Pulang dari Krabi saya meneruskan staycation saya sekitar Kuala Lumpur dengan sekali lagi ke hotel ini. Hotel ini letaknya di Jalan Yap Kwan Seng. Lokasinya hanyalah 900 meter sahaja dari Menara Berkembar Petronas (KLCC). Saya menempah hotel ini menggunakan aplikasi Hopper dengan harga RM223.98 dan bilik yang saya pilih ialah jenis standard.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2.15 petang dan terus sahaja ke kaunter. Orang agak ramai pada masa itu tetapi proses check-in agak cepat. Sebaik diberi kad akses saya terus saja menaiki lif ke tingkat 20. Terdapat 6 buah lif di hotel ini dan masa menunggu tidaklah lama biarpun pengunjung agak ramai.
Bilik yang saya pilih ini kecil sahaja, mempunyai keluasan hanya 215 kaki persegi. Memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kiri sementara ruang bilik pula selain satu katil queen, terdapat meja kerja yang kecil mengadap ke cermin tingkap. Di sebelah kiri meja ini pula, iaitu di penjuru bilik terdapat satu rak untuk menyimpan pakaian dan ianya adalah terbuka. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan serta seterika dan papan seterika. Di atas rak ini pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh termasuklah cerek letrik. Kemudian di dinding mengadap ke kaki katil terdapat TV bersaiz 40 inci.
Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang untuk pancuran pula agak kecil. Terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang disediakan. Peralatan mandian pula hanyalah tuala mandi, berus gigi serta gel mandi yang diletakan di dalam ruang pancuran.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di bumbung bangunan (rooftop) dan saiznya tidaklah besar. Terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Di aras yang sama juga terdapat spa dan gimnasium untuk kegunaan pengunjung (kali ini saya tidak mengambil gambar kolam renang, sila rujuk review saya sebelum ini).
Hotel ini menyediakan wifi percuma yang agak laju iaitu sekitar 18mbps sementara Celcom pula mempunyai kelajuan 79mbps sementara Tune Talk pula 62mbps. Siaran TV pula tidaklah banyak tetapi siaranya adalah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati.
Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan hotel ini (disebabkan itu saya kembali ke sini). Lokasi hotel ini berhampiran dengan KLCC (di malamnya saya ke KLCC dengan hanya berjalan kaki). Biliknya bersih dan perabutnya agak baru serta selesa. Jika ditempah awal dan bukannya di waktu cuti umum, hotel ini hanyalah di bawah RM200.
Bilik
Bilik Air
Hotel
Comments