Untuk malam merdeka pada tahun ini saya telah memilih satu residensi yang baru sahaja dibuka. Ianya terletak di Kampung Baru Kuala Lumpur iaitu di Jalan Raja Muda Musa dan bersebelahan dengan Stesen LRT Kampung Baru. Ianya juga berhampiran dengan Pintasan Saloma iaitu jejantas untuk ke KLCC. Saya memilih untuk bermalam di sini disebabkan pemandangannya yang cantik iaitu mengadap ke Menara Berkembar Petronas dan juga Pintasan Saloma.
Melalui aplikasi booking.com saya menempah bilik studio yang berharga RM172.80 (tanpa sarapan). Biliknya kecil sahaja berkeluasan 399 kaki persegi. Bilik studio ini sebenarnya adalah ruang tamu sebuah pangsapuri 3 bilik yang telah diubahsuai menjadi studio. Untuk studio ini, ianya telah di urus oleh satu syarikat bernama Luzzeri Group Sdn Bhd. Saya difahamkan terdapat 2 buah studio dan 18 buah pangsapuri 3 bilik di bawah kendalian syarikat ini.
Saya mendapat pesanan whatsapp dari Luzzeri Group pada pagi 30hb untuk memaklumkan kepada saya cara-cara untuk pendaftaran masuk (check-in). Informasi pdf yang diberi adalah lengkap bagi melancarkan proses pendaftaran masuk. Wang deposit sebanyak RM200 dikenakan dan pembayaran adalah secara atas talian (online) ke akaun Luzzeri Group. Oleh kerana waktu check-in di sini ialah pada pukul 4.00 petang, saya hanya tiba kira-kira pukul 3.50 petang dan terus sahaja ke pejabat Luzzeri Group yang terletak di tingkat bawah pangsapuri ini. Selain kunci bilik, saya turut diberikan alat kawalan jauh (remote) untuk TV, Android Box, kipas angin serta penghawa dingin. Selepas diberi penerangan saya terus menaiki lif ke tingkat 18. Lifnya agak mengelirukan kerana terdapat di 2 bahagian, W1 dan W2. Terdapat 5 lif di sini dan oleh kerana orang tidaklah ramai, saya tidak mengambil masa yang lama untuk menunggu lif.
Sebaik sahaja saya memasuki bilik, saya dapati biliknya masih lagi baru. Walaupun biliknya kecil tetapi interiornya cantik dan nampak mewah. Di bahagian kiri pintu masuk terdapat pintu bilik air dan di sebelahnya pula ialah satu kabinet kecil yang menempatkan sinki serta ketuhar gelombang mikro (microwave) dan juga pengering rambut (hair dryer). Di sini juga terdapat laci untuk menyimpan pinggan, mangkuk, cawan serta sudu dan garfu untuk kegunaan pengunjung. Di sebelah kabinet ini terdapat satu meja kecil (table bar) serta 2 kerusi (saya menggunakan meja ini untuk melakukan kerja-kerja pejabat).
Kemudian di tengah-tengah ruang bilik di sebelah kiri terdapat satu almari yang kecil di mana di dalamnya terdapat penyangkut baju yang bagi saya kedudukannya agak tinggi. Juga terdapat satu tilam bujang untuk kegunaan pengunjung jika datang seramai 3 orang (terdapat 3 helai tuala mandi disediakan untuk bilik ini). Di sebelah almari ini ialah kabinet TV yang menempatkan TV berukuran 50 inci. Bertentangan TV diletakkan satu sofa yang kecil (muat untuk 2 orang) untuk pengunjung duduk sambil menonton TV. Kemudian di hujung ruang bilik terletaknya satu katil queen. Selain itu bilik ini ada juga menyediakan seterika dan papan seterika yang di letakkan bersebelahan dengan sofa.
Untuk bilik air pula, saiznya kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga shower. Ruang untuk shower hanya dipisahkan dengan langsir dan bagi saya ruangnya agak sempit. Bagi tandas pula, terdapat gelung paip untuk kegunaan pengunjung. Pemanas air ada disediakan dan terdapat 2 jenis shower iaitu jenis pegang dan juga siling. Tekanan air di bilik mandi tidak begitu kuat tetapi saya masih berpuas hati mandi di sini. Cuma pengunjung perlu berhati-hati kerana lantai bilik airnya yang licin apabila dalam keadaan basah.
Bilik ini juga ada menyediakan wifi percuma dan kelajuannya ialah 23mbps sementara Telco pula laju di mana Celcom mencapai kelajuan 79mbps sementara Tune Talk pula lebih perlahan iaitu 71mbps. Bilik ini ada menyediakan Android Box tetapi bila saya memasangnya, kelajuan internet tidak mencukupi untuk menonton movie atau siaran yang lain. Oleh itu saya hanya menonton movie menggunakan Smart TV sahaja. Selain penghawa dingin, bilik ini juga menyediakan kipas angin siling. Untuk view pula, bilik yang saya inap ini mengadap ke KLCC dan juga Pintasan Saloma.
Pangsapuri ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 8. Kolamnya agak besar dan betul-betul mengadap ke KLCC. Terdapat juga kolam untuk kanak2 di sebelah kolam dewasa. Walau bagaimanapun buat masa ini kolam terpaksa ditutup dan tidak dibenarkan mandi kerana airnya yang kotor. Saya difahamkan pihak pengurusan pangsapuri sedang berusaha untuk mencuci kolam ini dalam masa terdekat. Di tingkat yang sama juga terdapat tempat riadah (bersenam) serta taman permainan kanak-kanak. Gimnasium juga terdapat di pangsapuri ini tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi. Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke pejabat bersama alat-alat kawalan jauh yang diberi semasa check-in. Wang deposit pula dipulangkan dalam tempoh 24 jam menerusi pemindahan bank.
Bagi saya pangsapuri ini amat sesuai bagi keluarga yang datang bercuti ke Kuala Lumpur. Selain bilik studio, terdapat juga pangsapuri 3 bilik tetapi harganya lebih mahal. Pemandangan dari pangsapuri ini memang cantik kerana betul-betul mengadap ke KLCC dan ini sebenarnya yang menjadi tarikan untuk berkunjung ke sini. Selain itu lokasinya juga sangat strategik di mana ianya terletak bersebelahan dengan Stesen LRT Kampung Baru serta Pintasan Saloma. Untuk ke KLCC ianya hanya mengambil masa 14 minit jika berjalan kaki melalui Pintasan Saloma kerana jaraknya hanyalah 1km. Di bawah pangsapuri ini, terdapat juga mini market dan juga restoran, jadi pengunjung tidak perlu keluar untuk membeli barang keperluan ataupun makanan. Jika ingin makan di luar, terdapat banyak restoran dan gerai di sekitar pangsapuri ini. Selain di booking.com, pangsapuri ini ada juga di Airbnb tetapi harganya adalah berlainan bergantung kepada tarikh dan juga siapa yang menguruskannya. Cuma yang mungkin menjadi masalah ialah hanya satu kad akses sahaja diberi dan untuk parkir pula, hanya satu parkir disediakan bagi setiap bilik.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang / Taman Permainan
View dari Kolam
View dari Bilik
Comments