Krabi ni memang dah kerap sangat pergi, sejak kali pertama pergi pada tahun 2012. Sejak itu memang selalu pergi lah, ibarat balik kampung. Ada beberapa faktor yang menyebabkan saya suka sangat pergi Krabi ni. Pertama sebab dekat, penerbangan hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam 20 minit. Keduanya senang access, sampai saja di airport, saya akan ambil teksi atau kereta sewa terus ke Ao Nang, 30 minit aje dah sampai. Ketiganya sebab pulau2nya yang cantik dan yang terakhir sebab makanannya yang saya suka, sebab saya memang suka makanan Siam ni.
Saya membeli tiket Airasia pada 16/8/18, iaitu kira2 7 bulan sebelum ke Krabi. Tiket hanya berharga RM220.22 (return). Nak tiket murah kenala beli awal, tapi ke Krabi ni untuk mendapatkan tiket murah agak mudah berbanding dengan destinasi yang lain. Kali ini kami pergi seramai 6 orang (sepatutnya bertujuh, tapi seorang kawan tidak dapat ikut serta).
Hari pertama
Saya dan seorang rakan lagi bertolak ke KLIA2 menaiki bas dari KL Sentral, sementara yang lain berjumpa di KLIA2. Kami berdua bertolak ke KLIA2 lebih kurang pukul 10.45 pagi dan sampai di KLIA2 pada pukul 12 tengahari. Sampai saja di KLIA2 kawan2 yang lain sudah pun menunggu. Kami pun masuk ke balai berlepas dan terbang ke Krabi pada pukul 1.30 tengahari.
Kami tiba di Krabi International Airport pada pukul 1.55 petang waktu Thailand (sejam lewat dari waktu di Malaysia). Selepas tiba di airport kami pun menaiki van untuk ke pantai Ao Nang (van telah disewa secara online). Dari airport ke Ao Nang mengambil masa lebih kurang 30 minit. Kami terus ke hotel untuk check in. Kali ni kami tinggal di Ao Nang Grand Inn. Kami mengambil 2 bilik (4+3).
Selepas check in kami pun keluar untuk makan tengahari di salah sebuah restoran halal di situ. Di Ao Nang ni tak payah risau sebab memang banyak restoran2 halal, tak seperti dulu. Kali ini kami memilih untuk makan di Restoran Jamai Halal Seafood.
Selepas makan kami pulang ke hotel untuk mandi dan berehat. Pada petangnya kami ke pantai Ao Nang untuk melihat sunset (ini merupakan aktiviti yang wajib kalau ke sini). Selepas itu pulang semula ke hotel untuk berehat.
Pada malamnya kami hanya makan pancake yang memang terkenal di Ao Nang ni. Selepas itu kami pun pulang ke hotel untuk berehat dan tidur untuk aktivit besoknya.
Hari kedua
Pada hari kedua di Krabi kami mengambil pakej island hopping iaitu Hong Island Tour. Sebenarnya ada 4 pakej yang terkenal di Krabi ni dan ini adalah salah satunya. Untuk pakej ini di pagi hari (dalam 8.30 pagi) kami menunggu van untuk membawa kami ke jeti. Perjalanan ke jeti agak jauh juga, iaitu kira2 20 minit dari hotel.
Sampai di jeti kami menunggu pelancung2 yang lain. Sehinggalah kesemua pelancung2 tiba, kami akan dibawa ke bot untuk memulakan tour island pada hari itu. Speed boat yang membawa kami itu agak besar, boleh memuatkan lebih kurang 20 ke 30 orang dalam satu2 masa. Ada beberapa destinasi persinggahan dalam pakej ini dan semuanya cantik2 belaka. Bot akan berhenti antara 30 ke 45 minit di satu2 destinasi untuk pelancung2 mandi manda dan bersantai di tepi pantai.
Persinggahan pertama pada hari itu ialah Hong Island Lagoon. Ini merupakan lagun yang di kelilingi oleh bukit batu kapur. Laluan masuk hanya boleh memuatkan satu bot sahaja. Kami bernasib baik kerana tidak banyak bot yang masuk pada waktu itu. Oleh itu kami berkesempatan untuk turun ke air dan mandi di situ. Airnya tidaklah dalam, hanya setakat paras pinggang sahaja tetapi agak berbau diesel disebabkan lagun itu tertutup untuk arus air.
Destinasi kedua kami ialah ke Laolading Island. Pantai di pulau ini agak sempit dan kecil. Jika banyak bot2 yang berlabuh di pantai, ianya akan menyebabkan kesesakan untuk mandi manda di pantai ini. Pemandangan di pulau ini sangat cantik dan ada yang memanggilnya dengan panggilan Paradise Island.
