top of page
Search
hanuds

JW Marriott Kuala Lumpur (19-20/8/23)

Pada minggu ini staycation saya ialah ke satu hotel yang saya rasa semua orang tahu. Hotel yang letaknya di Bukit Bintang ini betul-betul berhadapan dengan pusat membeli-belah Pavilion. Hotel ini telah dibuka pada 12 Julai 1997 tetapi telah menjalani proses ubahsuai secara besar-besaran dan dibuka semula pada 5 December 2017. Hotel di bawah rangkaian Marriott ini adalah salah satu hotel kepunyaan YTL Group. Saya telah menempah bilik jenis Superior berharga RM464 (tanpa sarapan) dengan menggunakan aplikasi Trip.com, tetapi semasa mendaftar masuk saya telah diberikan bilik jenis Executive Deluxe.


Saya tiba di hotel agak awal iaitu kira-kira pukul 12 tengahari. Saya terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk (check-in). Lobi hotel ini besar tetapi agak kosong, hanya menempatkan kaunter-kaunter sahaja. Lobi hotel ini sebenarnya bersambung dengan pusat membeli-belah Starhill yang terletak bersebelahan. Oleh kerana bilik masih belum sedia, saya terlebih dahulu bersiar-siar di Pavilion yang hanya terletak di hadapan hotel ini sahaja. Pada pukul 1.15 petang saya menerima panggilan talipon dari hotel memberitahu bilik saya telahpun sedia. Saya kembali ke hotel kira-kira pukul 1.30 petang dan terus sahaja ke lobi untuk mengambil kad akses. Saya menaiki lif untuk ke tingkat 10 dan hotel ini mempunyai 6 buah lif. Walaupun pengunjung agak ramai tetapi lifnya agak cepat.


Bilik Executive Deluxe ini mempunyai keluasan 430 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat almari bertutup di sebelah kanan pintu masuk dan di sebelah kirinya pula ialah bilik air yang mempunyai pintu gelongsor yang boleh dikunci. Saiz almarinya agak besar di mana di dalam almari ini terdapat tempat untuk menyangkut baju dan juga mesin penimbang serta sekaki payung. Selain itu terdapat sepasang jubah mandi (bathrobe) dan dua pasang selipar di dalamnya. Di sebelah almari ini ialah dinding cermin yang agak besar bertentangan dengan bilik mandi.


Selain satu katil king, terdapat satu sofa yang agak besar di tepi tingkap dan di hadapannya pula terdapat satu meja bulat yang kecil. Di sebelah sofa ini terdapat satu kabinet yang menempatkan peti sejuk mini dan juga peti simpanan keselamatan. Di atasnya diletakan mesin pembancuh kopi serta peralatan untuk membancuh kopi dan juga teh. Di hadapan kabinet ini pula terdapat satu meja kerja yang kecil serta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Seperti kebanyakan hotel TV dilekatkan di dinding bertentangan dengan kaki katil dan hotel ini menyediakan TV yang besar, bersaiz 60 inci.


Bilik airnya pula tidaklah besar menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower) di mana di ruang pancuran ini terdapat pula tub mandi (bathtub) yang bersaiz kecil. Gelung paip ada disediakan di sebelah mangkuk tandas dan hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi dan tuala muka serta tuala tangan. Di ruang pancuran, terdapat pancuran jenis pegang dan siling dan ruang ini adalah bertutup dengan cermin yang seratus peratus lutsinar.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang besar yang terletak di tingkat 6 dan ianya adalah terbuka. Walaupun kawasannya agak luas tetapi lanskapnya agak kosong dan kelihatan tidak begitu menarik. Selain kolam renang untuk dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak di mana saiznya kecil sahaja. Waktu kolam renang dibuka ialah pada pukul 6.30 pagi dan ditutup pada pukul 6 petang. Di tepi kolam renang ini terdapat satu mini bar untuk pengunjung memesan minuman sambil bersantai di tepi kolam renang.


Di dalam bilik, wifi percuma yang disediakan hanyalah sekitar 10mbps. Telco pula mempunyai kelajuan yang laju di mana Tune Talk mencapai kelajuan 149mbps sementara Celcom pula 138mbps. Walaupun hotel ini menyediakan TV yang besar tetapi siarannya tidaklah banyak walaupun siarannya di dalam bentuk HD. Di bilik air pula, tekanan air sangat kuat dan saya sangat puas mandi di pancurannya (ini adalah antara hotel yang saya suka mandi di pancurannya). Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining tetapi harganya sangat mahal. Sebagai perbandingan nasi lemak berharga RM80, fish & chips pula berharga RM90 dan jus buah-buahannya berharga RM35. Hotel ini ada menyediakan parkir tetapi ianya bukanlah percuma, pengunjung perlu membayar RM10 untuk sekali masuk. Pemandangan bilik yang saya inap ini adalah mengadap ke Pavilion.


Memang tidak dinafikan hotel ini gah dengan namanya lebih-lebih lagi ianya di bawah rangkaian Marriott. Lokasinya yang terletak betul-betul di hadapan Pavilion menjadikan ianya terkenal dan seringkali pula menjadi pilihan bagi pengunjung yang ingin bersiar-siar di sekitar Bukit Bintang. Bilik hotel ini seringkali habis ditempah pada hujung minggu. Jika diambil kira harga bilik Executive Deluxe yang sekitar RM650, saya merasakan ianya tidak begitu setimpal dengan biliknya. Biliknya agak biasa bagi saya dan saya tidak begitu menyukai pencahayaan di dalam biliknya yang tidak begitu cantik dan kurang kemas. Secara peribadi saya lebih menyukai Hotel The Ritz Carlton yang terletak di belakang hotel ini oleh kerana biliknya yang kelihatan begitu mewah dan juga persekitaran hotelnya yang cantik. Selain itu The Ritz Carlton juga begitu tenang dan tidak begitu sibuk, tidak terdapat begitu ramai pengunjung yang berlegar-legar di sekitar hotel, tidak seperti hotel ini. Cuma saya merasakan yang staycation saya pada kali ini agak berbaloi memandangkan saya hanya perlu membayar RM464 sahaja untuk bilik jenis Executive Deluxe ini.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Hotel


116 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page