top of page
Search
hanuds

Le Meridien Petaling Jaya (28-29/9/24)

Minggu ini saya ke satu hotel di bawah rangkaian Marriott Bonvoy. Hotel yang terletak di Petaling Jaya ini telah dibuka pada 2018 dengan nama New World Hotel tetapi telah ditukar kepada Le Meridien pada Jun 2022 selepas diambil alih oleh Marriott Bonvoy. Terletak di Jalan SS 7/26a, hotel ini mempunyai 300 bilik. Saya menempah bilik menggunakan aplikasi Trip.com dengan harga RM360. Harga ini telah termasuk cukai tetapi tidak termasuk sarapan pagi.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.50 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di Tingkat 2. Lobi hotel ini luas dan cantik. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan hotel ini tidak mengenakan sebarang deposit. Oleh kerana bilik saya telahpun sedia, saya terus diberi kad akses bilik. Saya menaiki lif untuk ke Tingkat 19 dan hotel ini mempunyai 4 buah lif. Masa untuk mendapatkan lif tidak mempunyai sebarang masalah oleh kerana pengunjung tidaklah ramai.


Sebaik memasuki bilik, rekabentuk biliknya mengingatkan saya kepada bilik Hotel Capri by Fraser di Bukit Bintang kerana bilik airnya boleh diakses melalui dua arah. Bilik deluxe yang saya inap ini mempunyai keluasan 387 kaki persegi dan ianya agak luas. Sebaik memasuki bilik, pintu bilik airnya terletak di sebelah kanan pintu masuk dan di ruang katil pula selain satu katil king, terdapat satu sofa di sebelah kanan katil dan saiznya sederhana besar. Di kiri katil pula terdapat almari berpintu gelongsor di mana pintunya berkongsi dengan pintu untuk masuk ke bilik air (dari arah katil). Di dalam almari ini selain tempat untuk menyangkut baju, terdapat seterika dan juga papan seterika. Sepasang jubah mandi (bathrobe) digantung di dalam almari ini.


Di dinding bertentangan dengan kaki katil pula terdapat kabinet panjang di mana di bahagian paling kiri terdapat satu peti ais mini. Di sini juga terdapat perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh yang diletakkan di dalam laci. Cerek letrik serta dua botol air minuman diletakkan di sebelah peti sejuk. Di tepi sebelah kanan pula terdapat peti simpanan keselamatan dan di tepi tingkap cermin terdapat satu meja bulat serta satu kerusi. TV berukuran 45 inci pula digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan yang cantik, iaitu mengadap ke Bandaraya Kuala Lumpur.


Bilik airnya pula terdapat di sebelah kiri katil dan ianya boleh diakses melalui dua arah samada dari pintu masuk atau dari katil. Keduanya mempunyai pintu gelongsor yang tidak boleh dikunci. Bilik airnya agak besar menempatkan singki, ruang tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Ruang tandas dan pancuran ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar. Di ruang tandas ada disediakan gelung paip dan di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Sebagai hotel berstatus 5 bintang hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala muka dan tuala tangan.


Salah satu keistimewaan hotel ini ialah kolam renang infinitinya yang terletak di atas bangunan (rooftop). Saiznya besar dan selain kolam renang dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Waktu kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 6.30 pagi hingga 7 petang dan pintu untuk akses ke kolam renang ini pula dibuka pada 6.30 pagi dan ditutup pada 11 malam. Selain kolam renang, di bahagian rooftop ini terdapat sebuah restoran dan pengunjung boleh melihat pemandangan Bandar Petaling Jaya secara 360 darjah.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 16mbps sementara CelcomDigi pula berkelajuan 159mbps tetapi Tune Talk agak perlahan di mana kelajuannya hanyalah 11mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang agak banyak dan juga di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi juga kuat dan saya sangat puas mandi di pancurannya. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining tetapi harganya agak mahal. Saya sempat mencuba char kway teow yang berharga RM43 dan rasanya sedap bagi saya. Untuk daftar keluar (check-out), hotel membenarkan saya keluar pada jam 1 petang.


Secara peribadi saya lebih menyukai hotel ini jika dibandingkan dengan Le Meridien Kuala Lumpur dan juga Putrajaya. Lokasi hotel ini juga terletak betul-betul di sebelah Paradigm Mall, memudahkan pengunjung untuk makan atau membeli-belah di situ. Suasananya juga tenteram dan tidak sibuk. Hotel ini mempunyai rooftop di mana pengunjung dapat menikmati pemandangan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dengan sangat cantik. Hotel ini ada menyediakan parkir dan ianya adalah percuma bagi pengunjung hotel. Bagi yang ingin datang dengan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak agak jauh dari stesen LRT di mana stesen LRT yang paling hampir ialah Stesen LRT Kelana Jaya yang terletak kira-kira 2.3km.



Bilik



Bilik Air



Lobi



Kolam Renang



Hotel



Pemandangan



54 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page