Dari Sri Damansara saya ke Glenmarie Shah Alam untuk ke satu lagi hotel di bawah rangkaian Accor. Hotel ini agak baru kerana memulakan operasinya pada April 2022. Walaupun di bawah rangkaian Accor, saya menempah bilik hotel ini menggunakan aplikasi Trip.com kerana ingin menebus Trip Coins yang masih ada. Bilik Superior hotel ini berharga RM215.68 tetapi selepas ditolak Trip Coins saya hanya perlu membayar RM137.20. Harga ini adalah termasuk sarapan pagi untuk seorang.
Saya tiba di hotel pada pukul 1.50 petang dan terus sahaja ke lobinya untuk daftar masuk (check-in). Lobi hotel ini terletak di tingkat bawah hotel dan ianya agak besar dan cantik. Selain kaunter terdapat restoran di aras yang sama di mana pengunjung akan bersarapan pagi di sini. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM100. Sebaik menerima kad akses, saya terus sahaja menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di Tingkat 4. Di dalam lif, Tingkat 4 dilabelkan sebagai 3A dan ini agak mengelirukan saya. Terdapat 3 buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif tidaklah lama.
Bilik superior ini adalah bilik yang paling kecil di hotel ini dengan keluasan 269 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat ruang tandas dan ruang mandi (shower) di sebelah kanan pintu masuk. Hotel ini mempunyai singki yang terletak di luar bilik mandi. Di sebelah kiri pintu masuk pula terdapat almari pakaian untuk pengunjung meletakan barang-barang dan juga untuk menyangkut baju. Di ruang katil selain satu katil king, terdapat sofa bujang di sebelah kanan katil serta sebuah meja bulat yang kecil. Di penjuru kanan kaki katil pula terdapat satu kabinet yang menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, serta air minuman yang diletakan di dalam dua botol kaca. Di dinding bertentangan dengan kaki katil pula tergantung Smart TV berukuran 55 inci. Tidak terdapat meja kerja di hotel ini seperti kebanyakan hotel yang lain. Di ruang tandas, hotel ini ada menyediakan gelung paip dan di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terdapat di atas bangunan (rooftop) dan saiznya kecil sahaja. Ianya terletak di Tingkat 13 dan selain kolam renang untuk dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Waktu operasi kolam renang ini ialah pada pukul 7 pagi sehingga pukul 7 petang. Di aras yang sama juga terdapat gimnasium serta sebuah restoran. Walaupun ianya terletak di atas bangunan tetapi pemandangan dari kolam renangnya tidaklah cantik, tidak seperti hotel-hotel yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sehingga 98mbps untuk muat turun dan 101mbps untuk muat naik. Bagi telco pula, Tune Talk mencecah kelajuan 343mbps (5G) sementara CelcomDigi pula 62mbps (4G). Hotel ini menyediakan TV bersaiz besar tetapi hanya sedikit siaran yang ada dan kebanyakan siarannya di dalam bentuk HD. Oleh kerana ianya adalah Smart TV, pengunjung boleh menonton Netflix ataupun Youtube. Tekanan air di bilik mandinya pula sangat kuat dan ini adalah antara hotel yang saya sangat suka mandi di pancurannya.
Untuk sarapan pagi, hotel ini menyediakan menu yang banyak tetapi seperti biasa saya hanya mencuba beberapa menu sahaja. Waktu untuk sarapan pagi ialah pada pukul 6.30 pagi hingga 10.30 pagi. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining dan waktu ianya beroperasi ialah pada pukul 12 tengahari sehingga pukul 10.30 malam. Menu yang disediakan agak banyak dan harganya tidaklah terlalu mahal. Sebagai contoh mee goreng mamak berharga RM23, fish & chips pula RM33 dan jus buah-buahan berharga RM18.
Secara peribadi saya suka dengan hotel ini kerana biliknya yang cantik dan bersih serta tilam dan bantalnya sangat empuk dan selesa. Hotel ini agak baru beroperasi oleh itu segala kelengkapannya masih lagi baharu. Hotel ini sesuai bagi yang ingin bersantai dan berehat di hotel kerana lokasinya yang jauh dari pusat Bandaraya Shah Alam dan juga Kuala Lumpur. Ianya juga tidak sibuk dengan pengunjung. Walaupun saya berkunjung ke sini pada cuti perayaan Tahun baru Cina, ianya tidaklah sibuk seperti sesetengah hotel. Jika diambil kira bilik dan fasiliti yang ada, harga hotel ini agak murah mungkin disebabkan lokasinya yang agak terpencil tetapi saya tidak begitu gemar dengan biliknya yang mempunyai tandas dan ruang mandi yang berasingan. Saya lebih suka hotel yag mempunyai bilik air di mana di dalamnya terdapat singki, tandas dan juga ruang mandi (shower). Rekabentuk hotel ini mungkin tidak begitu selesa kepada yang datang bersama keluarga. Hotel ini juga jauh dari pengangkutan awam di mana stesen LRT berhampiran letaknya kira-kira 5 km dari hotel ini. Kepada yang membawa kenderaan pula hotel ini ada menyediakan parkir dan ianya adalah percuma.
Bilik
Tandas & Ruang Mandi
Kolam Renang
Hotel
Sarapan Pagi
Comments