top of page
Search
hanuds

Ideas Kuala Lumpur (24-25/11/22)

Kali kedua saya ke hotel ini yang terletak di Jalan Raja Laut. Hotel ini sebenarnya baru sahaja dibuka semula setelah diperbaharui dari Summit Hotel KL City Centre. Lokasinya adalah di hadapan Bangunan MARA dan di belakang Kompleks Pertama. Melalui aplikasi Booking.com saya telah memilih bilik jenis signature double yang berharga RM208.98 (termasuk sarapan untuk 2 orang).


Saya tiba di hotel pada pukul 12.30 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi di tingkat bawah. Lobinya tidaklah besar dan selain kaunter terdapat juga restoran di lobinya. Orang agak ramai pada masa itu dan oleh kerana waktu untuk check-in ialah pada pukul 3.00 petang, saya diminta untuk kembali semula pada pukul 2.30 petang. Sementara menunggu ke pukul 2.30 petang saya terlebih dahulu bersiar-siar di pusat membeli belah SOGO.


Saya kembali semula ke hotel pada pukul 3.00 petang dan membuat proses pendaftaran masuk. Selepas mendapat kad akses saya terus sahaja ke tingkat 14 dengan menaiki lif. Terdapat 3 lif di hotel ini dan salah satunya masih dalam proses ubahsuai. Oleh kerana orang tidaklah ramai pada masa itu, masa untuk menunggu lif tidaklah lama.


Bilik jenis signature ini kecil sahaja, hanya berkeluasan 279 kaki persegi. Memasuki bilik terdapat satu almari di sebelah kanan sementara di sebelah kiri pula ialah bilik air. Almarinya kecil sahaja di mana di dalamnya terdapat tempat untuk menyangkut baju, seterika dan juga papan seterika. Juga terdapat lampu suluh dan selipar di dalam almari ini.


Katil di hotel ini agak unik kerana mempunyai tiang di setiap penjurunya. Saya sebenarnya tidak begitu menggemarinya kerana tiang ini akan menjadikan ruang nampak lebih sempit dan ianya menggangu penglihatan semasa menonton TV dari sofa yang terletak di sebelah kiri katil. Di dinding bertentangan kaki katil terdapat kabinet yang menempatkan peti ais mini yang unik kerana berwarna merah. Di tengah-tengah kabinet ini terdapat satu ruang tertutup yang boleh dikunci berfungsi seperti peti simpanan keselamatan. Di sebelah kanan kabinet ini adalah satu ruang untuk meletak barang-barang dan di sebelah kiri pula ialah meja kerja berserta satu kerusi bagi pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di atas meja ini terdapat perkakas untuk membancuh kopi berserta cerek letrik. TV bersaiz 50 inci dilekatkan di dinding di atas kabinet ini.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran yang separa tertutup. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis siling dan juga jenis pegang. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah tuala tangan dan muka tetapi hotel ini tidak menyediakan berus gigi.


Hotel ini sebenarnya mempunyai kolam renang tetapi masih lagi belum beroperasi. Servis in-room dining juga ada disediakan dan menunya tidaklah banyak tetapi harganya agak murah. Sebagai perbandingan nasi gorengnya berharga RM32. Sarapan pula adalah di restoran yang terletak di lobi. Makanannya agak pelbagai dan saya sempat mencuba nasi lemak dan rasanya sangat sedap bagi saya.


Untuk wifi percuma pula, ianya berkelajuan 23mbps (pertama kali saya ke hotel ini wifi percumanya sangat perlahan). Untuk telco pula, tune talk mencapai kelajuan 64mbps dan Celcom pula sedikit perlahan dengan kelajuan 57mbps. Untuk siaran TV pula, tidak banyak siaran yang ada dan siarannya pula bukanlah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati. Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.


Secara kesimpulannya saya berpuas hati dengan hotel ini. Biliknya tidaklah besar tetapi bersih dan interiornya agak cantik. Sebagai hotel yang baru beroperasi segala kelengkapannya adalah masih baru. Lokasi hotel ini memang strategik di mana ianya berdekatan dengan kompleks membeli belah SOGO dan juga Kompleks Pertama, serta berhampiran pula dengan pasar malam Jalan TAR. Untuk yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini hanyalah 5 minit berjalan kaki ke Stesen LRT Bandaraya.


Bilik


Bilik Air


Hotel


Makanan


161 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page