top of page
Search
hanuds

Innside by Melia Kuala Lumpur (27-28/5/23)

Minggu ini saya memilih satu hotel yang baru sahaja mula beroperasi iaitu pada 25 Mac yang lepas. Hotel yang mempunyai 238 bilik ini terletak di Cheras, Kuala Lumpur. Saya memilih bilik yang paling kecil yang dinamakan The Innside Room. Bilik bersaiz 236 kaki persegi ini berharga RM250.18 di Booking.com dan ianya tanpa sarapan. Hotel ini terletak di pusat membeli belah Eko Cheras.


Saya ke hotel ini dengan menaiki MRT dan turun di Stesen MRT Taman Mutiara. Terdapat jejantas dari stesen MRT untuk ke hotel tetapi tidak terdapat papan tanda untuk ke hotel ini membuatkan saya tercari-cari apabila tiba di Eko Cheras Mall. Akhirnya saya terpaksa menghubungi hotel dan bertanyakan lokasi sebenar hotel. Hotel ini sebenarnya terletak di sebelah pintu masuk mall.

Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2 petang dan terus sahaja ke lobi. Lobinya terletak di tingkat bawah hotel dan kecil sahaja. Lobinya ringkas (simple) tetapi agak cantik. Proses pendaftaran masuk (check-in) hanya memerlukan beberapa minit sahaja. Sebaik diberikan kad akses saya terus menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 12. Terdapat 4 buah lif di hotel ini dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai masa untuk menunggu lif tidaklah lama.


Dengan hanya keluasan 236 kaki persegi, saiz biliknya kecil sahaja. Sebaik memasuki bilik terdapat ruang menempatkan sinki di sebelah kanan pintu masuk (sinkinya terletak di luar bilik air). Di bahagian bilik pula selain satu katil king, terdapat meja kerja yang agak besar di dinding bertentangan dengan kaki katil. Di atasnya terdapat satu lampu bacaan. Di sebelah kiri meja ini terdapat satu kabinet yang menempatkan peti sejuk mini. Di dalam peti sejuk ini diletakan beberapa minuman termasuklah air mineral dan kesemua ini adalah percuma. Di atas peti sejuk pula terdapat peti simpanan keselamatan dan di bahagian paling atasnya diletakan peralatan untuk membancuh kopi dan juga teh, termasuklah cerek letrik. Di bahagian sebelah kanan meja pula terdapat satu rak untuk menyangkut baju dan menyimpan barang-barang di mana ianya adalah terbuka. Di bawahnya terdapat satu laci yang menempatkan pengering rambut dan juga 2 pasang selipar. Hotel ini tidak menyediakan seterika. Di dinding atas meja pula seperti biasa terdapat Smart TV yang berukuran sekitar 45 inci.


Bilik airnya sangat kecil menempatkan hanya tandas dan juga ruang untuk pancuran. Dinding bilik air ini adalah lut cahaya dan pintunya tidak boleh dikunci. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran (shower) pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi dan tuala tangan (tidak terdapat tuala muka). Tuala mandi hotel ini bersaiz sangat besar dan sangat lembut serta selesa. Peralatan mandian pula diletakan di atas sinki.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 5 dan saiznya agak besar. Lantai kawasan kolam adalah sepenuhnya diperbuat dari papan dan sangat luas. Selain kolam untuk dewasa, terdapat juga kolam untuk kanak-kanak yang juga agak besar. Waktu kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 9 pagi dan ditutup pada pukul 7 petang. Pemandangan dari kolam ini agak cantik di mana ianya mengadap ke Bandaraya Kuala Lumpur. Di aras yang sama juga terdapat mini gimnasium di mana ianya beroperasi 24 jam.


Di dalam bilik kelajuan wifi adalah sekitar 15mbps. Telco pula tidak begitu laju di mana Tune Talk mempunyai kelajuan 62mbps sementara Celcom pula 32mbps. Hotel ini menyediakan Smart TV selain siaran TV yang agak banyak dan kebanyakan siarannya pula adalah di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik air pula agak kuat cuma ruang untuk pancuran agak sempit. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining tetapi menunya tidaklah banyak dan harganya agak mahal. Saya sempat mencuba fish & chip berharga RM45.10 dan rasanya biasa sahaja bagi saya.


Sebagai satu hotel yang baru sahaja beroperasi, hotel ini sangat bersih dan segala kelengkapannya masih lagi baru. Hotel ini mungkin sesuai kepada yang ingin berehat di hotel sambil mandi di kolam renang. Hotel ini letaknya di Eko Cheras Mall cuma ianya belum seratus peratus beroperasi. Banyak lagi kedai-kedai yang masih belum dibuka. Selain itu hotel ini terletak di sebelah Stesen MRT Taman Mutiara (laluan Kajang). Pengunjung boleh menaiki MRT sahaja untuk ke hotel ini. Cuma bagi saya dengan harga sekitar RM250 (tanpa sarapan) untuk bilik jenis Innside Room ini, ianya agak mahal kerana saiz biliknya yang kecil. Hotel ini juga mempunyai suite dan saya bercadang untuk kembali ke sini untuk menginap di suitenya pula.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Pemandangan dari Kolam Renang


Hotel


160 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page