top of page
Search
hanuds

Langkawi (13-15/11/21)

Ini adalah kali kedua kami ke Langkawi sejak pandemik melanda. Kali pertama ialah pada Oktober tahun lepas. Oleh kerana Airasia ada membuat jualan murah, kami pun mengambil keputusan untuk sekali lagi ke Langkawi pada tahun ini. Dengan tiket pergi balik berharga RM24, sampailah kami sekali lagi ke pulau lagenda itu pada tahun ini.

Hari Pertama


Penerbangan kami ke Langkawi pada pukul 8.00 pagi pada 13 November 2021. Kami menaiki kereta untuk ke KLIA2 dan tiba di KLIA2 kira2 pukul 5.30 pagi. Pada pukul 6.15 pagi kami pun memasuki balai berlepas di mana pintu pelepasan penerbangan kami ialah di pintu J15, iaitu yang paling hujung. Jadi penat jugalah kami berjalan di KLIA2 tu.


Tepat pukul 8.00 pagi kami pun terbang ke Langkawi. Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kira2 sejam kemudiannya. Cuaca pada masa itu hujan renyai. Selepas keluar dari balai ketibaan, saya pun menghubungi tuan kereta sewa dan mengambil kereta di situ. Kami menyewa Avanza (kami seramai 7 orang) dengan bayaran RM220.


Selepas itu kami terus ke Padang Mat Sirat untuk bersarapan pagi tapi sebelum itu kami terlebih dahulu mengisi petrol sebanyak RM50. Kami memesan roti canai dan juga telur separuh masak. Jumlah keseluruhan sarapan pada pagi itu adalah RM37.00 (macam tak percaya aje, sebab murah sangat). Kali ini salah seorang dari kami belanja untuk sarapan (terima kasih Zali).


Perut pun dah kenyang, kami menaiki kereta ke jeti yang terletak di Tanjung Rhu untuk memulakan Mangrove Tour. Sampai sahaja di tempat letak kereta, kami pun menyalin pakaian kami untuk memulakan Mangrove Tour. Disebabkan nak cepat, tak perasan pula handphone ada di dua2 belah poket seluar. Malang tak berbau kata orang, Huawei P40 Pro yang saya letak di poket kanan tiba2 jatuh. Aduhhh, skrin pecah tetapi masih lagi boleh digunakan. Nasib baik Oppo Reno5 di poket sebelah kiri tidak ikut jatuh juga. Disebabkan kejadian ini kos untuk ke Langkawi menjadi seribu lebih (saya menggantikan skrin selepas pulang ke Kuala Lumpur). Harga skrin Huawei P40 Pro tersebut ialah RM916. Setelah dicampur dengan kos pemasangan RM60, terbanglah RM976 (lain kali perlu berhati2).


Sampai di kaunter, kami membayar sebanyak RM350 untuk Mangrove Tour selama 4 jam (pakej boleh selama 2 jam 3 jam ataupun 4 jam). RM350 itu adalah untuk satu bot. Destinasi pertama tour ini ialah ke Gua Kelawar. Untuk memasuki gua ini bayaran RM2 dikenakan dan sewaan lampu suluh sebanyak RM1. Guanya tidakla besar, dan kawasannya tidaklah luas.


Selepas itu kami menuju ke laut yang terdapat tulisan Kilim Geoforest Park, yang selalu dijadikan tempat bergambar pelancong2. Selepas itu kami dibawa ke satu kawasan untuk snorkeling. Sesudah itu bot membawa kami ke Pantai Tanjung Rhu untuk mandi manda di situ. Selepas puas mandi di Pantai Tanjung Rhu, kami dibawa ke satu kawasan yang banyak burung helang dan juga monyet. Kemudian kami dibawa pula ke satu gua yang dinamakan Gua Buaya (kerana terdapat batu yang menyerupai kepala buaya di pintu gua ini), di mana bot akan melalui gua ini.


Destinasi seterusnya ialah satu tempat yang menjadi bualan pada masa ini, iaitu satu restoran terapung yang menempatkan sangkar2 ikan dan juga makanan laut yang lain. Selain untuk pengunjung melihat makanan laut, pengunjung juga boleh makan di restoran ini. Oleh kerana kami telah pun makan di restoran ini pada tahun lepas, kami hanya berhenti sebentar sahaja di sini sebelum meneruskan perjalanan kami untuk pulang.


Sampai di jeti kami pun singgah di satu gerai yang terdapat di situ. Saya memesan mee bandung udang dan rakan2 yang lain memesan nasi goreng special. Untuk lunch seramai 7 orang di sini, kami membayar sebanyak RM104.00. Selepas kenyang kami pun bertolak menaiki kereta ke hotel yang terletak di Pantai Chenang.


Kami menginap di Hotel Cenang View yang terletak berhampiran dengan Underwater World. Kami mengambil 2 bilik yang menempatkan 2 katil queen. Untuk 2 bilik selama 2 malam ianya berharga RM478.80. Biliknya sederhana besar dan agak selesa. Bilik airnya juga agak luas.


Pada sebelah petangnya kami ke Pekan Kuah untuk membeli coklat dan pulang semula ke hotel selepas itu. Untuk makan malam di hari pertama ini, kami memilih untuk makan di food truck yang terdapat berhampiran dengan hotel kami menginap. Untuk makan malam ini, kosnya adalah sebanyak RM80.00 sahaja. Selepas makan malam kami pun pulang ke hotel untuk berehat.



