Selepas menginap di hotel ini pada bulan lepas di bilik standard, pada kali kedua ke hotel ini saya telah memilih bilik jenis ‘The Reading Room’ pula. Bilik ini berharga RM289 di aplikasi Trip.com (termasuk sarapan). Bilik jenis ini berkeluasan 194 kaki persegi dan mempunyai balkoni. Ianya besar sedikit dari bilik standard yang saya inap sebelum ini.
Lobi hotel ini terletak di Tingkat 5 di mana ianya separas dengan kolam renang dan restoran. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan oleh kerana bilik telah pun sedia saya terus diberi kad akses bilik. Hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM200. Pada kali ini bilik saya terletak di Tingkat 14. Sebaik memasuki bilik, ruang katil betul-betul mengadap ke pintu masuk. Di dinding bertentangan dengan kaki katil terletaknya Smart TV yang berukuran 40 inci. Di sebelah kanan pintu masuk pula terdapat meja kerja dan juga para untuk meletakan barang-barang. Di sini juga terletaknya peti sejuk mini dan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di belakang meja ini terdapat satu palang besi untuk menyangkut baju. Singki pula terletak di tepi pintu keluar ke balkoni. Bilik airnya pula terletak di sebelah kiri singki.
Bilik air bilik jenis ini kecil sahaja menempatkan tandas dan juga pancuran di mana ruangnya adalah terbuka ke sebelah balkoni dan hanya ditutupi oleh langsir sahaja. Balkoni bilik jenis ini kecil sahaja menempatkan buaian. Hotel ini adalah antara hotel yang menyediakan wifi percuma yang laju di mana kelajuannya mencecah 101mbps (muat turun) dan 141mbps (muat naik). Untuk telco pula, Tunetalk mempunyai kelajuan 101mbps sementara CelcomDigi pula agak perlahan di mana kelajuannya hanyalah sekitar 22mbps sahaja. Tekanan air di bilik mandi pula kuat bila menggunakan pancuran jenis pegang tetapi agak perlahan bila menggunakan pancuran jenis siling. Hotel ini menyediakan Smart TV dan ada menyediakan beberapa siaran percuma dan kesemuanya adalah di dalam bentuk HD.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di Tingkat 5 dan saiznya kecil sahaja. Parkir pula adalah sepenuhnya secara valet berharga RM20. Lokasi hotel ini sangat dekat dengan Exchange TRX dan untuk ke Pavilion pula ianya hanyalah kira-kira 850 meter. Hotel ini menjadi antara hotel kegemaran saya kerana suasana hotelnya yang tenteram serta konsep biliknya yang saya suka. Saya bercadang untuk kembali lagi ke sini dan menginap di bilik jenis lain pula. Untuk ulasan lebih terperinci berkenaan hotel ini, sila baca ulasan saya sebelum ini.
Bilik
Bilik Air
Balkoni
Hotel
Sarapan
Commentaires