Staycation berikutnya saya telah memilih satu hotel yang baru sahaja beroperasi 3 minggu yang lepas. Hotel yang terletak di Jalan Raja Chulan ini betul-betul di sebelah Menara Maybank Jalan Tun Perak. Nama hotel ini sebenarnya adalah singkatan dari perkataan 'Live your freedom'. Saya menempah bilik di hotel ini menggunakan aplikasi Booking.com dan telah memilih bilik yang dinamakan ‘One of a Kind’ yang mempunyai keluasan 204 kaki persegi. Bilik ini berharga RM187.41 dan ianya tidak termasuk sarapan pagi. Hotel ini adalah salah satu hotel di bawah rangkaian Ascott Star Rewards (asr) selain Ascott, Citadines, Oakwood dan beberapa hotel yang lain.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 3.30 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobinya kecil sahaja dan selain kaunter terdapat juga kafe di aras yang sama. Hotel ini tidak mengenakan sebarang deposit dan proses untuk check-in tidak mengambil masa yang lama. Setelah mendapat kad akses saya terus sahaja menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 10. Terdapat hanya 2 buah lif di hotel ini dan oleh kerana pengunjung tidak ada pada masa saya tiba, waktu menunggu lif sekejap sahaja.
Dengan keluasan hanya 204 kaki persegi, bilik jenis ini kecil sahaja. Sebaik membuka pintu, di hadapan pintu masuk ialah bilik air yang mempunyai pintu gelongsor yang boleh dikunci. Di bahagian katil pula, ianya sangat ringkas. Bilik hotel ini tidak mempunyai katil tetapi tilam diletakan di atas lantai kayu yang sedikit tinggi dari lantai. Di bahagian kaki tilam terdapat meja laptop dan di dinding bertentangan dengan tilam pula digantung Smart TV berukuran 50 inci. Di sebelah kanan katil terdapat meja kerja yang kecil dan di atasnya diletak perkakas untuk membancuh kopi dan teh termasuklah cerek letrik. Di sebelah meja ini pula iaitu di bahagian dinding terdapat rak besi untuk menyangkut baju dan meletakan barang-barang. Di sini juga terdapatnya peti simpanan keselamatan. Selain itu terdapat juga lampu suluh dan pengering rambut. Hotel ini tidak menyediakan peti sejuk dan juga seterika tetapi di setiap tingkat ada disediakan ketuhar gelombang mikro (microwave).
Bilik airnya juga kecil menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Gelung paip ada disediakan di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang untuk pancuran ini agak sempit. Terdapat tuala tangan dan berus gigi disediakan yang diletakan di dalam bilik air. Tingkap cermin tidak mempunyai langsir, hotel ini hanya menggunakan bidai yang boleh dinaik atau diturunkan secara manual.
Konsep hotel ini agak unik kerana menyediakan ruang dapur untuk pengunjung memasak dan ianya terletak di tingkat 12 dan dibuka 24 jam. Dapurnya agak besar dan cantik. Selain itu di aras yang sama juga terdapat mini gimnasium dan juga dobi. Tingkat 12 ini sebenarnya adalah bar tetapi ianya masih belum lagi beroperasi memandangkan hotel ini baru sahaja dibuka. Di tingkat yang sama terdapat balkoni di mana pengunjung dapat melihat ke arah Menara Kuala Lumpur dengan jelas. Hotel ini tidak mempunyai kolam renang.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan sangat laju di mana ianya mencapai kelajuan 92mbps. Bagi telco pula, kelajuan Tune Talk mencecah 209mbps sementara Celcom pula sedikit perlahan dengan kelajuan 153mbps. Hotel ini menyediakan Smart TV dan tidak menyediakan siaran TV percuma sebagaimana kebiasaan hotel. Pengunjung perlu mengakses Netflix ataupun Youtube untuk menonton TV. Di dalam bilik air pula, tekanan airnya kuat dan saya sangat puas mandi di pancurannya.
Secara peribadi saya suka dengan konsep hotel ini. Walaupun harga biliknya bagi saya agak mahal jika diambil kira keluasan bilik hanya 204 kaki persegi, interior hotel ini agak cantik. Terdapat banyak kemudahan disediakan dan lokasinya pula terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur. Hotel ini terletak hanya 750 meter untuk ke Dataran Merdeka dan 1.8 km untuk ke Menara Kuala Lumpur. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak berdekatan dengan Stesen LRT Masjid Jamek (450 meter). Cuma bilik hotel ini tidak kedap bunyi kerana saya dapat mendengar bunyi kenderaan dengan begitu jelas walaupun bilik saya berada di tingkat 10. Ianya mungkin agak tidak selesa bagi sesetengah pengunjung.
Bilik
Bilik Air
Hotel
Commentaires