Ini merupakan kali ketiga saya ke hotel yang dahulunya dikenali sebagai Quality Hotel. Hotel yang terletak di Jalan Raja Laut ini baru sahaja beroperasi semula setelah menjalani proses ubahsuai. Jika pada kali pertama dan kedua saya memilih bilik signature double tetapi kali ini saya telah memilih bilik yang lebih besar iaitu Signature Suites. Biliknya mempunyai keluasan 764 kaki persegi dan sangat besar jika dibandingkan dengan bilik signature yang hanya berkeluasan 279 kaki persegi. Di aplikasi Trip.com bilik ini berharga RM435.25 (selepas ditolak trip coins saya hanya perlu membayar RM185.69).
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.00 petang dan terus sahaja ke lobi yang terletak di tingkat bawah. Saiz lobinya kecil sahaja tetapi agak cantik dan kelihatan masih lagi baru. Selain lobi terdapat sebuah restoran di tingkat yang sama. Setelah membuat pendaftaran saya pun menyimpan beg saya dan terlebih dahulu ke Kompleks SOGO untuk makan tengahari kerana bilik belum lagi sedia. Saya hanya kembali semula ke hotel sekitar jam 3 petang.
Setelah menerima kad akses, saya terus sahaja menaiki lif untuk ke tingkat 12. Hotel ini mempunyai 3 lif dan lifnya agak lambat (salah satu lifnya hanya untuk ke tingkat 3 sahaja). Bilik suites yang saya inap ini terletak di penjuru hotel dan ianya sangat besar. Bilik suites ini terbahagi kepada 3 bahagian iaitu ruang tamu, bilik tidur dan juga bilik mandi. Apabila masuk pengunjung akan memasuki ruang tamu yang saiznya hampir separuh dari saiz suite. Terdapat sofa dan juga meja kopi di tengah-tengah ruang tamu sementara di bahagian dinding pula terdapat kabinet di mana di sini diletakan peti ais mini yang berwarna merah (salah satu identiti hotel ini). Di atas kabinet pula terdapat perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di dinding atas kabinet pula tergantung TV yang besar, bersaiz 55 inci.
Dari ruang tamu ke bahagian bilik mempunyai pintu. Ruang bilik suite ini besar, separuh dari keluasan suite. Terdapat satu katil king yang mempunyai tiang di setiap penjurunya (ini mengingatkan saya kepada katil Hotel The Majestic). Di sebelah kanan katil berhampiran tingkap terdapat satu meja kerja yang kecil serta satu kerusi. Di bahagian dinding mengadap ke kaki katil pula terdapat satu lagi TV yang juga bersaiz 55 inci yang dilekatkan di dinding. Kemudian di sebelah kiri katil pula terdapat 2 almari yang agak besar dan di dalam almari yang pertama terdapat peti simpanan keselamatan sementara di almari kedua pula terdapat tempat menyangkut baju. Di dalamnya juga diletakan seterika dan juga papan seterika. Di hadapan almari ini iaitu di tengah-tengah ruang bilik terdapat satu sofa bulat yang cantik. Di tepi tingkap mengadap ke dinding bilik air pula terdapat satu lagi meja kerja dan juga kerusi. Saiz meja kerja ini kecil sahaja dan di atasnya terdapat talipon.
Bilik air untuk suite ini pula agak besar menempatkan 2 sinki, tandas, bathtub dan juga ruang untuk pancuran (shower). Saiz bathtub agak besar dan sangat cantik. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancuran bertutup dengan cermin seratus peratus lutsinar. Terdapat pancuran jenis pegang dan siling di sini. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah tuala muka dan tangan. Oleh kerana bilik suite yang saya inap ini terletak di penjuru hotel, bilik yang saya inap ini mengadap ke dua bahagian, bahagian pertama mengadap ke Jalan Raja Laut dan bahagian kedua pula mengadap ke Jalan Kuching serta kolam renang.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 3 dan ianya telah pun dibuka (kali pertama dan kedua saya ke sini ianya masih dalam proses ubahsuai). Saiz kolam renangnya kecil sahaja. Selain kolam renang dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak yang juga bersaiz kecil. Kawasan kolam renangnya adalah terbuka. Hotel ini ada menyediakan perkhidmatan in-room dining, walau bagaimanapun menunya tidaklah banyak tetapi harganya agak murah. Saya sempat makan di restoran yang terletak di lobi hotel dan mencuba mee goreng, sup cendawan dan juga keropok lekor. Hotel ini memang terkenal dengan makananya yang sedap.
Satu yang menjadi masalah di hotel ini ialah wifi percuma yang disediakan tidak begitu stabil dan sering terputus. Kelajuannya hanyalah sekitar 10mbps (di pagi hari wifinya agak stabil). Telco pula laju di mana Celcom mempunyai kelajuan 233mbps sementara Tune Talk pula 124mbps. Siaran TV pula tidak banyak walaupun kebanyakannya adalah dalam bentuk HD, dan ianya seringkali tersekat-sekat. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati mandi di pancurannya. Untuk yang membawa kenderaan pula, hotel ini ada menyediakan parkir yang terletak di basement hotel dan bayaran yang dikenakan adalah RM4 bagi tetamu. Cuma yang menjadi masalah ialah pengunjung perlu menaiki tangga yang agak sempit untuk ke lobi hotel kerana tidak terdapat lif dari parkir ke lobi.
Secara keseluruhannya bilik suite hotel ini bagi saya agak cantik dan sangat berbaloi dengan harganya yang hanyalah sekitar RM400. Walaupun bagi saya interiornya agak pelik (kombinasi warna dan perabutnya agak tidak kena) serta tidak kelihatan mewah, tetapi ianya sangat selesa serta bersih. Selain ianya sangat luas, pencahayaan di dalam suite ini juga sangat cantik. Bilik airnya juga cantik dan mempunyai bathtub yang agak besar. Dari segi lokasi pula, hotel ini terletak berhampiran Kompleks SOGO dan juga Pertama serta Pasar Malam Jalan Tuanku Abdul Rahman. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini letaknya hanyalah 350 meter ke stesen LRT Bandaraya. Cuma satu yang mungkin menjadi masalah kepada pengunjung bila menginap di hotel ini ialah biliknya yang tidak kedap bunyi. Saya dapat mendengar bunyi kenderaan dengan agak kuat lebih-lebih lagi hotel ini betul-betul terletak di sebelah landasan LRT.
Ruang Tamu
Bilik Tidur
Bilik Air
Pemandangan dari Bilik
Kolam Renang
Hotel
Makanan
Commenti