top of page
Search
hanuds

M Resort & Hotel Kuala Lumpur (12-13/11/22)

Hotel ini letaknya di Bukit Kiara iaitu bersebelahan dengan Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA). Hotel yang mempunyai 385 bilik ini memulakan operasinya pada 31 Ogos lepas, dimiliki oleh anak Malaysia iaitu Tan Sri Teo Chiang Hong (selain hotel ini beliau juga memiliki Hotel One World dan juga Avante).


Saya telah membuat tempahan bilik menggunakan aplikasi Booking.com dan memilih bilik yang paling murah iaitu jenis standard berharga RM348 (tanpa sarapan). Selain bilik standard, hotel ini juga mempunyai bilik jenis superior dan juga deluxe di mana keluasan ketiga-tiga jenis bilik ini adalah sama, iaitu 312 kaki persegi. Hanya bilik jenis suite sahaja yang lebih besar dari ketiga-tiga bilik ini. Bilik jenis standard, superior dan deluxe di hotel ini mempunyai harga yang berbeza-beza bergantung kepada pemandangan (view) dari bilik samada mengadap ke blok bangunan, kolam renang, bandar ataupun padang golf.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.30 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk (check-in). Kaunternya terletak di lobi hotel yang luas, cantik dan nampak moden. Terdapat 2 kakitangan yang bertugas pada masa itu. Proses pendaftaran sangat cepat dan oleh kerana bilik belum lagi siap, saya diminta untuk duduk terlebih dahulu dan akan diberitahu apabila bilik telah sedia. Sementara menunggu bilik siap, saya bersiar-siar di sekitar hotel sambil mengambil gambar. Saya sempat pergi ke restoran dan bertanya harga hi-tea di hotel ini, iaitu RM138 untuk seorang.


Oleh kerana bilik standard belum lagi siap, saya telah diberi bilik jenis deluxe. Waktu itu kira-kira jam 1.45 petang (waktu check-in hotel ini ialah pada pukul 3 petang). Selepas mendapat kad akses saya terus menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 7. Terdapat 4 lif di hotel ini dan masa menunggu adalah cepat. Lorong ke bilik ditutupi karpet dan ianya agak panjang dan agak gelap (terdapat banyak bilik di satu-satu tingkat).


Memasuki bilik sahaja lampu secara automatik akan terpasang (pengunjung tidak perlu meletakan kad di slot). Seingat saya ini adalah hotel pertama yang saya pernah inap mempunyai ciri begitu. Di sebelah kiri pintu masuk terletaknya bilik air. Di sebelah pintu bilik air pula terdapat almari pakaian yang mempunyai pintu dan ianya adalah seratus peratus lutsinar (saya suka dengan idea ini). Di dalam almari ini terdapat satu rak kayu yang di atasnya diletakan peti simpanan keselamatan. Di dalam almari ini juga tergantung 2 pasang jubah mandi (bathrobe), 2 pasang selipar dan juga lampu suluh.


Di ruang bilik pula selain satu katil king, terdapat satu sofa dan satu meja kecil di sebelah kiri katil. Di bahagian dinding mengadap ke kaki katil terdapat satu kabinet di mana terdapat peti ais mini dan juga gelas, cawan serta cerek letrik. Di sebelah kanannya pula terdapat satu rak kayu untuk pengunjung meletakan beg dan barang-barang. Di sebelah kirinya ialah satu meja kerja yang bersaiz kecil berserta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di atas meja ini diletakan satu mesin membancuh kopi dan juga lampu bacaan. Di dinding atas kabinet ini pula terletak TV yang besar bersaiz 55 inci.


