Untuk staycation pertama bagi tahun 2022, saya telah memilih satu hotel di dalam rangkaian Marriot Bonvoy. Hotel yang terletak di Jalan Kamunting ini merupakan salah satu hotel kepunyaan YTL. Lokasinya terletak berhampiran dengan stesen LRT Dang Wangi, juga berhampiran Jalan Doraisamy (bagi warga Kuala Lumpur, jalan ini terkenal dengan sup kambingnya yang sedap).
Sebenarnya ini merupakan kali kedua saya ingin ke sini. Kali pertama saya telah menempah hotel ini pada April tahun lepas tetapi telah ditukar di saat2 akhir disebabkan hotel ini telah ditutup untuk sementara waktu. Pada masa itu harga yang saya bayar ialah RM251.90 (termasuk sarapan). Oleh kerana hotel ini memberhentikan operasinya ketika itu, saya ditawarkan untuk menginap di hotel The Majestic (saya beruntung kerana The Majestic harganya jauh lebih mahal).
Untuk kali ini saya menempah hotel ini menerusi applikasi trip.com hanya beberapa jam sebelum saya check-in (saya selalunya menempah hotel awal untuk mendapatkan harga yang murah). Saya telah memilih bilik jenis deluxe yang berharga RM264.13 (tanpa sarapan). Oleh itu jika dibandingkan dengan harga pada tahun lepas, harga untuk tahun ini adalah lebih mahal. Biliknya agak besar berkeluasan 322 kaki persegi.
Saya tiba kira2 pukul 2.00 petang dan terus ke kaunter untuk check-in. Tidak ramai pengunjung pada masa itu dan proses untuk check ini hanya mengambil masa beberapa minit sahaja (saya lebih suka membuat bayaran secara online kerana ini akan mempercepatkan proses check-in dan check-out). Selepas mendapat kad akses saya terus menaiki lif untuk ke tingkat 17. Hanya 3 lif terdapat di hotel ini tetapi oleh kerana orang tidaklah ramai, tidak ada masalah untuk menunggu lif.
Memasuki biliknya seperti biasa terdapat almari untuk menyimpan pakaian di sebelah kiri sementara bilik air pula terdapat di sebelah kanan. Biliknya sederhana besar menempatkan satu katil queen, sofa dan meja study. Di kaki katil terdapat satu kabinet menempatkan pembancuh kopi. Dengan berkonsepkan design yang moden, interior biliknya agak cantik.
Satu kelainan bilik di hotel ini ialah sinkinya terletak di luar bilik mandi tidak seperti kebanyakan hotel yang lain. Bilik mandinya pula agak kecil hanya menempatkan tandas dan ruang untuk shower. Tiada bathtub untuk bilik jenis ini. Pencahayaan di dalam biliknya agak suram kerana hanya menggunakan lampu meja dan bukannya lampu siling (kecuali di pintu masuk dan bilik air). Ruang di kabinet yang menempatkan TV agak gelap.
Hotel ini menyediakan TV yang besar, mungkin 49 atau 50 inci. Kesemua siarannya adalah dalam bentuk HD dan menyediakan siaran yang agak banyak. Untuk wifi pula, kelajuannya agak laju di mana ianya mencapai kelajuan 54mbps. Bagi telco pula, Tune Talk mencapai kelajuan 85mbps sementara Celcom pula berkelajuan 80mbps semasa saya mengujinya di awal pagi. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, saya sangat berpuas hati.
Hotel ini antara hotel yang mempunyai pool di rooftop. Ianya terletak di tingkat 21 hotel. Poolnya agak besar dan mempunyai view yang cantik iaitu mengadap ke Menara Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun tidak terdapat pool untuk kanak2 di sini. Di aras yang sama terdapat juga restoran tetapi saya dipahamkan ianya masih tidak beroperasi disebabkan pandemik ini. Di aras bawah pool terdapat gymnasium.
Secara keseluruhan saya suka dengan hotel ini. Dengan interiornya yang cantik serta harganya yang di bawah RM300 adalah amat berbaloi bagi saya. Sebenarnya kebiasaan harga hotel ini di atas RM300. Untuk mendapatkan harga di bawah RM300, pembaca perlu selalu ke applikasi booking.com ataupun trip.com.
Bilik
Pool
Comments