Pada minggu ini saya ke satu hotel yang mungkin semua orang tahu dan tak perlu diperkenalkan lagi. Hotel ini dahulunya dikenali sebagai Hotel Pan Pacific yang dibuka pada tahun1985 sebelum ditukar kepada Seri Pacific pada tahun 2009. Hotel ini terletak di Jalan Putra iaitu bersebelahan dengan World Trade Centre (WTC) yang dahulunya dikenali sebagai Putra World Trade Centre (PWTC). Di hadapan hotel ini ialah pusat membeli belah dan juga Hotel Sunway Putra.
Ini adalah kali kedua saya ke hotel ini, kali pertama ialah pada Januari 2021. Kali ini saya juga menempah bilik jenis superior menggunakan aplikasi Booking.com tetapi harganya lebih mahal iaitu RM250.21 (tanpa sarapan). Pada tahun lepas harganya hanyalah RM198.75, juga tanpa sarapan. Walaupun biliknya adalah sama tetapi dalaman (interior) adalah berlainan. Bilik hotel ini mungkin sudah diperbaharui (refurbished) memandangkan ianya kelihatan baru.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.30 petang dan terus sahaja ke kaunter. Kaunternya terletak di lobi yang terletak di tingkat bawah (M floor). Selepas mendaftar saya diberitahu bahawa bilik belum lagi siap dan saya pun terlebih dahulu makan tengahari di restoran hotel yang terletak di paras yang sama dengan lobi. Saya memesan nasi goreng desa yang berharga RM34 dan juga sagu gula melaka yang berharga RM16. Bagi saya nasi goreng desa agak sedap begitu juga dengan sagu gula melaka. Semasa saya makan tengahari saya mendapat panggilan dari pihak hotel pada pukul 2.30 petang memaklumkan bahawa bilik saya telahpun sedia.
Selesai makan tengahari saya terus ke kaunter untuk mengambil kad akses. Selepas itu saya menaiki lif untuk ke tingkat 13. Terdapat 5 lif di hotel ini dan masa menunggu agak cepat walaupun orang agak ramai. Bilik superior ini agak besar mempunyai keluasan 344 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat almari pakaian di sebelah kiri lorong masuk diikuti dengan bilik air. Di dalam almari ini selain penyangkut baju, juga terdapat peti simpanan keselamatan. Ruang bilik pula selain satu katil king, terdapat satu sofa kecil diletakkan di tepi tingkap serta satu meja 4 segi sama yang kecil di sebelahnya. Di kaki katil pula terdapat meja kerja yang sederhana besar serta satu kerusi dan di atas meja kerja terdapat satu lampu seakan lampu tidur. TV pula dilekatkan di dinding bertentangan dengan katil dan saiznya hanyalah 34 inci sahaja. Di dinding di belakang meja kerja ini terdapat satu ruang tertutup untuk menempatkan satu peti ais mini dan juga perkakas untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik. Dinding sebelah kiri di kepala katil pula mempunyai satu ruang tertutup menempatkan seterika dan papan seterika. Terdapat label di kedua-dua ruang ini supaya pengunjung tidaklah tercari-cari seterika dan juga peti ais.
Bilik air pula mempunyai 3 bahagian dan saiznya agak kecil dan ianya tidak berpintu. Bahagian pertama adalah sinki dan di sebelah kiri pula adalah ruang menempatkan tandas dan juga bathtub. Saiz bathtubnya tidaklah besar dan terdapat salur paip di sebelah mangkuk tandas. Ruang ini boleh ditutup dengan pintu kaca dan boleh dikunci. Ruang ketiga adalah ruang untuk pancuran (shower) yang juga boleh ditutup dengan pintu kaca tetapi tidak boleh dikunci. Hanya terdapat satu jenis pancuran sahaja disediakan iaitu jenis siling (tidak terdapat jenis pegang). Tekanan air adalah sangat kuat dan saya amat berpuas hati.
Hotel ini mempunyai kolam mandi yang teletak di bahagian bawah hotel dan ianya adalah terbuka. Untuk ke kolam mandi pengunjung perlu turun ke lobi dan menaiki tangga untuk ke sini. Saiz kolamnya tidaklah besar tetapi dalam. Untuk kolam dewasa kedalaman kolamnya adalah antara 1.3 meter ke 1.9 meter sementara kolam untuk kanak-kanak pula 0.5 meter dan juga 1.0 meter. Waktu kolam mandi dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 8 malam.
Hotel ini juga ada menyediakan wifi percuma tetapi perlahan dan tidak begitu stabil. Ianya hanya mempunyai kelajuan sekitar 10mbps sahaja. Begitu juga dengan telco di mana kelajuannya agak perlahan. Celcom mempunyai kelajuan 37mbps sementara Tune Talk pula hanya 22mbps. Bagi siaran TV pula, tidak banyak siaran yang ada selain Vision Four dan siarannya bukanlah dalam bentuk HD. Servis in-room dining adalah dari pukul 6 pagi ke 11 pagi untuk sarapan dan 11 pagi ke 11 malam untuk menu sepanjang hari. Menunya adalah sama jika makan di restoran hotel, cuma harganya lebih mahal. Untuk servis in-room dining pengunjung perlu menggunakan aplikasi Whatsapp dan bukannya memesan melalui panggilan telefon seperti kebanyakan hotel (hotel ini tidak menyediakan telefon). Bagi pemandangan dari bilik pula, bilik yang saya inap ini mengadap ke KLCC. Proses check-out pula cepat di mana saya hanya perlu memulangkan semula kad akses ke kaunter.
Secara peribadi saya berpendapat hotel ini masih lagi boleh bersaing dengan hotel-hotel yang baharu walaupun hotel ini sudah lama beroperasi. Selain biliknya yang sudah diperbaharui, lokasi hotel ini adalah strategik di mana ianya terletak berhampiran dengan Sunway Putra Mall dan hanya 1.0km ke Jalan Chow Kit serta 1.7km ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR). Hotel ini juga hanya 100 meter dari Stesen LRT PWTC. Walaupun hotel ini sudah lama, ianya diselenggarakan dengan baik dan tahap kebersihannya adalah memuaskan. Untuk bilik yang mempunyai keluasan lebih 300 kaki persegi dengan harga sekitar RM200, ianya satu pilihan yang berbaloi.
Bilik
Bilik Air
View dari Bilik
Hotel
Kolam Mandi
Restoran
Commenti