Walaupun bilik airnya tidak begitu luas, ianya sangat selesa bagi saya. Mempunyai dinding yang berwarna hitam menjadikan bilik air hotel ini nampak elegan. Bahagian luar pintu bilik airnya adalah seratus peratus cermin muka dan ianya boleh dikunci. Terdapat sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Walau bagaimanapun hotel ini tidak menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas kerana menggunakan mangkuk tandas yang mempunyai pancuran dari dalam. Ruang untuk pancuran pula agak luas dan mempunyai pintu cermin. Dinding antara ruang pancuran dan katil adalah cermin lutsinar tetapi terdapat bidai disediakan jika pengunjung ingin menutup bahagian pancuran dari dilihat dari ruang katil. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi, sikat dan juga pencukur serta tuala tangan dan juga tuala muka. Pemandangan dari bilik saya adalah mengadap ke Stesen MRT Phileo Damansara.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terbuka dan ianya sangat besar dan luas. Ianya terletak di antara 2 bangunan dan juga bahagian lobi hotel. Kedalaman kolam adalah berbeza-beza dan gelongsor juga ada disediakan. Lanskap di kolam renang hotel ini agak cantik cuma bagi saya ianya agak berlebihan dan dekorasinya pula tidak begitu kemas. Pada malam hari pencahayaan di kawasan kolam ini agak gelap. Waktu kolam dibuka ialah pada pukul 7 pagi sehingga 7 malam. Terdapat satu bar di tepi kolam renang hotel ini. Sepanjang waktu ianya dibuka, hotel akan memasang lagu menjadikan kawasan kolam ini seakan-akan sebuah taman tema. Selain kolam renang, di hotel ini juga terdapat gimnasium dan juga spa.


Seperti hotel-hotel yang lain, hotel ini juga menyediakan wifi percuma dan kelajuannya agak laju sehingga 41mbps tetapi agak tidak stabil. Telco pula lebih laju di mana Celcom mempunyai kelajuan 106mbps sementara Tune Talk pula 92mbps. Untuk siaran TV pula, selain siaran asas hotel ini juga menyediakan 8 saluran Vision Four serta siaran berita dan juga sukan dan kesemua siarannya adalah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula tidaklah begitu kuat tetapi saya masih berpuas hati.


Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining dan harganya agak mahal bagi saya. Saya sempat mencuba nasi goreng kampung yang berharga RM56 dan juga chow kuey teow yang berharga RM36. Kedua-duanya sangat sedap. Di petangnya pula saya sempat mencuba koktel di M Lounge dan makanan yang saya makan semuanya sedap bagi saya. Di pagi Ahad saya juga bersarapan di M lounge dan makanan yang saya cuba semuanya sedap (saya bersetuju dengan review sebelum ini mengatakan yang nasi lemaknya sangat sedap). Untuk yang membawa kereta, parkir percuma ada disediakan di hadapan hotel dan ianya adalah terbuka. Bagi yang ingin menaiki pengangkutan awam pula, hotel ini letaknya berhampiran dengan Stesen MRT Phileo Damansara (kira-kira 12 minit berjalan kaki). Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.


Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan hotel ini. Layanan kakitangannya sangat mesra dan sangat membantu terutama kakitangan yang bernama Cik Nurul Jalaluddin dan juga Cik Fazira Araz yang telah menjalankan tugasnya dengan baik dan professional. Hotel ini merupakan hotel baru, oleh itu segala kelengkapannya adalah bersih dan masih lagi baru. Tarikan utama hotel ini adalah kolam renangnya yang seperti sebuah taman tema mini. Selain itu makanan di hotel ini juga sedap. Cuma mungkin yang menjadi masalah ialah lokasinya yang terasing. Jika pengunjung ingin makan di luar (kerana harga makanan di hotel yang mahal), pengunjung perlu menaiki kereta kerana tidak terdapat kedai-kedai di sekitar hotel ini. Jika pembaca ingin membawa keluarga bersantai sambil mandi manda di kolam, hotel ini adalah salah satu hotel yang saya syorkan, itupun jika tidak kisah dengan harganya yang agak mahal serta bilik airnya yang tidak mempunyai gelung paip. Hanya satu sahaja nasihat saya, jika boleh elakan pergi ketika hujung minggu untuk mengelakan keadaannya yang agak sesak.


Bilik


Bilik Air


Lobi


Kolam Renang


M Lounge


Makanan


Hotel


214 views0 comments

Kommentare


Post: Blog2_Post
bottom of page