top of page
Search
hanuds

Hotel Royal Signature Kuala Lumpur (14-15/10/2023)

Minggu ini saya ke satu hotel yang terletak di Bukit Bintang Kuala Lumpur. Hotel ini asalnya adalah Hotel Royale Chulan Bukit Bintang tetapi telah dijual oleh Kumpulan Boustead kepada sebuah syarikat dari Singapura. Hotel ini telah menjalani proses ubahsuai secara besar-besaran (fully refurbished) dan telah dibuka semula pada 1 Oktober lepas. Melalui aplikasi Trip.com saya telah memilih bilik jenis superior yang berharga RM290.41 dan harga ini adalah termasuk sarapan pagi untuk 2 orang.


Saya tiba di hotel agak awal iaitu kira-kira pukul 12.40 tengahari. Saya terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk (check-in). Lobi hotel ini agak luas dan cantik. Semasa saya tiba hanya terdapat seorang sahaja pengunjung yang sedang mendaftar, oleh itu masa untuk pendaftaran masuk tidaklah mengambil masa yang lama. Hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM150 dan saya hanya menggunakan kad kredit untuk wang deposit ini.


Sebaik menerima kad akses saya terus sahaja menaiki lif untuk ke tingkat 9. Terdapat 4 buah lif di hotel ini dan oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk menunggu lif sekejap sahaja. Lorong untuk ke bilik hotel ini cantik dan saya suka dengan pencahayaannya. Bilik superior hotel ini kecil sahaja, hanya berkeluasan 291 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat almari yang terbuka di sebelah kiri untuk pengunjung menyangkut baju dan menyimpan barang-barang. Di sini juga terdapat seterika dan papan seterika serta peti simpanan keselamatan yang diletakan di ruang yang tertutup. Terdapat juga 2 pasang jubah mandi digantung di ruang ini serta 2 pasang selipar dan juga sekaki payung. Di atas peti simpanan keselamatan terdapat mesin membancuh kopi serta peralatan untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik.


Bilik jenis superior ini ringkas (simple) sahaja, selain katil queen terdapat meja panjang di dinding bertentangan dengan kaki katil. Di sebelah kirinya adalah satu ruang untuk menyimpan beg dan barang-barang. Di ruang tengah terdapat peti sejuk mini dan di bahagian paling kanan pula terdapat satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat di ruang ini. Hotel ini menyediakan TV yang bersaiz besar, mungkin bersaiz 60 ataupun 65 inci yang di gantung di dinding di atas meja.


Bilik airnya juga kecil dan mempunyai pintu yang tidak boleh dikunci. Ianya menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas tetapi ianya terletak di sebelah kiri dan bukannya di sebelah kanan. Di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang pancurannya juga kecil dan agak sempit. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, pencukur, tuala tangan serta tuala muka. Hotel ini juga ada menyediakan pengering rambut (hair dryer).


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 4 dan kawasannya agak luas dan cantik. Terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak di sebelah kolam renang dewasa. Waktu kolam ini dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 7 petang. Di tepi kolam renang ini terdapat sebuah bar dan juga gimnasium yang beroperasi 24 jam. Selain itu di aras yang sama terdapat juga surau dan bilik permainan kanak-kanak yang masih di dalam pembinaan.

Sarapan pula adalah di restoran yang terletak di tingkat 2. Waktu sarapan ialah dari pukul 6.30 pagi sehingga 10.30 pagi. Menu yang disediakan tidaklah begitu banyak tetapi bagi saya ianya sudah mencukupi. Saya hanya mencuba beberapa jenis makanan, nasi lemaknya bagi saya biasa sahaja, sambalnya tidak begitu terasa dan ikan bilisnya sangat masin. Mee goreng mamak sedap tetapi sedikit masin bagi saya. Croissantnya lembut tetapi tidak boleh mengatasi croissant di Santa Grand Signature yang sangat sedap.


Hotel ini menyediakan wifi percuma yang sangat laju, mencecah kelajuan 446mbps (muat turun) dan 440mbps (muat naik). Telco juga mempunyai kelajuan yang laju di mana Celcom mempunyai kelajuan 158mbps sementara Tune Talk pula 87mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang agak banyak dan kebanyakan siarannya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati dengan pancurannya.


Secara peribadi saya suka dengan hotel ini. Walaupun bangunannya bukanlah baru tetapi interiornya serba serbi baru. Sebaik memasuki lobinya saya tidak merasakan yang hotel ini adalah bekas hotel Royale Chulan kerana keseluruhannya ia telah ditukar dan lobinya berbau sangat wangi. Biliknya pula sangat bersih dan segala peralatannya juga masih lagi baru. Saya sangat suka dengan pencahayaan di dalam biliknya yang seimbang di semua sudut, cuma bunyi penghawa dingin di dalam bilik agak kuat. Lokasi hotel ini sememangnya sangat strategik kerana terletak di tengah-tengah Bukit Bintang. Plaza Low Yat hanya terletak di belakang bangunan hotel ini. Jika ingin ke Pavilion, ianya hanyalah mengambil masa kira-kira 6 minit jika berjalan kaki (450 meter). Begitu juga jika ingin ke Jalan Alor, hanya mengambil masa kira-kira 4 minit (300 meter). Untuk yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak hanya 500 meter ke Stesen MRT dan juga Stesen Monorel Bukit Bintang. Bagi yang memandu pula, hotel ini ada menyediakan parkir tetapi ianya bukanlah percuma. Pengunjung akan dikenakan bayaran RM5 untuk satu hari. Saya bercadang untuk kembali lagi ke hotel ini dan menginap di bilik deluxe pula.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Sarapan


Hotel


151 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page