top of page
Search

Hyatt Centric City Centre Kuala Lumpur (11-12/1/25)

hanuds

Updated: Jan 19

Untuk pembukaan Tahun 2025 ini saya memilih satu hotel yang baru saja beroperasi pada 18 December yang lepas. Hotel di bawah rangkaian Hyatt ini terletak di Jalan Sultan Ismail yang asalnya adalah bangunan Wisma KFC. Saya membuat tempahan bilik menggunakan aplikasi World of Hyatt dan memilih bilik jenis King Bed berharga RM504.81. Harga ini termasuk sarapan pagi untuk dua orang tetapi tidak termasuk cukai SST sebanyak 8%.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.30 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobinya agak luas dan cantik. Selain menempatkan kaunter terdapat sebuah kafe di aras yang sama. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan hotel ini mengenakan deposit. Oleh kerana saya menggunaka kad kredit, pihak hotel mengambil bayaran RM700 untuk harga bilik dan juga deposit. Saya bernasib baik kerana diberi bilik jenis King Bed yang mempunyai balkoni (harga bilik ini sedikit mahal jika dibandingkan dengan bilik tanpa balkoni).


Terdapat empat buah lif di hotel ini dan masa menunggu lif tidaklah lama. Bilik yang saya inap ini letaknya di Tingkat 13. Dengan keluasan 409 kaki persegi bilik jenis ini agak luas. Sebaik memasuki bilik terdapat ruang singki di sebelah kiri pintu masuk. Kemudian di hadapannya terdapat satu kabinet terbuka untuk pengunjung meletakkan beg dan barang-barang mereka. Di atasnya pula adalah tempat untuk menyangkut baju. Di sebelah para ini terdapat peti ais mini dan di atasnya diletakkan mesin untuk membancuh kopi serta cerek letrik. Di bahagian paling atas adalah ruang untuk peti simpanan keselamatan. Di bahagian ini juga terdapat air minuman yang diletakkan di dalam dua botol kaca serta perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh.


Di ruang katil pula selain satu katil king terdapat satu sofa sederhana besar di sebelah kiri katil. Di penjuru kiri kaki katil terdapat satu meja bulat yang agak besar serta satu kerusi untuk pengunjung membuat kerja-kerja pejabat. Di hadapan meja bulat ini adalah pintu untuk ke balkoni. Balkoni hotel ini luas cuma ianya kosong, tidak disediakan kerusi dan meja untuk pengunjung bersantai sambil menikmati pemandangan KLCC. Seperti hotel yang lain TV digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan hotel ini menyediakan TV bersaiz besar, mungkin 65 inci.


Hotel ini mempunyai ruang tandas dan juga ruang mandi (shower) yang terletak di bahagian belakang rak untuk menyimpan beg. Ruang tandas dan ruang pancuran ini adalah berasingan dan masing-masing mempunyai pintu tetapi ianya tidak boleh dikunci. Tidak terdapat gelung paip di ruang tandasnya dan hotel ini menggunakan mangkuk paip yang terdapat paip kecil di dalamnya yang dikawal sepenuhnya menggunakan suis. Ruang pancurannya pula agak sempit menempatkan dua jenis pancuran. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap.


Kolam renang hotel ini letaknya di atas bangunan (rooftop) iaitu di Tingkat 21 dan mempunyai pemandangan yang sangat cantik kerana mengadap ke Menara Berkembar Petronas. Saiz kolamnya agak besar tetapi tidak terdapat kolam renang untuk kanak-kanak. Ianya dibuka pada pukul 7 pagi sehingga jam 9 malam. Selain kolam renang terdapat juga gimnasium di aras yang sama di mana ianya beroperasi 24 jam. Terdapat sebuah kafe di sebelah kiri kolam renang dan di bahagian kanan pula terdapat jambatan bulat untuk pengunjung melihat pemandangan Kuala Lumpur. Di sini juga terdapat tangga ke satu lagi restoran yang terletak di Tingkat 19.


Untuk sarapan pagi pula, ianya di restoran yang terletak di Tingkat 19. Waktu untuk sarapan pagi ialah dari pukul 6.30 hingga 10.30 pagi. Menu yang disediakan tidaklah begitu banyak tetapi sudah memadai bagi saya. Seperti biasa saya hanya makan beberapa menu sahaja iaitu nasi lemak dan pastri. Bagi saya ini adalah antara hotel yang menyediakan nasi lemak yang sedap, begitu juga dengan pastrinya. Saya juga gemar dengan suasana persekitaran sarapan yang agak santai dan keadaannya yang tidak begitu sejuk.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju di mana kelajuan maksimanya mencecah 49mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 458mbps sementara Tune Talk pula 98mbps. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan hotel ini menyediakan siaran TV yang agak banyak di mana kebanyakkan siarannya adalah di dalam bentuk HD. Untuk yang membawa kenderaan pula, hotel ini ada menyediakan parkir dan ianya adalah percuma buat masa ini.


Seperti hotel-hotel lain di bawah rangkaian Hyatt, harga hotel ini agak mahal tetapi bagi saya ianya berbaloi dengan bilik dan fasiliti yang disediakan. Sebagai sebuah hotel yang baru sahaja beroperasi, segala-galanya masih lagi baharu dan secara peribadi saya sangat menyukai hiasan dalamannya. Ianya agak berlainan dari kebiasaan hotel dan terdapat banyak sudut hotel di mana hiasan dalamannya sangat cantik dan sangat sesuai kepada pengunjung yang suka outfit of the day (ootd). Layanan kakitangan hotel juga sangat baik dan mesra. Cuma mungkin menjadi masalah kepada yang tidak selesa dengan tandas yang tidak mempunyai gelung paip serta pintu bilik airnya yang tidak boleh dikunci.


Dari segi lokasi pula, hotel ini sememangnya strategik kerana hanya terletak 750 meter untuk ke KLCC (10 minit jika berjalan kaki), 950 meter ke Pavilion Bukit Bintang (13 minit jika berjalan kaki) dan 1.2 km ke Menara Kuala Lumpur (15 minit jika berjalan kaki). Untuk yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini hanya terletak 400 meter dari Stesen Monorel Raja Chulan. Jika pembaca tidak kisah dengan harganya yang agak mahal, ini adalah antara hotel yang akan saya syorkan jika berkunjung ke Kuala Lumpur. Saya pasti akan ke sini lagi untuk mencuba menginap di bilik yang lain pula.


Bilik



Singki dan Bilik Air



Kolam Renang



Sarapan



Hotel



Pemandangan dari Bilik



 
 
 

留言


Post: Blog2_Post
  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn

©2020 by Bumi dipijak langit dijunjung. Proudly created with Wix.com

bottom of page