top of page
Search
hanuds

KLoe Hotel Kuala Lumpur (6-7/1/24)

Updated: Jan 8

Untuk pembukaan tahun 2024 saya kembali ke satu hotel yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan ini adalah antara hotel yang saya suka kerana reka bentuk dalamannya (interior) yang cantik. Ini merupakan kali kedua saya menginap di sini, kali pertama ialah pada penghujung tahun 2021. Hotel yang telah memulakan operasinya pada Mac 2020 ini adalah kepunyaan suami kepada selebriti terkenal Cheryl Samad. Saya menempah bilik hotel ini menggunakan aplikasi Booking.com dan kali ini saya memilih bilik yang lebih besar iaitu jenis Courtyard. Bilik ini berharga RM450.76 dan harga ini adalah tanpa sarapan pagi.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.40 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobi hotel ini cantik dan agak luas. Selain kaunter, terdapat sebuah kafe di lobinya. Hiasan dalaman hotel ini sememangnya cantik dan begitu juga lobinya. Susunatur perabut dan sofa di lobi hotel ini kemas dan cantik. Proses untuk daftar masuk (check-in) tidaklah mengambil masa yang lama dan layanan kakitangan hotel ini sangat baik. Hotel ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM100. Sebaik mendapat kad akses saya terus sahaja ke Tingkat 6 dengan menaiki lif. Terdapat hanya 2 buah lif di hotel ini dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk mendapatkan lif tidaklah lama.


Bilik Courtyard ini mempunyai keluasan 269 kaki persegi dan ianya agak luas. Sebaik memasuki bilik terdapat rak di sebelah kanan menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh serta cerek letrik. Terdapat juga mesin membancuh kopi yang diletakan di bahagian ini. Selain itu hotel ini menyediakan makanan ringan (snacks) dan ianya adalah percuma. Di sebelah rak ini terdapat tempat untuk menyimpan beg dan juga tempat untuk menyangkut baju. Di bawah tempat meletak beg ini terdapat laci yang menempatkan peti simpanan keselamatan. Sebuah katil king terletak di bahagian tengah bilik dan di sebelah kanan katil terdapat satu sofa panjang yang agak besar. Di hujung sofa ini pula iaitu di sebelah penjuru kanan kaki katil terdapat satu meja kerja yang agak besar. Terdapat juga sebuah kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat di bahagian ini. Di atas meja kerja ini terdapat satu lampu bacaan dan juga sebuah talipon. Hotel ini menyediakan TV bersaiz 43 inci yang digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.


Bilik air hotel ini kecil sahaja dan ianya mempunyai pintu gelongsor yang tidak boleh dikunci. Pintu gelongsor ini berkongsi dengan rak untuk menyangkut baju. Bilik airnya mempunyai cermin yang lut cahaya menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower) di mana ruang untuk pancuran ini tertutup sepenuhnya dengan cermin seratus peratus lutsinar. Hotel ini ada menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Hotel ini menyediakan perkakas mandian yang lengkap termasuklah berus gigi dan tuala tangan. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan mengadap ke kolam renang.


Walaupun hotel ini agak kecil tetapi terdapat kolam renang yang terletak di Tingkat 1. Saiz kolam renangnya kecil sahaja dan ianya cantik. Selain kolam renang, di aras yang sama juga terdapat sebuah restoran yang dinamakan ‘Monroe’. Ianya beroperasi dari jam 11 pagi hingga 11 malam (Selasa hingga Jumaat), 9 pagi hingga 11 malam (Sabtu dan Ahad) dan ditutup pada hari Isnin. Restoran ini menyediakan menu yang agak ringkas dan kesemuanya adalah makanan barat. Untuk yang menginap di hotel, restoran ini akan memberi diskaun sebanyak 20% dari harga makanan. Hotel ini ada menyediakan parkir dan bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM10.


Wifi percuma di dalam bilik mempunyai kelajuan sekitar 27mbps sementara telco pula laju dengan kelajuan 110mbps (Celcom) dan 102mbps (Tune Talk). Untuk siaran TV pula, ianya di dalam bentuk HD tetapi tidak banyak siaran yang disediakan. Tekanan air di dalam bilik air pula kuat dan saya sangat suka mandi di pancurannya dan hotel ini menyediakan gel mandian yang sangat wangi.


Secara peribadi saya sememangnya suka dengan hotel ini disebabkan itulah saya kembali lagi ke sini. Walaupun harganya agak mahal, hiasan dalaman hotel ini sememangnya cantik dan sangat sesuai bagi yang suka bergambar (ootd). Lokasi hotel ini tidaklah jauh dari pusat membeli-belah Pavilion, hanya sekitar 700 meter dan hanya 650 meter untuk ke Exchange TRX. Untuk yang menggunakan pengangkuatan awam pula, hotel ini terletak 800 meter dari Stesen MRT Bukit Bintang. Selain cantik, hotel ini juga sangat bersih, cuma hotel ini tidak begitu sesuai kepada yang telah berkeluarga terutamanya yang mempunyai anak kerana selain pintu bilik airnya yang tidak boleh dikunci, ianya juga mempunyai cermin yang lut cahaya. Walaupun tidak seratus peratus lutsinar, masih dapat dilihat dengan agak jelas bayang-bayang dari luar bilik air. Oleh itu hotel ini mungkin hanya sesuai kepada yang solo atau yang berpasangan sahaja melainkan pembaca tidak kisah dengan bilik airnya yang sebegitu.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Hotel


Makanan


117 views0 comments

Comentarios


Post: Blog2_Post
bottom of page