Minggu ini saya ke satu hotel yang baru sahaja dibuka kepada awam pada Jumaat lepas dan secara rasminya akan dibuka pada esok, 18/12/23. Hotel di bawah rangkaian Accor All ini terletak di Sungai Besi, iaitu di Jalan Chan Sow Lin. Saya menempah bilik di hotel ini dengan menggunakan aplikasi Accor All dan memilih bilik jenis Classic Superior dengan harga RM189.32 dan harga ini tidak termasuk sarapan pagi.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.30 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobi hotel ini terletak di tingkat bawah dan agak besar serta dipenuhi dengan sofa-sofa. Selain kaunter terdapat juga mini kafe di aras ini. Terdapat kira-kira 7 atau 8 pengunjung pada masa itu dan masa yang diambil untuk proses daftar masuk (check-in) sangat lambat. Giliran saya hanya tiba kira-kira pukul 2 petang iaitu selepas 30 minit saya beratur dan proses untuk daftar masuk saya selesai selepas 20 minit iaitu kira-kira pukul 2.20 petang. Oleh kerana bilik saya belum lagi siap, saya diminta untuk duduk terlebih dahulu dan kakitangan tersebut memberitahu akan menghubungi saya jika bilik saya sudah sedia (beliau memberikan tempoh selama 20 minit). Dari pukul 2.20 petang saya hanya menunggu di lobi sehingga ke pukul 3 petang tanpa menerima sebarang panggilan dari pihak hotel. Pada pukul 3 petang saya terus ke kaunter dan bertanyakan kepada kakitangan tadi samada bilik saya telah pun siap. Beliau memeriksa di sistem hotel dan pada kali ini masa yang diambil untuk memberi kad akses bilik saya ialah kira-kira 10 minit. Waktu daftar masuk hotel ini ialah pada pukul 3 petang.
Selepas mendapat kad akses saya terus sahaja ke tingkat 39 dengan menaiki lif. Terdapat hanya 3 buah lif di hotel ini dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk mendapatkan lif tidaklah lama. Dengan keluasan hanya 247 kaki persegi, bilik hotel ini kecil sahaja, iaitu sama seperti bilik di hotel Mercure yang lain. Sebaik memasuki bilik, bilik air terletak di sebelah kiri pintu masuk dan di ruang katil pula selain satu katil king, terdapat satu sofa kecil di sebelah kiri katil dan di hujung sofa tersebut terdapat satu meja bulat yang kecil. Di sebelah kanan katil terdapat almari berpintu gelongsor yang kecil di mana di dalamnya terdapat peti simpanan keselamatan, seterika dan papan seterika. Di sebelah kiri kaki katil pula terdapat satu kabinet menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh. Hotel ini menyediakan TV yang besar mungkin bersaiz 65 inci yang digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.
Bilik airnya juga kecil mempunyai pintu yang apabila ianya dibuka, ianya akan menghalang keseluruhan ruang tandas. Pada saya adalah lebih elok jika menggunakan pintu gelongsor bagi menjimatkan ruang. Di dalam bilik air, terdapat sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula terdapat 2 jenis pancuran dan ruang pancurannya luas walaupun saiz bilik airnya kecil. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala muka dan tuala tangan. Tuala hotel ini sangat lembut dan sangat selesa.
Hotel ini mempunyai kolam renang di atas bangunan (rooftop) iaitu di Tingkat 54 dan saiznya agak besar. Pemandangan dari kolam renangnya sangat cantik kerana ianya betul-betul mengadap ke Bandaraya Kuala Lumpur. Dari atas ini dapat dilihat keseluruhan Bandaraya Kuala Lumpur. Selain kolam renang, terdapat juga gimnasium di mana waktu operasinya ialah pada pukul 7 pagi hingga 10 malam. Di dalam bilik, hotel ini menyadiakan wifi yang agak laju di mana kelajuannya mencecah 30mbps. Telco pula menghadapi sedikit masalah di hotel ini kerana kelajuan Celcom hanya mencapai 18mbps sementara Tune Talk pula lebih perlahan dengan hanya 5mbps. Walaupun hotel ini menyediakan TV bersaiz sangat besar, tetapi siaran yang disediakan tidaklah banyak, hanya siaran asas sahaja dan bukan pula di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat cuma agak susah untuk mengawal suhu airnya.
Hotel ini bagi saya agak berbaloi dengan harganya. Ianya agak cantik dan murah. Lokasi hotel ini terletak di kawasan yang baru sahaja dibangunkan, mempunyai residensi dan juga kedai-kedai yang kebanyakannya masih lagi belum beroperasi. Hotel ini sebenarnya terletak di hadapan Southgate Commercial Center tetapi ianya ibarat hidup segan mati tak mahu. Hotel ini adalah salah satu hotel yang mempunyai pemandangan dari rooftop yang cantik, di mana pengunjung boleh melihat keindahan keseluruhan Bandaraya Kuala Lumpur hinggalah ke Genting Highlands. Saya bercadang akan kembali lagi ke sini kerana pemandangan dari rooftopnya yang cantik dan berharap proses daftar masuknya akan diperbaiki.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Pemandangan dari Hotel
Comments