Selepas itu kami bertolak pula ke Pak Bia Island. Merupakan 2 buah pulau yang berdekatan antara satu sama lain. Kami makan tengahari di pulau ini (termasuk dalam pakej). Selepas makan kami pun mandi manda di pulau ini yang juga cantik pemandangannya.
Akhir sekali kami ke Hong Island Bay yang mempunyai pantai yang cantik. Pantainya yang agak terlindung menyebabkan air laut di sini agak tenang dan kurang berombak. Di sini selalunya bot berhenti paling lama disebabkan pantainya yang agak luas sesuai untuk pelancung2 mandi manda sambil berehat.
Lebih kurang pukul 2.30 petang kami pun bertolak pulang semula ke Ao Nang. Sampai di jeti kami menaiki van untuk pulang ke hotel. Sampai di hotel, kami mandi dan berehat. Pada petangnya seperti biasa kami ke pantai Ao Nang untuk melihat sunset. Kalau cuaca baik biasanya sunset di pantai Ao Nang ni sangat cantik.
Selepas melihat sunset kami pun makan malam di salah sebuah restoran halal di Ao Nang. Selepas itu kami berjalan2 di sekitar Ao Nang untuk melihat barangan jualan. Banyak gerai yang menjual tshirt dan barangan cenderahati yang lain. Selepas itu kami pulang ke hotel untuk berehat dan tidur.
Hari ketiga
Di hari ketiga kami mengambil pakej 4 Island Tour. Seperti semalamnya paginya kami menunggu di lobi hotel untuk menunggu van yang akan membawa kami ke jeti. Pada hari ni kami menaiki bot di jeti yang lain dari semalamnya. Hari ni kami juga menaiki speed bot yang saiznya lebih kurang sama dengan bot semalam.
Sampai di jeti seperti biasa kami menunggu pelancung2 lain. Setelah semuanya sampai kami pun dibawa ke bot untu memulakan island hopping pada hari itu. Destinasi pertama pada hari itu ialah ke Pranang Beach. Ianya merupakan pantai yang luas. Di sini juga terdapat sebuah gua. Kami pun mandi manda di pantai, dan sempat juga makan somtam yang dijual di dalam bot2 kayu yang terdapat di pantai ini.
Tempat kedua dalam pakej 4 Island ini ialah mengunjungi Tub Island. Merupakan 2 buah pulau yang dihubungkan oleh beteng pasir (di waktu air surut kita boleh pergi ke pulau yang satu lagi). Seperti biasa kami mandi manda di pantai pulau ini sebelum bergerak ke destinasi seterusnya.
Destinasi seterusnya ialah kami snorkeling berhampiran dengan Chicken Island. Dinamakan sebegitu oleh kerana bentuknya yang seakan2 ayam. Di sini bot hanya diberhentikan di tengah laut untuk pelancung2 turun snorkeling di laut. Selepas itu kami bergerak ke destinasi terakhir iaitu Poda Island.
Sampai di Poda Island kami pun makan tengahari yang termasuk di dalam pakej. Poda Island ini mempunyai pantai yang luas dan airnya yang jernih. Selepas makan dan berehat, kami pun mandi manda di pantai pulau ini yang sangat cantik dan tenang, rasa seperti mandi di kolam renang pulak.
Selepas puas mandi kami pun pulang semula ke Ao Nang lebih kurang pukul 2.30 petang. Sampai di jeti kami dibawa dengan kenderaan ke hotel. Sampai di hotel kami membersihkan diri dan berehat sebelum petangnya kami ke pantai Ao Nang lagi untuk melihat sunset.
Selepas itu kami pun pergi ke kawasan berhampiran masjid (agak jauh dari pantai). Di situ banyak orang yang meniaga bermacam2 barangan. Kami makan malam di salah sebuah restoran di situ yang terletak di hadapan masjid iaitu Restoran @ Ap-Nang. Selepas makan kami berjalan2 di sekitar Ao Nang untuk membeli souvenir sebelum pulang ke hotel untuk berehat dan tidur.
Hari keempat
Kami bangun awal kerana perlu segera ke airport untuk pulang ke Malaysia. Kami bergerak ke airport lebih kurang pukul 6.15 pagi dan sampai ke airport lebih kurang pukul 7 pagi. Penerbangan kami ke KLIA2 ialah pada pukul 8.25 pagi dan kami selamat tiba di KLIA2 kira2 pukul 10.55 pagi waktu Malaysia.
Comments