Minggu ini saya ke Genting Highlands dan memilih dua buah hotel yang baru sahaja beroperasi. Hotel pertama ini terletak di Genting Permai Avenue iaitu sebelum sampai ke Gohtong Jaya. Hotel ini sebenarnya terletak di sebuah residen iaitu Vista Residences, betul-betul di tepi jalan turun dari puncak Genting Highlands. Saya membuat tempahan menggunakan aplikasi Trip.com dan memilih bilik jenis deluxe berharga RM110.42 dan ianya tanpa sarapan pagi.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 10.00 malam dan terus sahaja membuat proses daftar masuk di lobinya yang terletak di tingkat bawah bangunan residen. Lobinya kecil sahaja dan selain kaunter terdapat juga beberapa buah kedai di aras yang sama. Proses daftar masuk sangat cepat dan hotel ini tidak mengenakan sebarang deposit. Pengunjung hanya perlu membayar cukai sebanyak RM3 (untuk hotel seluruh negeri Pahang akan dikenakan cukai ini). Kaunter hotel ini hanya beroperasi pada pukul 7 pagi sehingga 12.30 tengahmalam.
Selepas mendapat kad akses bilik saya terus menaiki eskalator ke Tingkat 1 untuk ke bilik saya. Laluan untuk ke bilik hotel ini sangat kemas, cantik serta bersih. Bilik deluxe hotel ini hanya berkeluasan 182 kaki persegi. Memasuki bilik terdapat sebuah meja di tepi pintu masuk di mana di atasnya diletakan peti sejuk mini serta perkakas untuk membancuh kopi dan teh. Terdapat juga sebuah kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat di sini. Di sebelahnya pula terdapat satu almari kecil yang mempunyai pintu. Di dalam almari ini terdapat peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika. Bilik deluxe ini menyediakan satu katil king. TV pula digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan ianya besar, mungkin bersaiz 60 inci.
Bilik air pula agak besar di mana terdapat singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya pula menyediakan pancuran jenis pegang dan juga siling. Ruang pancuran ini agak luas dan selesa ditutupi oleh cermin seratus peratus lutsinar. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi serta tuala tangan.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju di mana kelajuannya mencecah 64mbps. Untuk telco pula, Tune Talk mempunyai kelajuan 96mbps sementara Celcom pula 73mbps. Hotel ini menyediakan Smart TV di mana hanya terdapat siaran asas sahaja tetapi kesemua siarannya di dalam bentuk HD. Pengunjung boleh juga menonton Netflix (perlu ada akaun) ataupun Youtube. Tekanan air di bilik mandi pula kuat. Untuk yang membawa kenderaan pula, hotel ini menyediakan parkir yang dikenakan bayaran sebanyak RM11 untuk sehari.
Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan hotel ini. Hotel ini cantik, kemas dan bersih serta harganya juga murah. Lokasi hotel ini terletak 2 km ke Gohtong Jaya, 4.4 km ke GHPO dan 10 km untuk ke puncak Genting Highlands. Cuma di dalam bilik hanya terdapat 1 soket sahaja serta hanya menyediakan 2 biji bantal. Selain bilik jenis deluxe, hotel ini juga mempunyai bilik yang mempunyai balkoni dan jika saya kembali lagi ke sini, saya akan mencuba menginap di bilik tersebut pula.
Bilik
Bilik Air
Hotel
Pemandangan dari Bilik
Comments