top of page
Search

Lloyd’s Inn Kuala Lumpur (29-30/1/25)

hanuds

Updated: Jan 31

Pada minggu ini untuk kali yang ketiga saya ke hotel ini yang terletak di Bukit Bintang Kuala Lumpur. Lokasinya ialah di Jalan Kamuning iaitu bersebelahan dengan Bangunan TRX. Sejak ke sini pada kali pertama pada Mac 2024, hotel ini telah menjadi antara hotel kegemaran saya. Pada kali ini saya menginap di bilik The Business Room pula. Pada kali pertama ke sini saya menginap di bilik Standard dan kali kedua pula di bilik The Reading Room. Untuk kali ini sekali lagi saya menggunakan aplikasi Trip.com dan bilik The Business Room ini berharga RM340.98. Harga ini termasuk cukai dan juga sarapan pagi untuk dua orang.


Saya tiba di hotel agak awal iaitu pada pukul 12.30 tengahari. Lobi hotel ini letaknya di Tingkat 5. Terdapat dua buah lif untuk ke lobinya. Lobinya kecil sahaja dan di aras yang sama terdapat juga sebuah restoran dan kolam renang yang bersaiz kecil. Saya terus sahaja membuat proses daftar masuk (check-in) dan hotel ini ada mengenakan bayaran deposit sebanyak RM200. Oleh kerana bilik saya telahpun sedia, saya terus sahaja diberi kad akses bilik. Untuk ke biliknya pengunjung perlu menggunakan lif lain di mana terdapat dua buah lif untuk ke bilik-biliknya.


Bilik jenis The Business Room ini mempunyai keluasan 306 kaki persegi dan lebih besar dari bilik Standard dan juga The Reading Room. Sebaik memasuki bilik terdapat meja panjang di sebelah kanan pintu masuk. Di hujung berhampiran pintu terdapat lampu bacaan dan talipon, juga sebuah kerusi untuk pengunjung membuat kerja-kerja pejabat di sini. Di hujung sebelah lagi terdapat peti sejuk mini dan di atas meja diletakkan perkakas untuk membancuh minuman, termasuklah cerek letrik. Hotel ini menyediakan air minuman yang diletakkan di dalam dua kotak kecil, tidak seperti kebanyakkan hotel yang menyediakan air mineral yang diletakkan di dalam botol plastik ataupun kaca. Hotel ini tidak mempunyai katil khas tetapi tilamnya diletakkan di atas katil pasang siap. Di sebelah kiri katil terdapat tempat untuk menyangkut baju yang terbuka, di sini juga digantung dua pasang jubah mandi (bathrobe). Di hujung kaki katil terdapat laci untuk pengunjung menyimpan barang-barang dan salah satu lacinya terdapat peti simpanan keselamatan. TV bersaiz 50 inci digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil tetapi kedudukannya agak rendah. Di sebelah kanan katil terdapat pintu untuk ke bilik air.


Satu keistimewaan bilik The Business Room ini ialah bilik airnya yang besar serta terbuka. Terdapat singki di sebelah kiri sementara mangkuk tandas pula di sebelah kanan. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di sebelahnya terdapat ruang pancuran yang terbuka. Disediakan pancuran jenis siling dan juga pegang di ruang pancurannya. Di sebelah tepi terdapat tub mandi (bath tub) yang besar serta sebuah buaian. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah tuala muka dan tuala tangan serta berus gigi.


Seperti yang saya nyatakan hotel ini mempunyai kolam renang iaitu di Tingkat 5 berhampiran dengan lobinya. Kolam renangnya kecil sahaja dan bagi saya ianya lebih kepada hiasan sahaja. Pertama disebabkan saiznya yang kecil dan yang kedua kerana kedudukannya yang terletak betul-betul di hadapan kaunter, menjadikannya tidak begitu privasi kepada pengunjung yang ingin mandi. Hotel ini mempunyai satu ruang untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat ataupun bermesyuarat iaitu di Tingkat 15 dan hiasan dalamannya sangat cantik.


Untuk sarapan pula, ianya adalah di restoran yang terletak di Tingkat 5. Sarapannya sangat ringkas (simple) dan hanya mempunyai beberapa menu sahaja. Untuk menu ala carte, pengunjung diberi dua pilihan samada nasi lemak ataupun english breakfast. Kedua-duanya bagi saya tidak begitu sedap, tidak seperti pertama kali saya ke sini.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 25mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 451mbps sementara Tune Talk pula 440mbps. Hotel ini hanya menyediakan siaran TV asas sahaja tetapi ianya di dalam bentuk HD. Tekanan air di pancurannya pula sangat kuat dan ini adalah antara hotel di mana saya sangat suka mandi di pancurannya, lebih-lebih lagi ruang mandinya yang terbuka, menjadikannya sangat luas. Hotel ini ada menyediakan parkir tetapi ianya bukanlah percuma, pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM20.


Sejak pertama kali ke sini hotel ini telah menjadi antara hotel kegemaran saya. Walaupun biliknya tidaklah besar, tetapi saya menyukai hiasan dalamannya. Ianya ringkas (simple) serta kelihatan moden dan warna yang digunakan membuatkan saya merasa tenang bila berehat di dalam biliknya. Bilik The Business Room ini pula sangat cantik terutama bilik airnya yang luas dan selesa. Ianya sesuai juga kepada yang suka bergambar (ootd). Walaupun ianya terbuka, terdapat bidai menutupi bilik airnya dari luar. Antara ruang tandas dan ruang tub mandi pula boleh ditutupi dengan langsir. Ruang katil dan juga bilik air pula adalah cermin yang seratus peratus lutsinar tetapi ianya juga boleh ditutupi dengan bidai. Cuma bagi saya tilam dan bantalnya tidak begitu selesa, tidak seempuk tilam dan bantal di Indie Hotel yang bagi saya antara hotel yang menyediakan tilam dan bantal yang sangat selesa.


Dari segi lokasi pula, hotel ini terletak bersebelahan dengan TRX dan hanya 900 meter untuk ke Pavilion. Jika menginap di sini pengunjung boleh bersiar-siar di TRX ataupun Pavilion dengan berjalan kaki sahaja. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak 900 meter dari stesen MRT Bukit Bintang. Saya akan kembali lagi ke hotel ini dan akan memilih bilik jenis yang lain pula.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Sarapan



Hotel Interior



Hotel Exterior



 
 
 

Comments


Post: Blog2_Post
  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn

©2020 by Bumi dipijak langit dijunjung. Proudly created with Wix.com

bottom of page