Minggu ini saya masih lagi di sekitar KLIA untuk ke satu hotel yang baru sahaja memulakan operasinya pada 1 Febuari yang lepas. Hotel ini bukanlah hotel baharu kerana sebelum ditukar nama kepada ibis Styles, ianya merupakan Hotel Concorde Inn. Pada kali ini saya menempah bilik menggunakan aplikasi Accor All. Harga bilik standard hotel ini ialah RM261.63 dan ianya tanpa sarapan pagi. Hotel ini terdiri dari beberapa blok bangunan satu tingkat yang seakan sebuah resort.
Saya tiba agak awal iaitu sekitar jam 12 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk proses daftar masuk. Lobi hotel ini luas dan agak cantik. Selain lobi terdapat sebuah restoran di aras yang sama. Di sebelah bangunan utama ini pula adalah kolam renang yang sangat besar. Proses daftar masuk tidaklah mengambil masa yang lama dan oleh kerana bilik saya belum lagi sedia, saya terlebih dahulu makan tengahari di restoran hotel. Saya mencuba nasi goreng yang berharga RM52 serta jus tembikai berharga RM16. Nasi gorengnya sedap bagi saya. Selepas makan saya hanya duduk di lobi sambil menunggu bilik saya disiapkan.
Sehingga ke pukul 3 petang, pihak hotel masih lagi belum menghubungi saya. Oleh itu saya bertanyakan kepada kakitangan yang bertugas samada bilik saya telah pun sedia. Saya sekali lagi diberi borang yang sama tetapi selepas saya memberitahu saya telahpun membuat proses daftar masuk, kakitangan tadi memeriksa sistem hotel dan mendapati bilik masih lagi belum sedia. Saya menunggu di lobi sehingga jam 4 petang dan sekali lagi ke lobi bertanyakan samada bilik saya telahpun siap. Saya diberi kad akses bilik dan agak kecewa kerana kakitangan yang bertugas tidak memberitahu saya bila bilik telahpun sedia. Pengunjung juga tidaklah ramai pada masa itu, oleh itu saya tidak begitu pasti kenapa bilik lambat disiapkan walaupun hotel ini menetapkan waktu daftar masuk ialah pada pukul 3 petang.
Bilik saya bernombor 1002 iaitu terletak di blok pertama. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, hotel ini hanya mempunyai satu tingkat di mana biliknya terletak di kiri dan kanan sahaja. Untuk masuk ke blok, pengunjung perlu menggunakan kad akses untuk masuk sebelum sekali lagi perlu menyentuh kad akses untuk memasuki bilik. Bilik standard hotel ini mempunyai keluasan 269 kaki persegi dan seperti Hotel ibis yang lain, ianya kecil sahaja tetapi masih lagi selesa. Sebaik membuka pintu bilik, pengunjung akan terus ke ruang katil di mana selain satu katil queen, terdapat satu sofa yang agak besar di sebelah kanan katil. Di kiri katil pula terdapat satu rak terbuka untuk pengunjung meletakan beg dan menyangkut baju. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan. Di tepi dinding berdekatan dengan kaki katil pula terdapat satu meja bulat yang kecil berserta dengan dua buah kerusi. TV berukuran 50 inci pula digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.
Bilik hotel ini mempunyai singki yang diletakan di luar bilik mandi. Di sebelah singki ini diletakan peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Bertentangan dengan ruang singki ini letaknya bilik air di mana di dalamnya hanya terdapat tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Pintu bilik airnya tidak boleh dikunci. Bilik airnya kecil sahaja begitu juga dengan ruang pancurannya. Hotel ini menyediakan mangkuk tandas yang mempunyai paip dari dalam dan tidak menyediakan gelung paip. Di ruang pancuran pula hanya terdapat pancuran jenis pegang. Hotel ini ada menyediakan peralatan mandian termasuklah berus gigi. Walau bagaimanapun tidak terdapat tuala muka dan juga tuala tangan.
Salah satu keistimewaan hotel ini ialah kolam renangnya yang sangat besar yang terletak bersebelahan dengan bangunan utama yang menempatkan lobi. Kawasan kolam renangnya juga cantik. Selain kolam renang untuk dewasa, terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak yang juga luas. Di sebelah kolam renang ini terdapat sebuah gimnasium. Kolam renang dan gimnasium hotel ini dibuka pada pukul 6 pagi sehingga jam 10 malam.
Di dalam bilik, wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 31mbps sementara CelcomDigi pula mempunyai kelajuan 546mbps dan Tune Talk pula 100mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV dan juga radio yang agak banyak di mana kebanyakan siarannya adalah di dalam bentuk HD. Di bilik mandi pula, tekanan air adalah kuat. Hotel ini ada menyediakan parkir di kawasan yang terbuka di tepi bangunan utama dan ianya adalah percuma untuk pengunjung hotel.
Hotel ini sebenarnya bagi saya sangat sesuai untuk bersantai dan berehat terutamanya yang berkeluarga jika sekiranya tidak kisah dengan biliknya yang agak kecil. Walaupun kecil, biliknya cukup kemas dan bersih terutama bilik airnya yang sangat bersih dan masih lagi kelihatan baru. Kolam renangnya juga sangat besar sesuai untuk membawa anak-anak mandi manda di sini. Cuma mungkin agak tidak selesa kepada yang membawa keluarga kerana bilik airnya yang tidak boleh dikunci serta tandasnya yang tidak mempunyai gelung paip. Di waktu malam pula persekitaran hotel ini agak gelap. Dari segi lokasi pula, hotel ini terletak hanya 3.5km untuk ke KLIA (kira-kira 5 minit menggunakan kenderaan). Selain itu, hotel ini juga ada menyediakan bas untuk pengunjung ke lapangan terbang. Kepada yang ingin datang menggunakan pengangkutan awam, pengunjung perlu menaiki ERL hingga ke KLIA dan selepas itu bolehlah menaiki bas yang disediakan atau boleh sahaja menggunakan e-hailing yang banyak terdapat di sekitar KLIA.
Saya bercadang untuk kembali lagi ke sini kerana suka dengan keadaan hotelnya yang tenang walaupun menghadapi beberapa masalah kecil. Selain proses daftar masuknya yang lambat, kad akses bilik saya tidak berfungsi di pintu masuk blok. Saya terpaksa ke lobi hotel untuk dikemaskini oleh kakitangan yang bertugas tetapi selepas kembali ke bilik, ianya masih lagi tidak berfungsi. Ianya agak leceh kerana saya perlu berjalan ke lobi yang letaknya agak jauh dari bilik. Selain dari itu apabila ingin pulang saya diminta untuk membayar parkir walaupun saya telah mendaftar nombor kenderaan semasa proses daftar masuk. Mujurlah pegawai keselamatan yang bertugas memahami masalah yang dihadapi dan terus menghubungi kakitangan yang bertugas di lobi dan menurut beliau masalah ini sering berlaku.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Comments