terus sahaja ke lobi yang terletak di tingkat bawah. Bangunan hotel ini kecil sahaja, oleh itu lobinya tidaklah luas tetapi cantik. Terdapat 2 kakitangan yang bertugas pada masa itu yang sedang melayan 2 orang pengunjung hotel. Saya diminta untuk duduk terlebih dahulu sementara menunggu giliran saya untuk proses pendaftaran masuk (check-in). Masa untuk check-in tidaklah lama dan hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM200.
Sebaik sahaja menerima kad akses saya terus sahaja menaiki lif ke tingkat 5. Terdapat hanya 2 lif di hotel ini dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai masa untuk menunggu lif tidaklah lama. Hotel ini mempunyai 11 tingkat dan terdapat juga rooftop di atas bangunan. Dengan keluasan hanyalah 204 kaki persegi, bilik jenis ini kecil sahaja. Bilik hotel ini berlantaikan kayu sepenuhnya dan tidak terdapat karpet di dalam bilik jenis ini. Memasuki biliknya terdapat bilik air di sebelah kiri yang mempunyai pintu gelongsor yang tidak boleh dikunci. Ruang biliknya mempunyai satu katil king dan di sebelah kanan katil terdapat satu meja kecil dan juga satu bangku. Di atas meja ini terdapat talipon dan juga cerek letrik serta gelas tetapi tidak terdapat kopi ataupun teh disediakan. Di dinding bertentangan dengan kaki katil pula digantung TV berukuran 40 inci. Bilik jenis ini tidak mempunyai almari, hanya menyediakan tempat menyangkut baju serta tempat meletakan beg sahaja (hanya terdapat 2 penyangkut baju). Bilik jenis ini juga tidak menyediakan peti sejuk dan juga seterika.
Bilik airnya kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk mandi. Terdapat gelung paip disebelah mangkuk tandas dan hotel ini mempunyai ruang pancuran (shower) yang agak unik di mana bentuknya adalah separa bulatan. Terdapat hanya pancuran jenis pegang sahaja disediakan. Peralatan mandian pula hanyalah tuala mandi dan juga berus gigi. Selain itu di dalam bilik mandi juga terdapat peti simpanan keselamatan, pengering rambut dan juga selipar.
Walaupun bangunan hotel ini kecil sahaja tetapi ianya mempunyai kolam renang yang terletak di atas bangunan hotel (rooftop). Saiz kolamnya tidaklah besar tetapi pemandangan dari rooftop hotel ini cantik, terutamanya di waktu malam. Terdapat beberapa kerusi di sini untuk pengunjung bersantai di tepi kolam. Di sebelah kolam pula terdapat satu ruang yang diletakan seterika dan juga papan seterika bagi kegunaan pengunjung hotel (di dalam bilik tidak disediakan seterika). Hotel ini juga mempunyai gimnasium yang terletak di tingakt M. Wifi percuma di dalam bilik pula agak laju di mana kelajuannya mencapai 37mbps. Untuk telco pula, Tune Talk mempunyai kelajuan 95mbps sementara Celcom pula sedikit perlahan dengan kelajuan 82mbps. Siaran TV tidaklah banyak tetapi siarannya adalah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati.
Secara peribadi hotel ini bagi saya agak berpatutan dengan harganya. Bagi bilik jenis ini, ianya sesuai bagi yang datang secara solo atau berpasangan kerana saiz biliknya yang kecil. Jika datang bersama keluarga, hotel ini ada menyediakan bilik yang lebih besar iaitu The Nest dan juga The Entourage yang mempunyai keluasan 409 kaki persegi. Lokasi hotel ini memang strategik iaitu berdekatan dengan Jalan Alor dan juga pusat membeli-belah Pavilion. Terdapat banyak restoran dan juga kedai serbaneka berhampiran hotel ini. Di waktu malam, sekitar hotel ini sangat meriah terutamanya di malam minggu. Walaupun hotel ini tidaklah baru, tetapi biliknya bersih dan selesa serta mempunyai interior yang agak cantik. Cuma yang menjadi masalah ialah kepada yang membawa kenderaan kerana hotel ini tidak menyediakan parkir. Pengunjung perlu meletakan kereta mereka di parkir-parkir awam sekitar hotel.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Pemandangan dari Rooftop
Jalan-jalan di Bukit Bintang
Comments