top of page
Search
hanuds

ibis PJCC Petaling Jaya (9-10/12/23)

Hotel ini agak baru kerana memulakan operasinya pada Julai 2023. Terletak di Taman Desaria Petaling Jaya, bersebelahan dengan Lebuhraya NPE. Saya menempah bilik Standard Queen menggunakan aplikasi Accor All. Bilik ini berharga RM177.54 dan harga ini termasuk sarapan untuk seorang. Bilik jenis ini mempunyai keluasan 215 kaki persegi.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2.15 petang dan terus sahaja daftar masuk (check-in). Lobi hotel ini terletak di tingkat bawah dan ianya sederhana luas dan agak ringkas (simple). Proses daftar masuk sekejap sahaja dan oleh kerana bilik belum lagi sedia, saya diminta untuk duduk terlebih dahulu. Kira-kira 10 minit kemudian kakitangan hotel tadi memberi saya kad akses (waktu daftar masuk hotel ini ialah pada pukul 3 petang). Saya terus sahaja menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 6. Terdapat 3 buah lif di hotel ini dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk menunggu lif tidaklah lama.


Dengan keluasan hanya 215 kaki persegi, bilik hotel ini kecil sahaja. Sebaik memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kiri pintu masuk dan di ruang katil pula selain satu katil queen, terdapat satu meja bulat kecil di sebelah kiri katil dan satu kerusi. Di sebelah kiri katil juga terdapat satu para yang boleh dijadikan tempat duduk atau diletakan barang-barang. Di sebelah kiri penjuru kaki katil pula terdapat satu ruang terbuka untuk menyangkut baju. Di sini juga terdapat peti sejuk mini dan peti simpanan keselamatan. Di bahagian atas sekali terdapat perkakas untuk membancuh kopi dan teh. Hotel ini tidak menyediakan air mineral di dalam botol plastik, hanya menyediakan satu botol kaca di mana pengunjung boleh mengambil air minuman di mesin yang terdapat di lorong di luar bilik. Hotel ini menyediakan TV bersaiz mungkin dalam 50 inci.


Bilik airnya juga kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan ruang untuk pancuran. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula terdapat dua jenis pancuran tetapi ruangnya agak sempit. Hotel ini menyediakan peralatan mandian termasuklah berus gigi tetapi tidak menyediakan tuala tangan dan tuala muka. Di dalam bilik mandi juga terdapat mesin pengering rambut tetapi hotel ini tidak menyediakan seterika. Bilik yang saya inap ini mengadap ke Lebuhraya NPE.


Hotel ini mempunyai kolam renang di tingakat 3 dan saiznya kecil sahaja. Selain kolam renang, di aras yang sama terdapat juga sebuah gimnasium dan juga bilik permainan kanak-kanak. Untuk wifi percuma pula, di dalam bilik ianya mempunyai kelajuan sekitar 10mbps sementara Tune Talk pula 104mbps dan Celcom sedikit perlahan dengan kelajuan 87mbps. Siaran TV pula tidaklah banyak dan bukan semuanya di dalam bentuk HD. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, ianya kuat dan saya sangat suka mandi di pancurannya cuma ruangnya agak sempit.


Untuk sarapan pagi pula, ianya di restoran yang terletak di Tingkat M. Sarapan pagi di hotel ini hanya menyediakan beberapa menu sahaja dan sangat ringkas (simple). Saya hanya mencuba beberapa menu tetapi tidak dapat mengulas samada ianya sedap ataupun tidak oleh kerana saya tidak begitu sihat. Kebanyakan makanannya tidak panas (fresh) dan ada yang sudah habis walaupun saya turun agak awal, iaitu pada pukul 7.30 pagi. Pengunjung agak ramai dan kebanyakannya pelancong dari China. Kakitangan hotel pula tidak ramai dan banyak meja yang tidak dikemas tetapi kakitangan hotel yang ada sangat rajin mengemas meja dan membantu pengunjung untuk membuat kopi menggunakan mesin. Dua kali minuman saya diambil (ketika saya pergi mengambil makanan) walaupun saya sebenarnya belum habis makan.


Seperti hotel di rangkaian ibis yang lain, hotel ini sesuai untuk yang ingin bermalam sahaja kerana biliknya yang sempit, ianya kurang sesuai untuk yang ingin bersantai di hotel lebih-lebih lagi kepada yang telah berkeluarga, tetapi tilam dan bantal di hotel ini sangat selesa. Bilik hotel ini tidak menyediakan soket yang banyak. Lokasi hotel ini agak jauh dari Kuala Lumpur dan jauh juga dari pengangkutan awam. Hotel ini terletak kira-kira 2.1km dari Stesen Komuter Taman Dato Haron dan 6.6km ke Stesen LRT Taman Bahagia.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Sarapan


Hotel


Pemandangan dari Bilik


70 views1 comment

1 Comment


lollika moza
lollika moza
Jan 17

Hotel ni dekat dengan sunway pyramid. Kalau just nak makan dekat hotel ni boleh ke?

Like
Post: Blog2_Post
bottom of page