top of page
Search
hanuds

Ibis Styles Kuala Lumpur Fraser Business Park (22-23/1/23)

Dari Ibis KLCC saya meneruskan staycation saya ke satu lagi hotel dalam rangkaian Ibis. Hotel ini terletak di Fraser Business Park dan kepada warga Kuala Lumpur ianya terkenal kerana pada suatu ketika dahulu menempatkan ibu pejabat pembuat minuman terkemuka, F&N. Lokasi hotel ini adalah berhampiran dengan Jalan Sungai Besi. Saya menempah hotel ini sehari sebelum check-in menggunakan aplikasi Accor All. Bilik yang saya pilih ialah bilik standard berkeluasan 258 kaki persegi berharga RM161.12 (tanpa sarapan).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.40 tengahari. Kaunter hotel ini letaknya di tingkat bawah dan lobinya agak kecil. Tidak ada pengunjung lain ketika saya tiba dan oleh itu proses untuk check-in adalah cepat. Saya diberi kad akses bilik saya yang terletak di tingkat 10. Hotel ini mempunyai 4 lif dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa menunggu lif sangatlah cepat.


Sebaik masuk ke bilik, terdapat satu ruang di sebelah kanan menempatkan satu rak untuk meletakan beg dan satu lagi untuk menyangkut baju. Di bawah tempat menyangkut baju ini terdapat peti simpanan keselamatan. Di sebelah kiri pintu masuk pula terdapat meja kerja yang agak besar. Di atasnya terdapat satu lampu study sementara di bawahnya pula terdapat satu bangku untuk pengunjung duduk dan melakukan kerja-kerja pejabat. Di bahagian kanan meja ini terdapat peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, serta cerek letrik.


Katil queen terletak di ruang tengah dan di tepi sebelah kiri katil terdapat satu sofa yang sederhana besar dirapatkan ke dinding cermin. Cermin tingkapnya pula tidak mempunyai langsir, hanya menggunakan bidai. Di dinding mengadap kaki katil pula dilekatkan TV LCD yang hanya bersaiz 32 inci. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan yang agak cantik di mana ianya betul-betul mengadap ke Menara PNB 118.


Bilik airnya pula terdapat di bahagian hadapan kaki katil dan dindingnya adalah cermin tetapi bukanlah lutsinar. Pintu bilik airnya juga cermin dan ianya tidak boleh dikunci. Saiz bilik airnya kecil sahaja menempatkan sinki dan tandas di sebelah kiri sementara ruang untuk pancuran pula di sebelah kanan. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula hanya menyediakan pancuran jenis pegang. Peralatan mandian pula hanyalah tuala, berus gigi dan juga sabun mandi.


Di dalam bilik pula wifi disediakan tidaklah laju, hanya mempunyai kelajuan sekitar 5mbps. Untuk telco pula, Celcom mempunyai kelajuan 110mbps sementara Tune Talk pula 102mbps. Siaran TV tidaklah banyak dan bukan juga dalam bentuk HD (gambarnya agak teruk). Untuk tekanan air di bilik mandi pula, ianya tidaklah begitu kuat namun saya masih berpuas hati. Hotel ini tidak menyediakan seterika di setiap bilik tetapi terdapat seterika dan papan seterika berhampiran lif. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.


Secara peribadi saya agak berpuas hati dengan hotel ini di mana biliknya bersih dan agak cantik serta harganya yang agak murah. Cuma biliknya agak berbau yang membuatkan saya tidak begitu selesa. Saya memberitahu kakitangan yang bertugas dan dengan segera beliau telah menghantar seorang kakitangan untuk menyembur pewangi di bilik saya. Pencahayaan di dalam bilik juga agak suram dan saya terpaksa memasang lampu study bagi mencerahkan lagi ruang bilik. Bilik hotel ini juga tidak kedap bunyi, saya dapat mendengar bunyi kenderaan dengan jelas. Hotel ini dan kawasan persekitarannya juga agak sunyi, di mana terdapat banyak kedai dan juga ruang yang kosong dan tidak berpenghuni. Dari segi lokasi, hotel ini sebenarnya berhampiran dengan Stesen LRT Chan Sow Lin (hanya kira-kira 750 meter sahaja). Bagi saya hotel ini sesuai untuk yang hanya ingin bermalam (untuk kerja) dan tidak begitu sesuai jika ingin berehat dan bersantai di hotel, lebih-lebih lagi yang membawa anak-anak.


Bilik


Bilik Air


Pemandangan dari Bilik


Hotel


105 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page