Mengikut perancangan asal pada minggu ini staycation saya sepatutnya di Sunway Resort kerana saya masih lagi mempunyai baucer bilik percuma. Disebabkan masalah teknikal rancangan tersebut terpaksa dibatalkan di saat akhir. Memang agak payah mencari hotel di saat-saat akhir kerana kebanyakkan hotel harganya telahpun mahal. Akhirnya saya membuat keputusan untuk ke hotel ini kerana harganya agak murah dari kebiasaan. Hotel ini di bawah rangkaian Marriott Bonvoy tetapi saya menggunakan aplikasi Trip.com kerana harganya lebih murah di aplikasi tersebut. Saya mendapat harga RM684 untuk bilik berserta sarapan untuk dua orang dan harga ini juga sudah termasuk cukai. Hotel ini letaknya di IOI City iaitu bersebelahan dengan IOI City Mall.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.00 petang dan terus sahaja ke lobi hotel yang terletak di tingkat bawah. Lobi hotel ini agak besar tetapi sangat ringkas (simple). Selain kaunter terdapat sebuah kafe di aras yang sama serta sebuah restoran di mana pengunjung akan bersarapan pagi di restoran ini. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan oleh kerana bilik saya belum lagi sedia, saya terlebih dahulu pergi ke IOI City Mall untuk makan tengahari. Saya menerima panggilan talipon dari hotel pada pukul 2.21 petang mengatakan bilik saya telahpun sedia. Waktu rasmi daftar masuk hotel ini ialah pada pukul 3 petang.
Saya kembali semula ke hotel pada pukul 2.45 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk mengambil kad akses. Sebaik menerima kad akses bilik, saya menaiki lif untuk ke Tingkat 15. Terdapat 4 buah lif di hotel ini dan lifnya agak cepat. Bilik jenis Guest Room yang saya inap ini mempunyai keluasan 430 kaki persegi dan ianya luas. Sebaik memasuki bilik terdapat almari berpintu gelongsor di sebelah kiri pintu masuk di mana saiznya besar. Di dalam almari ini disediakan tempat untuk menyangkut baju serta peti simpanan keselamatan. Terdapat sepasang jubah mandi (bathrobe) yang digantung di dalam almari ini. Di sebelah almari ini terdapat kabinet yang menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula terdapat perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Hotel ini menyediakan beberapa minuman serta biskut dan ianya adalah percuma. Di sebelah kanan pintu masuk terletaknya bilik air.
Biliknya luas menempatkan satu katil king. Di sebelah kanan katil terdapat satu sofa sederhana besar serta meja bulat kecil di tepinya. Meja kerja serta satu kerusi terletak di penjuru kanan kaki katil dan saiznya agak besar. Di atas meja ini terdapat satu lampu bacaan. TV pula seperti hotel yang lain digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan saiznya besar, mungkin 60 inci. Antara TV dan juga kabinet peti sejuk terdapat satu meja untuk meletak barang-barang. Bilik yang saya inap ini mengadap ke Hotel Moxy dan juga padang golf.
Bilik airnya pula agak luas menempatkan singki, tandas, ruang pancuran (shower) serta tab mandi (bathtub). Dinding yang bertentangan dengan katil adalah cermin seratus peratus lutsinar tetapi terdapat bidai di dalam bilik airnya. Hotel ini menyediakan mangkuk tandas yang terdapat paip dari dalam dan tidak menyediakan gelung paip. Ruang pancuran pula menyediakan pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang pancuran ini agak kecil ditutupi oleh cermin seratus peratus lutsinar tetapi saiz tab mandinya agak besar. Sebagai sebuah hotel bertaraf lima bintang hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap.
Kolam renang hotel ini terletak di Tingkat 3 dan saiznya besar. Selain kolam renang dewasa disediakan juga kolam renang untuk kanak-kanak. Waktu ianya dibuka ialah pada pukul 7 pagi sehingga 9 malam. Di aras yang sama terdapat juga sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam serta kelab kanak-kanak yang dibuka pada pukul 9 pagi hingga 5 petang. Walaupun kolamnya besar, lanskap serta susunatur kolam renangnya tidak begitu menarik bagi saya.
Wifi percuma di dalam bilik agak laju dengan kelajuan mencecah 67mbps. Telco pula mempunyai kelajuan 421mbps bagi CelcomDigi dan bagi Tune Talk pula ianya mempunyai kelajuan 102mbps. Siaran TV yang disediakan tidaklah banyak tetapi kebanyakkan siarannya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati mandi di pancurannya. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining dan harganya agak mahal. Sebagai contoh nasi goreng istimewa berharga RM47 dan jus buah-buahan pula RM24. Untuk yang membawa kenderaan pula, hotel ini ada menyediakan parkir dan ianya adalah percuma. Pengunjung hanya perlu mendaftarkan nombor plat kenderaan mereka semasa proses daftar masuk.
Untuk sarapan pagi pula, ianya di Restoran Latest Recipe yang terletak di lobi hotel. Menu sarapan hotel ini sangat pelbagai dan makanan yang saya cuba semuanya sedap bagi saya. Kakitangan yang bertugas sangat ramah dan membantu. Jika pembaca ingin ke hotel yang menyediakan makanan yang pelbagai dan sedap, ini adalah salah satu hotel yang saya akan syorkan. Harga sarapan di hotel ini ialah RM78 tetapi jika pembaca mengambil bilik dan sarapan, harganya cuma RM45 untuk seorang.
Hotel ini bagi saya agak mahal jika dibandingkan bilik dan harganya, tambahan pula ianya terletak di Putrajaya dan bukannya di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Hotelnya agak suram dan kurang ceria dan pencahayaannya juga tidak begitu menarik. Lobinya terlalu ringkas tidak sepadan dengan namanya yang gah. Dari segi lokasi, hotel ini terletak bersebelahan dengan IOI City Mall memudahkan pengunjung untuk membeli-belah atau bersiar-siar di mall tersebut. Jika pembaca inginkan bilik yang luas serta tidak kisah dengan harganya yang mahal, bolehlah menginap di sini tetapi jika inginkan hotel yang lebih ceria dan cantik serta harganya yang lebih murah, bolehlah menginap di Hotel Moxy kerana ianya juga terletak bersebelahan dengan IOI City Mall. Pada minggu hadapan saya akan ke Palm Garden Hotel pula, juga terletak di Putrajaya.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Sarapan
Comments