top of page
Search
hanuds

J-Hotel by Dorsett (25-26/2/23)

Minggu ini staycation saya masih lagi di Bukit Bintang, iaitu di Jalan Jati berhampiran Jalan Imbi. Hotel ini adalah hotel di bawah Dorsett dan lokasinya agak tersorok. Jika dilihat persekitarannya memang tidak akan menjangka ada hotel di kawasan ini. Saya menempah bilik superior menggunakan aplikasi Hopper dengan harga RM143.13 (tanpa sarapan). Bilik ini kecil sahaja, hanya berkeluasan 194 kaki persegi.


Saya tiba di hotel pada pukul 2.30 petang dan terus sahaja membuat pendaftaran masuk (check-in). Proses check-in cepat dan saya terus diberi kad akses bilik di tingkat 9. Hotel ini mempunyai hanya 1 lif dan oleh kerana orang tidaklah ramai, masa menunggu lif tidaklah lama (jika pengunjung ramai ini mungkin akan menjadi satu masalah). Biliknya kecil sahaja dan apabila memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kiri. Di ruang bilik selain satu katil king, terdapat kabinet di sebelah kanan katil untuk menyangkut baju, dan ianya adalah terbuka. Di bawahnya terdapat peti simpanan keselamatan. Di sebelah kabinet ini terdapat ruang menempatkan peti sejuk mini sementara di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh serta cerek letrik. Terdapat cermin muka di bahagian kabinet ini. Di penjuru kiri kaki katil pula terdapat satu ruang menempatkan meja kerja yang kecil serta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di bahagian dinding mengadap kaki katil pula terdapat TV berukuran 43 inci yang disangkutkan di dinding. Bilik yang saya inap ini mengadap ke Jalan Bukit Bintang iaitu ke arah Bangunan LTAT.


Bilik airnya juga kecil menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Ianya mempunyai pintu yang boleh dikunci. Tandasnya mempunyai gelung paip dan ruang pancurannya adalah tertutup dengan pintu cermin lutsinar dan saiznya juga kecil. Terdapat hanya pancuran jenis pegang sahaja disediakan. Peralatan mandian pula ada disediakan termasuklah berus gigi. Tekanan air di bilik mandi kuat dan saya sangat berpuas hati.


Untuk wifi percuma pula, ianya tidaklah laju hanya sekitar 5mbps sahaja tetapi telco mempunyai kelajuan yang laju di mana Celcom berkelajuan 108mbps sementara Tune Talk pula sedikit perlahan, 101mbps. Siaran TV pula tidak banyak tetapi siarannya dalam bentuk HD. Hotel ini mempunyai restoran yang terletak di tingkat 2. Walau bagaimanapun ianya hanyalah dibuka untuk sarapan pagi. Hotel ini tidak mempunyai kolam renang dan parkir juga tidak disediakan.


Secara peribadi saya menyukai hotel ini dari segi biliknya. Walaupun biliknya kecil tetapi bersih dan cantik. Tilam dan bantalnya sangat selesa. Dari segi lokasi pula hotel ini agak tersorok dan dikelilingi oleh bangunan-bangunan yang sedang dalam pembinaan. Walau bagaimanapun ianya tidak begitu jauh untuk ke Pavilion (hanya kira-kira 700 meter). Untuk yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak 750 meter ke stesen MRT Bukit Bintang. Jika ditanya, saya lebih suka staycation di hotel-hotel yang terletak di sebelah Jalan Alor kerana lebih senang untuk saya ke Jalan Alor ataupun ke Pavilion.


Bilik


Bilik Air


Pemandangan dari Bilik


Hotel


Jalan-jalan di Bukit Bintang


154 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page