Dari Jalan Pudu saya ke Jalan Raja Laut dengan menaiki LRT dari Plaza Rakyat ke Stesen Bandaraya untuk ke satu hotel yang dulunya dikenali sebagai Quality Hotel City Centre. Hotel ini betul2 terletak di hadapan bangunan MARA dan di belakang Kompleks Pertama. Jarak antara Stesen Bandaraya ke hotel ini hanyalah kira2 400 meter. Di tahun 90an, Quality Hotel City Centre memang terkenal dengan makanan buffetnya yang sedap.
Saya menempah hotel ini menerusi aplikasi trip.com dan telah memilih bilik jenis Signature Double tetapi mendapat upgrade percuma ke bilik jenis Executive Double (Exec Floor). Terima kasih kepada staff yang bernama Fairus Azua. Bilik Signature Double yang saya bayar berharga RM228.00 (tanpa sarapan). Biliknya agak kecil dengan keluasan hanyalah 279 kaki persegi.
Saya tiba di hotel ini pada pukul 12.30 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobi hotel ini tidak begitu luas tetapi masih kelihatan baru. Ianya juga cantik dan kelihatan mewah. Saya terus diberi kad akses kerana bilik telah pun sedia. Waktu check-in hotel ini ialah pada pukul 2.00 petang. Saya diberi bilik di tingkat paling atas, iaitu di tingkat 18. Terdapat 3 lif di hotel ini dan saya tidak mengambil masa yang lama menunggu lif kerana orang tidaklah ramai. Di bahagian lobi ini juga terdapat restoran yang beroperasi dari pukul 6.30 pagi hingga 10.30 malam.
Lorong ke bilik juga kelihatan baru dan lantainya ditutupi karpet. Memasuki bilik sahaja saya merasakan yang bilik hotel ini sememangnya masih baru. Biliknya berlantaikan kayu dan tidak terdapat karpet di dalam bilik. Di sebelah kiri pintu bilik terdapat satu almari tertutup yang kecil sahaja untuk pengunjung meletakkan pakaian. Di situ juga terdapat seterika, papan seterika dan juga lampu suluh. Terdapat juga sejadah dan juga penimbang di dalam almari ini. Cuma kedudukan penyangkut baju agak tinggi bagi saya. Di sebelah kanan pintu masuk pula ialah bilik air yang mempunyai pintu yang boleh ditutup dan dikunci.
Bilik hotel ini agak unik kerana katilnya yang mempunyai tiang di setiap penjurunya (saya sebenarnya lebih suka jika tiang ini tidak ada). Ianya mengingatkan saya kepada Hotel The Majestic. Katilnya cantik dan bersaiz queen. Di sebelah katil pula terdapat satu kerusi kecil untuk pengunjung berehat. Bertentangan dengan kaki katil terdapat satu kabinet yang menempatkan peti ais mini yang agak unik kerana berwarna merah (inilah kali pertama saya berjumpa dengan peti ais selain dari warna hitam ataupun putih). Di sebelahnya pula ialah laci yang boleh dikunci (fungsinya adalah seperti peti simpanan keselamatan). Di atas kabinet ini terdapat TV LCD yang agak besar berukuran 45 ataupun 46 inci yang dilekatkan di dinding. Di kiri terdapat satu ruang untuk meletakkan barang2 sementara di sebelah kanan pula dijadikan meja study. Terdapat satu kerusi disediakan untuk pengunjung melakukan kerja2 pejabat. Walau bagaimanapun tidak terdapat lampu study di bilik ini. Di atas meja ini juga diletakkan perkakas untuk membancuh kopi ataupun teh, temasuklah cerek letrik dan juga air mineral.
Bilik airnya kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk shower yang separa terbuka (tidak berpintu). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas bagi keselesaan pengunjung. Terdapat 2 jenis shower, iaitu jenis siling dan juga pegang. Tekanan air adalah kuat. Kelengkapan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi dan juga pencukur. Tuala masih kelihatan baru, termasuklah tuala muka dan tangan. Dinding di tepi sinki adalah cermin muka yang lebar dan panjang.
Wifi percuma di dalam bilik sangat perlahan, hanya sekitar 1mbps sahaja. Telco pula laju di mana Celcom mempunyai kelajuan 72mbps sementara Tune Talk pula 68mbps. TV di hotel ini tidak mempunyai banyak siaran dan siarannya juga bukanlah dalam bentuk HD. View dari bilik pula mengadap ke Jalan Kuching dan juga Dataran Merdeka. Hotel ini mempunyai pool yang terletak di tingkat 3 tetapi masih ditutup kerana sedang dalam proses pengubahsuaian. Gimnasium terdapat di tingkat 1 hotel dan ianya dibuka dari pukul 6.00 pagi hingga 10.00 malam. Hotel ini tidak menyediakan in-room dining servis. Untuk proses check-out pula, ianya sangat cepat di mana saya hanya perlu memulangkan semula kad akses ke kaunter.
Secara peribadi saya sangat menyukai hotel ini kerana interiornya yang cantik. Walaupun bukanlah hotel 5 bintang, tetapi hiasan dalamannya kelihatan seperti hotel mewah. Pencahayaan di dalam bilik juga adalah seimbang di setiap sudut bilik. Biliknya agak kecil dan tidak begitu sesuai bagi yang membawa keluarga. Jika ingin membawa keluarga, lebih elok memilih bilik yang lebih besar. Lokasi hotel ini memang strategik bagi yang ingin berjalan di sekitar Jalan TAR and juga SOGO. Jika ingin menaiki LRT, ianya hanya beberapa minit sahaja dengan berjalan kaki ke Stesen Bandaraya. Cuma kelajuan wifi perlu diperbaiki tetapi bagi saya itu bukanlah satu masalah besar kerana telco mempunyai kelajuan yang memuaskan. Saya pasti akan kembali ke hotel ini untuk mencuba menginap di bilik yang lain pula.
Bilik
Bilik Air
Lobi
Lain2
View dari Bilik
Comments