top of page
Search
hanuds

Mercure Hotel Kuala Lumpur (21-22/5/22)

Minggu ini saya memilih satu hotel yang memulakan operasi pada tahun 2017. Ianya terletak di Bukit Bintang iaitu di Jalan Changkat Thambi Dolah. Juga terletak berhampiran dengan Jalan Pudu di mana terletaknya pusat membeli belah yang baru sahaja dibuka iaitu Lalaport.


Saya memilih hotel ini kerana lokasinya yang berhampiran dengan Lalaport serta harganya yang murah. Menerusi aplikasi trip.com, saya menempah bilik deluxe yang berharga RM157.81. Biliknya hanya berkeluasan 269 kaki persegi tetapi agak besar dan selesa.


Saya tiba di hotel kira2 pukul 1.00 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi (ground floor). Lobinya agak luas dan agak cantik. Selain kaunter untuk pendaftaran, terdapat juga restoran kecil di tingkat yang sama serta sofa untuk pengunjung duduk. Pekerja memberitahu bilik masih lagi belum sedia dan memberitahu saya supaya membuat pendaftaran terlebih dahulu (waktu untuk daftar masuk hotel ialah pada pukul 3 petang).


Selepas mendaftar saya membuat keputusan untuk ke Lalaport terlebih dahulu sementara menunggu bilik saya siap. Pusat membeli belah ini baharu sahaja dibuka dan ianya terletak di tapak Penjara Pudu. Ianya hanyalah kira2 700 meter dari hotel (10 minit berjalan kaki). Pusat membeli belah ini sangat cantik tetapi masih tidak banyak kedai yang telah dibuka (hanya kira2 20% sahaja).


Pada pukul 3.30 petang saya kembali semula ke hotel dan terus sahaja diberi kad akses kerana bilik telah pun sedia. Saya menaiki lif untuk ke tingkat 11 (terdapat 3 lif di hotel ini). Oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, saya tidak menunggu lama untuk mendapatkan lif. Memasuki bilik seperti hotel2 yang lain, terdapat almari bertutup di sebelah kanan pintu masuk untuk menyimpan pakaian sementara bilik air pula di sebelah kiri. Selepas itu terdapat satu ruang untuk meletakkan barang2 dan juga satu kabinet berserta laci menempatkan satu peti ais mini dan perkakas untuk membancuh minuman (termasuklah cerek letrik).


Selain satu katil queen, terdapat satu sofa kecil di tepi katil serta satu meja bulat yang kecil. Meja study terletak di hujung berhampiran tingkap serta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja2 pejabat. Hotel ini menyediakan TV yang kecil hanya 32 inci yang dilekatkan di dinding bertentangan dengan katil. Siarannya tidaklah banyak (antaranya Vision Four) dan bukanlah dalam bentuk siaran HD. Untuk wifi pula, ianya tidaklah laju, hanya 12mbps sahaja. Celcom dan Tune Talk sangat laju di mana kelajuannya melebihi 100mbps (masing2 155mbps and 111mbps). Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan ke arah Jalan Pudu (Lalaport).


Bilik air pula mempunyai pintu gelongsor yang boleh dikunci dari dalam dan saiznya kecil sahaja. Bilik air hanya menempatkan sinki, tandas serta ruang untuk mandi (shower) yang mempunyai pintu cermin. Tandasnya mempunyai saluran paip untuk kemudahan pengunjung. Hotel ini ada menyediakan dine-in service tetapi menunya agak terhad dan hanya menyediakan makanan2 ringan sahaja.


Mungkin yang menjadi keistimewaan hotel ini ialah pemandangannya yang cantik dari rooftop yang juga menempatkan kolam mandi. Ianya terletak di tingkat 20 bangunan hotel. Kolamnya tidaklah besar mempunyai kedalaman 1.2 meter. Terdapat juga kolam untuk kanak2 di mana saiznya kecil sahaja. Dari kolam mandi, ianya betul2 mengadap ke Bangunan TRX.


Hotel ini mempunyai dinding cermin di kawasan lif. Selain pemandangannya yang cantik dari rooftop, keluar sahaja dari lif akan kelihatan KLCC dan juga Menara KL serta Bangunan Berjaya Times Square. Ke sebelah kiri akan kelihatan Bangunan PNB 118 yang sedang dalam pembinaan.


Pada hemat saya hotel ini agak berbaloi untuk yang mahu ke Lalaport, Time Square ataupun ke kawasan2 lain yang berhampiran. Harganya tidaklah mahal (di bawah RM200) dan kebersihannya adalah memuaskan. Yang menjadikan ianya istimewa bagi saya ialah pemandangan dari rooftop di mana ke semua bangunan2 ikonik di Kuala Lumpur dapat dilihat dengan jelas (PNB118, KLCC, Menara KL dan juga TRX). Untuk proses check-out pula, ianya sangat mudah di mana saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.



Bilik



Bilik Air



Lobi



Kolam Mandi



Pemandangan dari Hotel



Makanan



Lalaport



200 views0 comments

Comentarios


Post: Blog2_Post
bottom of page