Pada minggu ini saya kembali ke satu hotel yang pernah saya inap pada Jun 2023. Hotel ini terletak di Bukit Ceylon berhampiran dengan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Sekali lagi saya menggunakan aplikasi Trip.com untuk menempah bilik ‘Large’ iaitu jenis bilik yang sama seperti pada Jun 2023 yang lalu tetapi kali ini harganya lebih mahal iaitu RM185.22 (harga ini adalah tanpa sarapan pagi).
Saya tiba di hotel pada pukul 2.40 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Oleh kerana hotel ini kecil sahaja, lobinya juga kecil dan hanya mempunyai satu kaunter. Hanya terdapat seorang pengunjung pada masa saya tiba. Proses untuk daftar masuk sangat cepat dan saya terus diberi kad akses bilik yang terletak di Tingkat 5 iaitu tingkat yang paling atas. Pada Jun 2023 bilik saya juga terletak di Tingkat 5 tetapi kali ini ianya terletak di permulaan koridor dan bukannya di hujung seperti pada 2023. Hotel ini mempunyai 2 buah lif sahaja yang dikawal sepenuhnya menggunakan skrin sesentuh.
Satu keistimewaan hotel ini ialah nombor biliknya yang terletak di lantai di pintu masuk setiap bilik. Bilik ‘Large’ ini mempunyai keluasan 322 kaki persegi dan ianya agak luas. Bilik yang saya inap ini walaupun sama jenis dengan yang saya inap pada 2023, tetapi rekabentuknya berlainan dan ianya kecil sedikit. Sebaik memasuki bilik terdapat rak terbuka di sebelah kanan untuk pengunjung meletakan barang-barang dan juga menyangkut baju. Di sini juga terdapat peti sejuk mini dan peti simpanan keselamatan. Di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi, teh ataupun Milo. Di sebelah rak ini pula letaknya bilik air. Hotel ini menyediakan satu katil king yang besar serta tilam dan bantal yang sangat selesa. Di sebelah kanan katil terdapat satu meja kerja yang kecil dan sebuah kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. TV berukuran 40 inci digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.
Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Gelung paip ada disediakan di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang pancurannya ditutupi cermin seratus peratus lutsinar dan ianya agak kecil tetapi masih lagi selesa. Hotel ini ada menyediakan perkakas mandian termasuklah berus gigi dan tuala tangan.
Hotel ini menyediakan wifi yang laju di mana kelajuannya mencecah 91mbps (muat turun) dan 59mbps (muat naik). Telco pula mempunyai kelajuan 144mbps (Celcom) dan 100mbps (Tune Talk). Hotel ini hanya menyediakan beberapa siaran TV sahaja dan ianya juga bukanlah di dalam bentuk HD. Tekanan air di pancurannya kuat dan saya sangat berpuas hati.
Walaupun hotel ini berstatus 4 bintang tetapi ianya tidak mempunyai kolam renang. Hotel ini juga hanya mempunyai parkir valet di mana ianya sangat terhad (mungkin kurang dari 10 kenderaan sahaja). Apa yang menarik tentang hotel ini ialah bangunannya yang agak unik di mana ianya bukanlah seperti kebiasaan hotel yang lain. Di bawah hotel ini terdapat sebuah kafe dan juga sebuah kedai serbaneka. Bilik hotel ini bersih dan kemas walaupun agak ringkas (simple). Hotel ini tidak sibuk seperti sesetengah hotel yang lain. Persekitaran hotel ini masih lagi dikelilingi oleh pohon-pohon hijau dan di waktu pagi pengunjung dapat mendengar kicauan burung. Lokasi hotel ini sebenarnya tidaklah terasing kerana hanya 700 meter untuk ke Jalan Alor dan 950 meter untuk ke Pavilion. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak 950 meter dari Stesen MRT Bukit Bintang.
Bilik
Bilik Air
Hotel
Pemandangan
Comentarios