Dari Jalan Tuanku Abdul Rahman saya ke Bukit Ceylon untuk menyambung staycation saya di satu hotel yang bagi saya sedikit unik dan berbeza dari hotel yang lain. Bangunan hotel ini berwarna putih keseluruhannya dan terletak di lereng bukit dan rekabentuknya agak klasik. Saya telah menempah bilik di hotel ini menggunakan aplikasi Trip.com dan bilik yang saya pilih ialah bilik yang paling besar (large room) yang berharga RM159.21 dan ianya tanpa sarapan.
Saya tiba di hotel pada pukul 1.45 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobinya kecil sahaja dan hanya terdapat satu kaunter di hotel ini. Oleh kerana tiada pengunjung lain pada masa itu, proses untuk pendaftaran masuk sekejap sahaja. Hotel ini tidak mengambil sebarang deposit. Oleh kerana bilik saya telah pun siap, saya terus diberi kad akses untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 5. Hotel ini hanya mempunyai 5 tingkat tetapi mempunyai 2 buah lif. Lifnya menggunakan papan sesentuh (touch screen) sepenuhnya (ini adalah hotel kedua saya berjumpa lif begini).
Bilik yang saya pilih ini luas dan cantik tetapi agak ringkas (simple). Bilik yang saya inap ini terletak di bahagian belakang bangunan hotel yang mempunyai pemandangan ke arah bukit (Menara Kuala Lumpur). Nombor biliknya agak unik kerana terdapat di lantai di setiap pintu masuk bilik dan bukannya di dinding sepertimana kebiasaan hotel. Sebaik memasuki bilik, di sebelah kiri pintu masuk iaitu di dindingnya terdapat rak-rak kayu dan besi yang terbuka. Raknya besar dan Panjang. Di bahagian paling hampir ke pintu menempatkan tempat untuk menyangkut baju di mana di sini terdapat cermin muka yang juga berupa pintu gelongsor yang dapat menutupi sebahagian sahaja. Di bahagian ini juga diletakan seterika dan juga papan seterika. Selapas itu terdapat ruang yang menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula terdapat satu ruang yang menempatkan peti simpanan keselamatan. Di bahagian paling atas di rak ini terdapat peralatan untuk membancuh minuman samada kopi, teh ataupun Milo (jarang sebenarnya saya berjumpa dengan hotel yang menyediakan Milo). Cerek letrik juga ada disediakan dan diletakan di bahagian yang sama. Di bahagian paling tengah adalah TV yang berukuran 40 inci dan di tepi sekali ialah satu meja kerja yang agak panjang di mana di atasnya terdapat talipon. Katil king di hotel ini bersaiz besar dan di sebelah kiri katil pula terdapat satu sofa untuk 2 orang dan di hadapan sofa ini terdapat meja yang sederhana besar.
Bilik ini menurut Trip.com bersaiz 30 meter persegi (323 kaki persegi). Biliknya kelihatan luas disebabkan bilik airnya yang kecil. Dinding bilik air adalah cermin lut cahaya (termasuk pintu). Terdapat sinki di sebelah kiri pintu masuk dan di sebelah kanan terdapat tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower) yang ditutupi cermin seratus peratus lutsinar (termasuk pintu gelongsornya). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancurannya pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Saiz ruang pancurannya agak besar. Di dinding bahagian lut cahaya ini terdapat bidai yang boleh dinaikan atau diturunkan dari dalam. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi dan juga tuala untuk tangan. Bilik airnya agak cantik cuma satu sahaja kekurangannya ialah tidak terdapat tempat untuk menyangkut tuala di dalam bilik air ini.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan laju di mana ianya mencapai kelajuan 89mbps. Telco juga mempunyai kelajuan yang tinggi di mana Celcom mencapai kelajuan 161mbps tetapi Tune Talk sedikit perlahan dengan kelajuan hanya 88mbps. Siaran TV pula tidaklah banyak dan bukan pula dalam bentuk HD. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, ianya kuat dan saya sangat suka dengan pancuran yang digunakan. Hotel ini tidak mempunyai kolam renang dan parkir juga tidak disediakan (hanya terdapat parkir valet berharga RM20). Di bahagian bawah bangunan hotel ini terdapat kedai serbaneka dan juga sebuah restoran serta kedai buah-buahan. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.
Secara keseluruhannya saya suka dengan hotel ini. Ianya bukan sahaja agak berlainan dari hotel yang lain, biliknya juga besar dan agak cantik (walaupun agak ringkas). Katil kingnya sangat besar dan tilam dan bantalnya juga sangat empuk dan selesa. Lokasi hotel ini pula bukanlah sangat terpencil kerana sebenarnya hotel ini hanyalah 1.6 km ke Menara Kuala Lumpur. Untuk ke Bukit Bintang pula, ianya hanyalah kira-kira 700 meter untuk ke Jalan Alor dan 1.2 km untuk ke Pavilion. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini letaknya 650 meter untuk ke Stesen MRT Bukit Bintang. Persekitaran hotel ini dipenuhi dengan pokok-pokok yang menghijau dan pengunjung masih boleh mendengar bunyi kicauan burung di waktu pagi. Cuma jika datang bersendirian memerlukan sedikit keberanian kerana hotel ini agak sunyi dan bersebelahan pula dengan belukar. Saya bercadang untuk kembali semula ke hotel ini untuk menginap di biliknya yang lain pula.
Bilik
Bilik Air
Hotel
Persekitaran Hotel
Comments