top of page
Search
hanuds

Hyatt Place Kuala Lumpur (28-29/10/23)

Minggu ini staycation saya ialah ke satu hotel yang baru saja memulakan operasinya pada 28 September yang lepas. Hotel di bawah rangkaian Hyatt ini merupakan hotel antarabangsa yang pertama di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Saya telah menempah bilik hotel ini dengan menggunakan aplikasi World of Hyatt. Saya memilih bilik jenis King Bed yang berharga RM306.87 (tanpa sarapan).


Saya tiba di hotel pada kira-kira pukul 1.20 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di tingkat 1 hotel. Selain kaunter untuk mendaftar, terdapat juga sebuah restoran di aras yang sama. Proses daftar masuk (check-in) tidak mengambil masa yang lama kerana saya telahpun membuat proses daftar masuk secara atas talian. Sebaik menerima kad akses saya terus sahaja ke tingkat 10. Hotel ini mempunyai 3 buah lif dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk menunggu lif tidaklah lama.


Sebaik sampai di bilik, pintu bilik tidak boleh dibuka. Saya kembali semula ke kaunter dan diberi bilik di tingkat 9 tetapi di kedudukan yang sama. Kali ini kakitangan hotel sendiri yang mengiringi saya ke bilik untuk memastikan yang bilik kali ini tidak mempunyai sebarang masalah. Bilik hotel ini agak besar dengan keluasan 344 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat almari di sebelah kanan pintu masuk serta tempat untuk meletakan beg dan barang-barang. Di dalam almari ini selain tempat untuk menggantung baju, terdapat juga peti simpanan keselamatan. Di sebelah kiri pintu masuk pula terletaknya bilik air. Ruang bilik hotel ini agak luas kerana bilik airnya yang kecil. Selain satu katil king, terdapat satu sofa yang besar di sebelah kanan katil serta satu meja bulat yang kecil. Di bahagian dinding mengadap ke kaki katil terdapat meja yang panjang. Di sini terdapat peti sejuk mini dan perkakas untuk membancuh kopi dan teh. Di atas meja ini digantung Smart TV bersaiz 55 inci.


Bilik airnya pula mempunyai pintu gelongsor yang tidak boleh dikunci. Saiz bilik air hotel ini kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Walaupun bilik airnya kecil, ruang untuk pancuran agak luas tetapi hanya menyediakan pancuran jenis pegang sahaja. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah tuala tangan dan tuala muka serta berus gigi. Untuk peralatan mandian yang lain, pengunjung perlu mendapatkannya di kaunter (semasa proses daftar masuk) ataupun menghubungi pihak hotel untuk dihantar ke bilik.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di atas bangunan (rooftop). Saiz kolam renangnya sederhana besar dan selain kolam renang dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Waktu kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 7 petang. Selain kolam renang terdapat juga gimnasium di atas bangunan hotel ini serta sebuah bar di tepi kolam renang. Hotel ini ada menyediakan tempat letak kereta tetapi ianya hanyalah parkir valet. Untuk hujung minggu, ianya berharga RM25 dan RM20 jika pada hari-hari biasa.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan hanyalah sekitar 12mbps sahaja tetapi telco mempunyai kelajuan yang laju di mana Tune Talk berkelajuan 152mbps sementara Celcom pula 144mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang agak banyak dan kebanyakan siarannya di dalam bentuk HD. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, ianya kuat dan saya sangat puas mandi di pancurannya.


Secara peribadi saya suka dengan hotel ini. Biliknya luas dan lokasi hotel ini juga terletak bersebelahan dengan Pavilion Bukit Jalil. Interior hotel ini juga cantik dan kemas. Sebagai hotel yang baru sahaja memulakan operasinya, hotel ini bersih dan segala kelengkapannya masih lagi baru. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak 2 km dari Stesen LRT Awan Besar. Hotel ini sesuai bagi yang ingin berehat dan bersantai di hotel ataupun yang ingin bersiar-siar di Pavilion Bukit Jalil.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Hotel



185 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page