top of page
Search
hanuds

MOV Hotel Kuala Lumpur (12-14/8/23)

Updated: Aug 15, 2023

Pada minggu ini saya kembali ke satu hotel yang pernah saya inap pada bulan Febuari yang lepas. Hotel ini letaknya di Bukit Bintang iaitu di Jalan Berangan. Jika pada Febuari lepas saya menginap di bilik jenis ‘King’, pada kali ini pula saya menginap di bilik yang dinamakan ‘The Nest’. Bilik ini agak unik kerana mempunyai 2 tingkat dan bersaiz agak besar iaitu 409 kaki persegi. Harga bilik jenis ini adalah sekitar RM550 bergantung kepada tarikh penginapan. Hotel ini agak popular kepada pelancong luar negara kerana setiap kali saya ke sini, ianya dipenuhi oleh pelancong asing.


Saya tiba di hotel pada pukul 2 petang dan terus sahaja ke lobi hotel yang letaknya di tingkat bawah. Lobinya kecil sahaja tetapi cantik dan kemas. Proses pendaftaran masuk (check-in) hanya mengambil masa beberapa minit dan sebaik mendapat kad akses saya terus sahaja menaiki lif untuk ke tingkat 11. Hanya terdapat dua buah lif di hotel ini tetapi lifnya agak laju walaupun pengunjung agak ramai.


Saya sebenarnya agak teruja bila memasuki bilik jenis ‘The Nest’ ini kerana hiasan dalamannya yang cantik, tidak seperti gambar yang saya lihat di internet. Sebaik memasuki bilik di sebelah kiri pintu masuk adalah rak kabinet yang menempatkan tempat untuk menggantung pakaian dan ianya adalah terbuka. Di bahagian bawahnya terdapat peti simpanan keselamatan dan juga perkakas untuk membancuh kopi dan teh yang diletakan di dalam laci. Di atas kabinet ini terdapat cerek letrik dan juga 2 botol air mineral. Ruang bawah bilik ini menempatkan ruang tamu yang cantik di mana terdapat jaring besi yang memisahkan antara ruang sofa dan juga ruang bilik air. Di bahagian mengadap bilik air ini terdapat satu meja panjang yang cantik menempatkan sinki dan peralatan mandian seperti berus gigi serta pengering rambut. Bilik jenis ini mempunyai bilik air dan tandas yang diasingkan di mana kedua-duanya boleh dikunci. Kedua-duanya agak luas cuma di dalam tandas tidak terdapat tempat untuk menggantung tuala.


Ruang tamu bilik ‘The Nest’ ini menempatkan satu sofa yang besar serta satu meja bulat yang kecil. Di bahagian mengadap tingkap terdapat satu lagi sofa yang sederhana besar yang tidak mempunyai penyandar. Di penjuru ruang tamu ini pula diletakan satu kabinet yang cantik. Kabinet ini mempunyai pintu dan di dalamnya terdapat 2 bahagian. Bahagian atas menempatkan TV bersaiz 40 inci dan di bahagian bawah pula diletakan peti ais mini. Oleh kerana kabinet ini mempunyai pintu, ianya sedikit mengganggu bila menonton TV oleh kerana pintunya tidak boleh dibuka luas, hanya 90 darjah sahaja. Di bahagian bawah tangga pula terdapat satu meja kayu yang besar serta 2 bangku kayu yang mempunyai bentuk yang unik dan cantik. Di bahagian bawah tangga ini terdapat lampu dan pencahayaan di sudut ini sangat cantik. Menaiki tangga pula adalah bahagian bilik tidur yang hanya menempatkan satu katil king dan satu meja sisi. Tidak terdapat kabinet lain di bahagian atas bilik ini, oleh kerana itu pengunjung perlu menyimpan pakaian di bahagian bawah. Bilik yang saya inap ini letaknya di bahagian penjuru bangunan hotel dan mempunyai 2 bahagian tingkap cermin yang tinggi. Oleh kerana itu ianya sedikit sukar untuk menyingkap dan menutup langsir lebih-lebih lagi langsir yang digunakan adalah tebal dan berat.


Seperti review saya yang lepas, hotel ini walaupun kecil tetapi mempunyai kolam renang yang terdapat di atas bangunan (rooftop). Kolam renangnya kecil sahaja kerana bangunan hotel ini juga kecil. Di atas ini juga terdapat bangku-bangku dan meja untuk pengunjung bersantai sambal menikmati pemandangan Kuala Lumpur. Pemandangan dari kolam renang ini sangat cantik terutamanya di waktu malam. Waktu kolam renang beroperasi ialah pada pukul 7 pagi hingga 9 malam. Selain itu di atas bangunan hotel ini juga terdapat satu ruang untuk pengunjung menggosok baju oleh kerana hotel ini tidak menyediakan seterika di setiap bilik. Selain kolam renang, hotel ini juga mempunyai sky lounge yang terdapat bersebelahan dengan kolam renang. Ruangnya agak besar dan interiornya agak cantik. Hotel ini juga mempunyai gimnasium tetapi terletak di tingkat M. Gimnasiumnya tidaklah besar dan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 tengahmalam.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju di mana kelajuannya mencapai 65mbps dan bagi telco pula, Tune Talk mempunyai kelajuan 98mbps tetapi Celcom lebih perlahan dengan kelajuan 58mbps. Siaran TV pula agak banyak dan kesemua siaranya adalah di dalam bentuk HD. Tekanan air di dalam bilik mandi pula kuat bila menggunakan pancuran jenis pegang tetapi agak perlahan bila menggunakan pancuran jenis siling. Hotel ini menyediakan gel mandian yang sangat wangi, dan saya sangat suka dengan baunya.


Secara peribadi saya sememangnya suka menginap di hotel ini seperti review saya yang lepas. Bilik jenis ‘The Nest’ ini sangat sesuai kepada yang ingin berbulan madu ataupun yang datang secara solo. Kepada yang datang bersama anak-anak kecil, bilik jenis ini mempunyai katil yang terletak berhampiran pagar ke bahagian bawah bilik dan perlu berhati-hati kerana ianya agak rendah. Dari segi lokasi pula, hotel ini terletak di Bukit Bintang dan hanya beberapa meter sahaja untuk ke Jalan Alor. Untuk ke Pavilion, ianya hanyalah mengambil masa sekitar 12 minit jika berjalan kaki. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak 350 meter ke Stesen MRT Bukit Bintang dan juga Stesen Monorel. Hotel ini tidak mempunyai parkir tetapi pengunjung boleh meletakan kenderaan mereka di parkir awam yang terdapat di sekitar hotel.


Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak hotel terutamanya Cik Afidah Lu dan juga Cik Era atas pelawaan untuk saya menginap di hotel ini dan memberi saya bilik yang cukup cantik. Saya bercadang untuk kembali ke hotel ini dan menginap di bilik jenis yang lain pula.


Bilik


Bilik Tidur


Bilik Air


Pemandangan dari Bilik


Lobi


Kolam Renang


Sky Lounge


Hotel


Pemandangan dari Rooftop



223 views0 comments

תגובות


Post: Blog2_Post
bottom of page