top of page
Search
hanuds

Llyod’s Inn Kuala Lumpur (2-3/3/24)

Minggu ini saya ke satu hotel yang baru sahaja memulakan operasinya pada tahun ini. Hotel ini terletak di Jalan Kamuning, Bukit Bintang. Melalui aplikasi Trip.com saya menempah bilik standard iaitu bilik yang paling kecil dengan harga RM296.01 (termasuk sarapan untuk 2 orang). Hotel ini adalah antara hotel butik yang terdapat di Kuala Lumpur dan mempunyai rekabentuk yang agak unik.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi. Lobi hotel ini terletak di Tingkat 5 dan untuk ke lobinya, hotel ini menyediakan 2 buah lif. Lobinya kecil sahaja tetapi cantik. Selain lobi, terdapat juga sebuah restoran dan kolam renang di tingkat yang sama. Saya terus sahaja mendaftar untuk masuk dan hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM200. Oleh kerana bilik saya belum lagi sedia, saya terlebih dahulu bersiar-siar di Exchange TRX yang terletak hanya 100 meter dari hotel ini. Pada pukul 2.45 petang saya kembali semula ke hotel dan terus mendapat kad akses bilik. Waktu daftar masuk hotel ini ialah pada pukul 3 petang.


Bilik yang saya inap ini letaknya di Tingkat 11 dan untuk ke bilik pengunjung perlu menaiki lif lain (bukannya lif untuk ke lobi). Terdapat 2 buah lif untuk ke bilik dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk menunggu lif tidaklah lama. Bilik standard ini kecil sahaja dengan keluasan hanya 175 kaki persegi. Memasuki bilik terdapat ruang katil menempatkan satu katil king. Di sebelah kiri katil terdapat meja panjang di mana ianya mengadap ke luar bilik. Bilik yang saya inap ini betul-betul mengadap ke Exchange TRX. Di sebelah kanan katil pula terdapat satu palang besi untuk menyangkut baju. Di sini digantung 2 pasang jubah mandi (bathrobe). TV berukuran 50 inci digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.


Di sebelah kanan pintu masuk pula terdapat satu ruang menempatkan kabinet dan juga singki. Di ruang ini terdapat peti sejuk mini dan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Kemudian di sebelah ruang ini letaknya bilik air yang unik kerana terletak di ruang yang terbuka, hanya berdindingkan jaring dan juga pokok. Di sini terdapat tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula ada disediakan langsir untuk menutupi ketika pengunjung mandi.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di Tingkat 5 iaitu berhampiran dengan lobi. Kolam renangnya kecil sahaja dan saya sebenarnya tidak begitu gemar dengan kedudukannya yang terletak di depan kaunter. Ianya tidak begitu privacy kepada yang ingin mandi manda. Pada pendapat saya ianya lebih kepada hiasan sahaja dan bukannya untuk mandi manda kerana kedudukannya yang sangat tidak sesuai. Di Tingkat paling atas iaitu di Tingkat 15, terdapat ruang yang agak besar untuk pengunjung bersantai sambil melakukan kerja ataupun berdiskusi.


Hotel ini menyediakan wifi percuma yang agak laju di mana kelajuannya mencecah 102mbps (muat turun) dan 132mbps (muat naik). Untuk telco pula, Tune Talk berkelajuan 248mbps (5G) dan CelcomDigi pula hanya 36mbps (4G). Hotel ini menyediakan Smart TV dan semua siarannya di dalam bentuk HD walaupun tidak begitu banyak siaran yang ada. Tekanan air di bilik mandi pula kuat jika menggunakan pancuran jenis pegang tetapi pancuran jenis siling airnya tidak begitu besar.


Sarapan pagi hotel ini adalah di restoran yang terletak di Tingkat 5. Masa untuk sarapan pagi ialah pada pukul 6.30 pagi hingga 10.30 pagi. Hanya sedikit menu yang ada seperti roti, kuih muih dan buah-buahan. Saya mencuba nasi lemak dan bagi saya ianya sangat sedap (nasi lemak disediakan secara ala carte). Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining tetapi saya tidak begitu pasti samada ianya beroperasi 24 jam ataupun tidak. Kepada yang membawa kenderaan sendiri, hotel ini menyediakan parkir valet dan bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM20 untuk sehari.


Secara peribadi saya sangat suka dengan hotel ini. Selain rekabentuk hotel dan biliknya yang unik, suasana hotel ini sangat sesuai untuk bersantai dan berehat di hotel. Lokasi hotel ini juga sangat strategik di mana ianya sangat dekat dengan Exchange TRX dan jika pengunjung ingin ke Pavilion, ianya hanya mengambil masa 12 minit jika berjalan kaki (kira-kira 900 meter). Kepada yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak kira-kira 900 meter dari Stesen MRT Bukit Bintang. Saya bercadang untuk kembali lagi ke hotel ini dan menginap di bilik yang lebih besar pula.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



Sarapan



Pemandangan



83 views0 comments

Комментарии


Post: Blog2_Post
bottom of page