Sempena cuti Tahun Baru Cina, saya memilih satu hotel yang juga terkenal kerana lokasinya yang berhampiran dengan KLCC. Tujuan saya ke hotel ini adalah untuk pergi ke KLCC bagi mengambil gambar2 KLCC pada waktu malam untuk menguji Huawei P50 Pro yang baru saya perolehi. Hotel ini sebenarnya baru sahaja dibuka kepada umum selepas dijadikan pusat kuarantin bagi rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara.
Saya menempah hotel ini melalui aplikasi booking.com dengan harga RM232.85. Bilik yang saya pilih ialah jenis deluxe yang mempunyai keluasan 387 kaki persegi. Ini merupakan kali pertama saya menginap di sini walaupun pernah ke sini untuk majlis makan malam tahunan pejabat saya.
Saya tiba di hotel kira2 pukul 12.30 tengahari. Pada masa itu orang agak ramai menunggu. Setelah beratur kira2 15 minit saya mendaftar di kaunter dan diberitahu bilik belum lagi siap. Saya diminta untuk datang kembali kira2 pukul 3 petang atau pihak hotel berjanji akan menghubungi saya pabila bilik sudah pun sedia.
Saya hanya menunggu di lobi sahaja tanpa pergi ke mana2. Ketika itu orang ramai datang tanpa henti dan saya perhatikan tiada pengunjung yang diberi kad akses. Selain itu masih terdapat pengunjung yang check-out pada ketika itu. Saya sebenarnya menjangkakan yang saya akan menunggu lama untuk mendapatkan bilik.
Di aplikasi booking.com hotel ini meletakkan masa untuk check-in ialah pada pukul 2 petang. Jadi selepas pukul 2 petang orang semakin ramai berada di lobi. Bila ditanya pihak hotel asik memberikan alasan yang bilik tengah dikemas dan akan siap sebentar lagi. Pada masa itu ramai pengunjung yang tidak berpuas hati kerana kelewatan pihak hotel menyediakan bilik. Akhinya pada kira2 pukul 5.20 petang barulah saya mendapat bilik (saya sebenarnya tidak menjangkakan yang bilik akan siap selewat ini).
Selesai bab pendaftaran masuk, kemudian tiba pula giliran untuk naik ke bilik. Dengan lif hanyalah dua, pengunjung memang perlu menunggu lama untuk mendapatkan lif. Bilik saya berada di tingkat 11 mengadap KLCC (saya memang meminta bilik yang mengadap KLCC semasa tempahan di buat).
Memasuki bilik seperti biasa terdapat lorong, di sebelah kanan ialah bilik air sementara di sebelah kiri pula ialah almari untuk menyimpan pakaian (pintu gelongsor). Di sebelah almari itu terdapat rak cermin yang menempatkan satu peti ais mini serta cerek letrik dan juga cawan berserta kopi (tiada sudu kecil disediakan atau pun pengacau kayu. Pertama kali saya membancuh kopi menggunakan berus gigi hotel).
Biliknya kelihatan luas disebabkan ruang untuk bilik airnya yang kecil. Biliknya bersih menempatkan satu katil king serta satu sofa dan juga satu meja kecil yang diletakkan di sudut bilik berhampiran tingkap. Di tepi tingkap juga disediakan satu meja study yang agak besar serta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja2 pejabat. Di kaki katil terdapat rak di sepanjang dinding serta TV dilekatkan di dinding yang mungkin berukuran 46 inci. Siarannya agak banyak tetapi bukanlah dalam bentuk HD.
Bilik airnya pula kecil menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk shower. Tidak terdapat bathtub di bilik jenis ini. Kebersihan bilik airnya agak tidak memuaskan di mana lantai jubin agak berdaki dan tidak berkilat. Tekanan air di bilik mandi juga tidak begitu kuat dan agak susah untuk mengawal antara air panas dan sejuk. Untuk lampu pula, tidak terdapat lampu di siling (kecuali di pintu masuk) menjadikan cahaya di biliknya agak suram. Bilik yang saya inap ini betul2 mengadap ke Hotel Grand Hyatt (dapat dilihat poolnya dengan jelas).
Hotel ini mempunyai infiniti pool tetapi tidak di rooftop iaitu di tingkat 4. Poolnya tidaklah besar tetapi mempunyai view yang cantik kerana boleh kelihatan KLCC dari sini. Waktu operasi pool ialah pada pukul 7 pagi hingga 9 malam. Hotel ini ada menyediakan wifi percuma dan agak laju iaitu kira2 22mbps, sementara kelajuan Celcom ialah 204mbps dan Tune Talk pula berkelajuan 127mbps. Untuk proses check-out pula, ianya sangat cepat di mana saya hanya perlu memulangkan semula kad akses ke kaunter.
Secara keseluruhannya jika dilupakan servis yang teruk semasa proses pendaftaran masuk, hotel ini mungkin agak berbaloi bagi saya dengan harganya serta lokasinya yang terletak berhampiran dengan KLCC. Selain hotel ini, harga hotel2 lain adalah jauh lebih mahal seperti Grand Hyatt, Ascott, The Ruma dan juga Mandarin Oriental. Mungkin disebabkan itu hotel ini menjadi tumpuan ketika cuti perayaan.
Secara peribadi saya tidak begitu menggalakkan untuk ke hotel ini. Jika pembaca masih ingin ke hotel ini, cuba elakkan pergi semasa cuti perayaan ataupun di hujung minggu. Saya percaya waktu itu proses check-in nya tidak lah bermasalah seperti mana yang saya hadapi.
Bilik
Bilik Air
View dari bilik
Pool
KLCC
Comments