top of page
Search
hanuds

ibis Styles Kuala Lumpur Sri Damansara (10-11/2/24)

Pada minggu ini sempena cuti Tahun Baru Cina, saya memilih 2 hotel di bawah rangkaian Accor. Hotel pertama ini letaknya di Sri Damansara Kuala lumpur. Saya menempah bilik hotel ini menggunakan aplikasi Accor All dan memilih bilik standard yang berharga RM241.68 (termasuk sarapan pagi untuk seorang). Oleh kerana saya menginap di sini pada cuti Tahun Baru Cina, harganya agak mahal dari kebiasaan iaitu sekitar RM200.


Saya tiba di hotel pada pukul 1.45 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi di tingkat bawah hotel. Lobinya kecil sahaja dan selain kaunter terdapat sebuah kafe di aras yang sama. Proses daftar masuk mengambil masa hanya beberapa minit sahaja dan saya terus diberi kad akses bilik kerana bilik telahpun sedia. Bilik saya letaknya di Tingkat 9 dan hotel ini mempunyai hanya 2 buah lif. Oleh kerana tiada pengunjung lain, masa untuk mendapatkan lif tidaklah lama.


Bilik standard hotel ini mempunyai keluasan 236 kaki persegi dan ianya kecil sahaja sebagaimana hotel ibis Styles yang lainnya. Sebaik memasuki bilik tandas dan ruang pancuran (shower) terletak di sebelah kiri pintu masuk dan selepas itu terdapat kabinet menempatkan singki (singkinya terletak di luar bilik air dan bukannya di dalam seperti kebanyakan hotel). Di sebelah kanan katil terdapat satu ruang terbuka untuk pengunjung menyangkut baju dan meletakan barang-barang mereka. Di ruang ini juga terdapat peti ais mini dan juga peti simpanan keselamatan. Di sebelah kiri katil pula terdapat satu sofa bujang dan juga seterika serta papan seterika yang disangkut di dinding. Meja kerja pula terdapat di penjuru kiri kaki katil berserta sebuah kerusi yang cantik bagi kegunaan pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di atas meja ini juga diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh serta satu botol kaca untuk pengunjung menyimpan air minuman. Hotel ini tidak menyediakan air mineral yang diletakan di dalam botol plastik seperti kebanyakan hotel. Untuk air minuman, pengunjung perlu mengambilnya dari mesin yang terdapat di luar bilik. Hotel ini mempunyai tandas dan juga ruang pancuran yang berasingan. Di ruang tandas terdapat gelung paip untuk keselesaan pengunjung.


Hotel ini menyediakan wifi percuma yang sangat laju, mencecah kelajuan 242mbps untuk muat turun dan 151mbps untuk muat naik. Bagi telco pula, Tune talk mempunyai kelajuan 396mbps (5G) dan CelcomDigi pula 58mbps (4G). Hotel ini menyediakan TV yang kecil sahaja, hanya bersaiz 32 inci tetapi siarannya banyak (termasuk 8 siaran Vision Four) dan kesemuanya di dalam bentuk HD. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, ianya kuat cuma keluasan ruang pancurannya agak sempit bagi saya. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining antara pukul 12 tengahari sehingga 10.30 malam dan harga makanannya agak murah. Saya sempat makan di kafe di lobi hotel dan mencuba nasi gorengnya yang berharga RM20 serta jus tembikai yang berharga RM11. Untuk sarapan pula, ianya terletak di restoran di Tingkat 2 hotel dan makanan yang disediakan agak banyak. Saya hanya mencuba beberapa menu sahaja termasuklah nasi lemak yang bagi saya rasanya agak sedap.


Hotel ini sangat bersih dan selesa walaupun biliknya kecil sahaja. Dari segi lokasi pula, hotel ini agak terasing tetapi terletak bersebelahan dengan Stesen MRT Sri Damansara Barat. Hanya terdapat Decathlon dan juga Court Mammoth berhampiran dengan hotel ini. Hotel ini mungkin dibina dan menyasarkan badan-badan korporat bagi menjalankan aktiviti seperti seminar dan makan malam di sini. Hotel ini tidak begitu sesuai untuk dijadikan tempat bersantai seisi keluarga kerana selain jauh dari bandaraya, ianya juga tidak mempunyai kolam renang. Jika pembaca ingin membawa keluarga bersiar-siar dengan menaiki MRT ataupun LRT, hotel ini boleh dijadikan pilihan kerana terletak bersebelahan dengan stesen MRT.


Bilik



Tandas dan Ruang Pancuran



Sarapan



Hotel



Makan Tengahari



72 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page