top of page
Search
hanuds

Micasa All Suites Hotel, Kuala Lumpur (24-25/8/24)

Pada minggu ini saya menyambung staycation saya di salah satu hotel yang telah lama beroperasi di Kuala Lumpur. Hotel ini dibina pada tahun 1986 dan seingat saya ianya telah beroperasi sejak tahun 1990an lagi. Hotel ini letaknya di Taman U Thant iaitu di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Melalui aplikasi Trip.com saya telah menempah bilik jenis One Bedroom Superior King Suite dengan harga RM269.38 (harga ini telah termasuk cukai tetapi tidak termasuk sarapan pagi).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.40 petang dan terus sahaja membuat proses daftar masuk (check-in). Lobi hotel ini agak kecil dan hanya mempunyai tiga kaunter sahaja. Proses daftar masuk cepat dan hotel ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM100. Oleh kerana bilik telahpun sedia, saya terus sahaja menerima kad akses. Bilik yang saya inap ini letaknya di Tingkat 2 dan terdapat dua buah lif di hotel ini.


Bilik yang saya inap ini besar, mempunyai keluasan 484 kaki persegi. Oleh kerana ianya adalah suite, biliknya terdapat bahagian dapur yang lengkap. Memasuki bilik bahagian dapurnya terletak di sebelah kiri pintu masuk. Di sini terdapat dapur letrik, gelombang ketuhar dan juga oven. Juga terdapat peti sejuk yang besar di bahagian ini. Perkakas memasak lengkap disediakan yang diletakkan di dalam laci. Terdapat juga meja bar dengan dua buah kerusi di bahagian ini.


Di bahagian katil pula, selain satu katil king terdapat dua buah almari di sebelah kanan katil. Almari pertama agak besar di mana di dalamnya terdapat tempat untuk menyangkut baju serta peti simpanan keselamatan. Terdapat dua pasang jubah mandi (bathrobe) di dalam almari ini. Almari kedua letaknya di tepi pintu bilik air dan saiznya kecil sahaja. Di dalamnya hanya terdapat seterika dan juga papan seterika. Di kaki katil pula terdapat satu sofa yang besar mengadap ke TV dan di depannya pula terdapat satu meja bulat kecil. Di sebelah kiri katil terdapat satu kerusi bujang dan di belakangnya terletak satu lampu tidur yang besar. Meja kerja terdapat di sudut kiri bilik dan saiznya sederhana besar. Di atas meja ini terdapat satu lagi lampu tidur. Seperti biasa TV digantung di dinding berhadapan dengan kaki katil dan saiz TV hotel ini adalah 45 ke 50 inci.


Bilik air hotel ini agak luas di mana terdapat singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran. Walau bagaimanapun tidak terdapat tab mandi di bilik jenis ini. Tandasnya mempunyai gelung paip dan ruang pancurannya pula ditutupi cermin seratus peratus lutsinar, dan ianya agak luas. Di sini terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Peralatan mandian lengkap disediakan dan hotel ini menyediakan tuala mandi yang sangat lembut dan selesa.


Kolam renang hotel ini terdapat di bahagian bawah hotel dan ianya di ruang yang terbuka. Kolam renangnya agak besar dan mempunyai lanskap yang cantik. Terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak di sebelah kolam renang dewasa. Waktu operasi kolam renang hotel ini adalah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 7 malam.


Di dalam bilik, wifi percuma yang disediakan tidaklah laju, hanya berkelajuan sekitar 15mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan maksima 724mbps sementara Tune Talk pula 110mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV di dalam bentuk HD dan siarannya agak banyak. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati dengan pancurannya. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining dari pukul 11.30 pagi hingga pukul 10.15 malam dan menunya agak banyak serta agak murah. Nasi gorengnya berharga RM35 dan jus buah-buahannya pula berharga RM13. Kepada yang membawa kenderaan, hotel ini ada menyediakan parkir dan ianya adalah percuma.


Secara peribadi saya sangat suka staycation di hotel ini kerana suasananya yang sangat tenang. Biliknya pula luas dan sangat bersih. Walaupun hotel ini telah beroperasi sejak 1990an lagi, ianya dijaga dengan cukup baik. Harganya pula tidak begitu mahal jika dibandingkan dengan hotel di sekitarnya. Lokasi hotel ini terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan hanya 3km untuk ke KLCC dan juga 3km untuk ke Pavilion Bukit Bintang. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak 1.2km dari Stesen MRT dan juga Stesen LRT Ampang park.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



Pemandangan dari Bilik



74 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page