Hotel kedua pada minggu ini letaknya di Jalan Berangan, juga di Bukit Bintang. Jarak antara Hotel Ceria ke hotel ini ialah 1.4km. Saya telah menempah hotel ini melalui aplikasi Trip.com dan telah memilih bilik jenis Superior Queen yang berharga RM142.54 (tanpa sarapan). Selepas ditolak trip coins saya hanya perlu membayar RM110.84 sahaja. Tujuan saya memilih hotel ini ialah kerana ingin bersiar-siar di sekitar Jalan Alor yang terletak hanya 300 meter dari hotel ini.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2.45 petang dengan berjalan kaki dari Pavilion. Sampai di hotel saya terus sahaja ke lobi hotel yang terletak di tingkat bawah. Lobinya kecil sahaja tetapi agak cantik. Deposit sebanyak RM50 dikenakan dan setelah saya menerima kad akses, saya terus sahaja menaiki lif untuk ke tingkat 3. Terdapat hanya 1 lif di hotel ini. Tiada pengunjung lain pada masa saya tiba dan oleh kerana pengunjung lain tidaklah ramai, jadi lif tidak menjadi masalah sepanjang saya bermalam di sini.
Bangunan hotel ini kecil sahaja dan ianya hanya mempunyai 6 tingkat. Bilik yang saya pilih ini hanya berkeluasan 161 kaki persegi dan tidak mempunyai tingkap. Selain satu katil queen, terdapat satu rak di kiri katil menempatkan peti simpanan keselamatan dan juga penyangkut baju yang terbuka. Di hadapan katil pula TV 32 inci dilekatkan di dinding. Di ruang kanan katil di tepi bilik air terdapat satu para seperti meja dan satu bangku di mana di atas meja diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh termasuklah juga cerek letrik.
Bilik air pula terletak di sebelah kanan katil. Saiznya kecil sahaja menempatkan sinki di tengah-tengah sementara tandas pula di sebelah kiri dan ruang untuk shower pula di sebelah kanan. Ruang shower hanya ditutupi dengan tirai dan mempunyai 2 jenis shower, iaitu jenis siling dan juga pegang. Di sebelah mangkuk tandas terdapat gelung paip. Dinding dan pintu bilik air adalah cermin lut cahaya dan pintunya adalah jenis gelongsor. Walaupun bukanlah seratus peratus lut sinar, masih menampakan bayang-bayang jika lampu bilik air dibuka.
Selain penghawa dingin, bilik hotel ini juga menyediakan kipas angin siling. Wifi percuma pula agak laju di mana ianya mencapai kelajuan 18mbps. Untuk Telco pula, Celcom mempunyai kelajuan sehingga 184mbps sementara Tune Talk pula 95mbps. Siaran TV tidak banyak dan bukan pula dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula sangat kuat dan saya sangat berpuas hati. Walau bagaimanapun hotel ini tidak menyediakan peti ais mini seperti kebanyakan hotel yang lain. Hotel ini juga tidak menyediakan lampu tidur. Apabila dipadamkan semua lampu, bilik akan menjadi gelap gelita. Saya terpaksa memasang lampu bilik air dan oleh kerana dindingnya dari cermin yang lut cahaya, cahaya agak terang semasa saya tidur dan saya agak tidak selesa. Hotel ini juga tidak mempunyai parkir, oleh itu pengunjung perlu meletakan kereta mereka di parkir-parkir awam sekitar hotel. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter dan mengambil kembali wang deposit.
Hotel ini mempunyai rooftop yang boleh diakses. Walaupun tidak terdapat apa-apa di atasnya (hanya dijadikan tempat untuk menghisap rokok), pengunjung boleh melihat sekitar Kuala Lumpur dari atas bangunan hotel ini. Walaupun tidaklah tinggi tetapi pemandangan dari atas hotel ini agak cantik. Secara peribadi saya suka dengan hotel ini. Selain interiornya yang cantik, ianya juga sangat bersih. Lokasi hotel ini pula terletak berhampiran dengan Jalan Alor dan hanya kira-kira 800 meter dari Pavilion. Hotel ini juga mempunyai bilik jenis deluxe di mana saiznya lebih besar dengan keluasan 236 kaki persegi. Saya bercadang untuk kembali ke hotel ini dan menginap di bilik deluxenya pula.
Bilik
Lobi
View from Top
Jalan Alor
Comments