Hari Kedua


Hari kedua kami mulakan dengan bersarapan di gerai berhampiran dengan hotel kami (iaitu tempat kami makan malam di hari pertama). Kami makan roti canai dan juga nasi lemak. Untuk sarapan ini kami membelanjakan RM35.00.


Selepas bersarapan, kami pulang semula ke hotel untuk bersiap2. Pada hari kedua ini kami memilih pakej island hopping ke Pulau Dayang Bunting. Kami ke jeti yang jauhnya hanya kira2 2.5 km dari hotel kami menginap. Sampai di jeti kami pun menaiki bot untuk ke Pulau Dayang Bunting yang mengambil masa kira2 15 minit. Di pulau ini terdapat Tasik Dayang Bunting yang terkenal di Pulau Langkawi ini. Untuk ke tasik ini, pengunjung perlu mendaki bukit kira2 10 minit. Pengunjung juga perlu membayar tiket masuk berharga RM3.00 untuk seorang.


Selepas mengambil gambar di tasik tersebut, kami pun pulang semula ke bot kami. Kami dibawa pula ke Pantai Beras Basah untuk mandi manda, tetapi dalam perjalanan kami singgah sebentar di satu kawasan yang banyak burung helang, selepas itu barulah kami menuju ke Pantai Beras Basah. Sampai sahaja di pantai tersebut kami pun makan nasi lemak yang telah kami beli sebelum menaiki bot. Modal untuk nasi lemak itu ialah RM23.00. Selepas itu kami mandi manda di pantai tersebut.


Selepas puas mandi manda kami pun bertolak pulang ke jeti. Sampai di jeti kami pun menaiki kereta untuk pulang ke hotel. Sampai di hotel kami pun membersihkan diri dan bersiap untuk ke Pekan Kuah untuk ke satu kedai jam yang menjual G-shock (tahun lepas kami sudah pun ke kedai ini di mana harga G-shock di kedai ini boleh dikatakan murah). Walau bagaimanapun tidak banyak stok G-shock di kedai ini jika dibandingkan dengan tahun lepas.

Dari Pekan Kuah kami terus ke Lapangan Terbang untuk makan laksa yang terkenal di Langkawi ini, iaitu laksa ikan sekoq. Harga untuk kami makan pada petang itu ialah RM88.00. Sambil makan kami menikmati keindahan sunset di Pulau Langkawi pada petang itu. Selepas habis makan kami pun pulang ke hotel untuk mandi dan berehat.


Pada malamnya kami memilih satu gerai yang menyediakan shell-out. Gerai tersebut terletak juga di Pantai Chenang, kira2 15 minit dengan berjalan kaki dari hotel kami menginap. Shell-out di kedai ini sedap (sebenarnya pada tahun lepas kami juga makan shell-out di gerai ini). Pakej shell-out tersebut berharga RM163.00. Selepas makan malam, kami pun pulang ke hotel untuk berehat dan tidur.



Hari Ketiga


Kami memulakan hari ketiga kami di Langkawi dengan bersarapan pagi di gerai yang sama, menu juga roti canai dan juga nasi lemak. Hari ini harga sarapan kami ialah RM27.50. Selepas itu kami pulang semula ke hotel untuk mengemas barang2 kami sebelum check-out dari hotel. Selepas check-out kami menuju ke Telaga Harbour Marina untuk bergambar.


Dari Telaga Harbour itu kami menuju ke satu restoran yang agak terkenal di Pulau Langkawi ini iaitu Restoran Kak Yan Nasi Campur yang terletak di Kampung Padang Gaong. Selain terkenal dengan lauk pauknya yang pelbagai, restoran ini juga terkenal dengan ikan bakar. Untuk 7 orang, kami membayar sejumlah RM100.00 untuk makan tengahari pada hari tersebut.


Oleh kerana masih ada masa disebabkan penerbangan kami pada pukul 4.30 petang, kami pun menuju ke satu gerai untuk makan cendol. Gerai ini betul2 terletak di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Mat Sirat. Selain cendol, gerai ini juga ada menjual pisang goreng dan juga keledek goreng. Untuk makan kali ini kami membayar sejumlah RM27.00.


Selepas menikmati cendol dan pisang goreng, kami pun ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Kami hanya meninggalkan kereta sewa di tempat letak kereta di sini. Kami check-in luggage terlebih dahulu sebelum masuk ke balai berlepas. Penerbangan kami lewat selama setengah jam, jadi kami berlepas ke KLIA2 pada kira2 pukul 5.00 petang dan tiba di KLIA2 sejam kemudiannya. Kami pun terus ke kereta yang kami tinggalkan di tempat letak kereta di KLIA2. Jumlah bayaran untuk letak kereta bagi 3 hari 2 malam ialah RM132.00.



Nota


Jumlah keseluruhan kos semasa kami berada di Langkawi ialah RM2,079.30. Dibahagi tujuh, kos untuk seorang ialah kira2 RM297.00. Jadi kos keseluruhan untuk ke Langkawi pada kali ini ialah kira2 RM321.00 seorang (selepas dicampur tambang penerbangan). Untuk 3 hari 2 malam dengan kos RM321.00 seorang, ini adalah murah bagi saya. Sebenarnya kita boleh sahaja melancong dengan kos yang murah jika kita memilih untuk tinggal dan makan di tempat yang murah2.

301 views0 comments

Commentaires


Post: Blog2_Post
bottom of page