Ini merupakan kali kedua saya ke hotel ini. Kali pertama ialah pada 4 Disember tahun lepas. Pada masa itu saya memilih bilik jenis Studio yang berkeluasan 376 kaki persegi tetapi kali ini saya telah memilih bilik yang lebih besar iaitu jenis junior suite yang mempunyai keluasan 484 kaki persegi. Melalui aplikasi booking.com bilik ini berharga RM248.40 (tanpa sarapan). Hotel ini terletak di Jalan Ampang hanya kira2 600 meter dari KLCC. Bagi warga Kuala Lumpur hotel ini lebih terkenal kerana lokasinya yang terletak bersebelahan tanah perkuburan Jalan Ampang. Di hadapan hotel terdapat restoran Nasi Kandar Pelita dan juga Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).
Saya tiba di hotel kira2 pukul 12.30 tengahari dan saya terus sahaja ke kaunter untuk pendaftaran masuk. Pada masa itu tiada pelanggan lain di kaunter. Masa yang diambil untuk proses check-in hanyalah beberapa minit sahaja. Disebabkan bilik saya telah pun sedia, saya terus diberi kad akses. Saya pun menaiki lif untuk ke tingkat 3 dan oleh kerana tiada pengunjung lain pada masa itu, saya tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan lif. Terdapat 4 buah lif di hotel ini.
Dengan keluasan 484 kaki persegi, suite hotel ini memang agak luas. Memasuki bilik, bilik air terletak di sebelah kanan dan selepas itu terdapat almari untuk pengunjung menyangkut baju dan meletakkan pakaian. Pintunya jenis gelongsor di mana ianya berkongsi dengan pintu bilik air. Apabila pintu bilik air ditutup, almarinya akan terbuka dan begitulah sebaliknya. Di dalam almari ini terdapat juga seterika dan papan seterika.
Memasuki ruang katil pula, satu katil king terletak di sebelah kanan sementara di sebelah kiri pula terdapat satu kabinet yang diletakkan TV bersaiz mungkin 46 inci. Di tepi kabinet ini terdapat rak yang boleh dibuka menempatkan peralatan untuk membancuh kopi serta satu peti ais mini di bawahnya. Bertentangan dengan kabinet TV ini terdapat satu sofa separa bulat yang agak besar untuk pengunjung berehat sambal menonton TV. Di hujung kiri sekali terdapat satu rak panjang serta satu meja study yang agak besar serta 2 kerusi di hadapan serta di belakangnya. Terdapat lampu study dilekatkan di dinding berhampiran meja study. Lantai bilik hotel ini diperbuat dari kayu dan tidak ditutupi dengan karpet. Untuk view pula, bilik yang saya inap ini menghadap ke Menara Kuala Lumpur.
Bilik airnya pula agak luas menempatkan sinki, tandas, ruang untuk shower dan juga bathtub. Saiz bathtub agak besar dan ruang untuk shower adalah separa terbuka (tanpa pintu). Terdapat 2 jenis shower iaitu jenis pegang dan juga siling. Tekanan air di bilik air adalah kuat. Tandasnya pula ada disediakan salur paip untuk keselesaan pengunjung. Peralatan mandian adalah lengkap disediakan termasuklah berus gigi serta tuala muka dan juga tangan. Walau bagaimanapun hotel ini tidak menyediakan jubah mandi (bathrobe) tetapi boleh diminta jika pengunjung mahu. Dinding bilik air mengadap katil adalah cermin seratus peratus lut sinar tetapi terdapat langsir disediakan bagi menutupi bilik airnya (langsirnya adalah di luar). Selain itu pintu gelongsor bilik airnya tidak boleh dikunci.
Hotel ini mempunyai pool yang terletak di tingkat 3 hotel. Poolnya adalah indoor dan saiznya tidaklah besar, kecil sahaja. Kawasan pool juga agak kecil di mana terdapat kerusi2 untuk pengunjung bersantai. Pool dibuka dari jam 7 pagi hingga ke 10 malam. Di tingkat yang sama terdapat gimnasium bagi mereka yang suka bersukan dan bersenam.
Hotel ini juga menyediakan wifi percuma dan agak laju di mana kelajuannya mencapai 15mbps. Telco pula sangat laju di hotel ini di mana Celcom mempunyai kelajuan 185mbps sementara Tune Talk pula 140mbps. TV pula tidak menyediakan banyak siaran dan siarannya pula bukanlah dalam bentuk HD. Parking disediakan di basement hotel dan ianya adalah percuma. Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.
Secara keseluruhannya hotel ini agak berbaloi bagi saya dengan harga serta keluasan biliknya. Lokasinya yang terletak berhampiran dengan KLCC mungkin menjadi satu daya tarikan untuk pengunjung menginap di sini. Hotel ini juga berdekatan dengan Pintasan Saloma iaitu hanya kira2 650 meter sahaja. Walaupun biliknya agak lama, ianya dijaga dengan agak baik di mana kebersihan bilik adalah memuaskan. Cuma mungkin menjadi masalah bagi yang membawa keluarga kerana bilik airnya yang lut sinar serta tidak boleh di kunci. Penghawa dingin di dalam bilik juga agak bising dan bantal yang disediakan agak tidak selesa bagi saya tetapi itu tidak menghalang untuk saya tidur dengan lena.
Bilik
Bilik Air
View dari Bilik
Pool
Hotel
Pintasan Saloma
コメント