top of page
Search
hanuds

Ibis Kuala Lumpur City Centre (10-11/12/22)

Kali ini saya ke satu hotel di dalam rangkaian Ibis yang terletak di Jalan Yap Kwan Seng Kuala Lumpur. Buat kali pertama saya menempah hotel menggunakan aplikasi Accor Live Limitless (ALL) dan saya telah memilih bilik jenis standard yang mempunyai keluasan 215 kaki persegi. Bilik ini berharga RM217.62 dan ianya tanpa sarapan. Ketika menempah bilik ini, harga di Booking.com dan juga Trip.com adalah lebih mahal.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.40 tengahari dan terus sahaja ke kaunter. Kaunter hotel ini terletak di tingkat bawah dan ianya agak luas. Selain kaunter terdapat juga kafe di aras yang sama. Oleh kerana bilik saya telah pun siap, saya terus diberi kad akses bilik yang terletak di tingkat 28. Proses untuk check-in sangat cepat.


Terdapat 6 buah lif di hotel ini, walau bagaimanapun ianya agak lambat. Dengan bilik berkeluasan hanyalah 215 kaki persegi, bilik ini agak kecil dan sempit tetapi masih lagi selesa. Memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan dan di ruang bilik pula terdapat satu katil queen. Hotel ini hanya menyediakan 2 bantal tetapi terdapat bantal peluk (jarang sekali saya jumpa hotel yang menyediakan bantal peluk). Di sebelah kanan katil terdapat satu tempat untuk meletak bag atau barang-barang dan di sebelahnya pula terdapat meja kerja yang agak besar serta satu kerusi kayu (saya tidak begitu menyukai kerusi ini kerana tidak selesa). Di penjuru hujung sebelah kanan kaki katil pula terdapat kabinet untuk menyangkut baju dan ianya adalah terbuka. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika yang disorokan di tepi kabinet ini. Di bawahnya pula terdapat satu peti ais mini dan di atas kabinet ini diletakan peralatan untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik. Di dinding bertentangan kaki katil pula terdapat TV yang berukuran 40 inci.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang ini dipisahkan dengan cermin yang seratus peratus lutsinar. Peralatan mandian pula lengkap disediakan termasuklah berus gigi. Hotel ini hanya menyediakan tuala mandi sahaja, tidak terdapat tuala muka dan tangan.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di atas bumbung (rooftop) dan reka bentuknya agak pelik. Saiznya tidaklah besar tetapi tidak pula terlalu kecil. Terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak di sebelah kolam renang dewasa. Waktu ianya beroperasi ialah pada pukul 7 pagi sehingga ke 10 malam. Di bahagian bawah sedikit dari kolam renang ini terdapat pula spa.


Wifi percuma di dalam bilik pula sangat perlahan, hanya sekitar 1 atau 2mbps sahaja. Telco pula laju di mana Celcom mempunyai kelajuan 94mbps dan Tune Talk pula 92mbps. Tidak banyak siaran TV disediakan biarpun ianya dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati. Untuk pemandangan (view) dari bilik pula, ianya mengadap ke Jalan Ampang. Hotel ini tidak ada menyediakan servis in-room dining tetapi menyediakan makan tengahari (buffet) berharga RM69. Untuk sarapan pagi pula harga untuk walk-in adalah RM25. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.


Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan hotel ini yang bersih dan agak cantik. Ianya sesuai untuk bisnes dan tidak sesuai untuk keluarga kerana biliknya yang kecil serta fasilitinya yang agak terhad. Ianya sesuai bagi yang ingin bermalam sahaja tetapi tidak untuk yang ingin bersantai di dalam bilik. Dari segi lokasi pula, hotel ini agak strategik kerana terletak hanya 900 meter dari KLCC.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Hotel


145 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page