top of page
Search
hanuds

Hotel Indigo Kuala Lumpur on the Park (17-18/1/24)

Dari Sepang saya pulang ke Kuala Lumpur tetapi singgah bermalam di satu hotel di bawah rangkaian IHG. Hotel ini terletak di Jalan Puncak off Jalan P Ramlee dan baru sahaja memulakan operasinya pada 8 December yang lepas. Lokasinya betul-betul di bawah Menara Kuala Lumpur dan bersebelahan pula dengan Hotel Pacific Regency. Saya telah menempah bilik hotel ini menggunakan aplikasi IHG dan bilik standard hotel ini berharga RM360 (tidak termasuk cukai RM21.60 dan juga sarapan pagi).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2.10 petang dan terus sahaja ke lobi untuk proses daftar masuk (check-in). Lobi hotel ini agak besar dan hiasannya cantik. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan saya telah diberi minuman percuma (welcome drink) iaitu air nenas yang diletakan di dalam bekas yang cantik. Oleh kerana bilik saya telah pun sedia, saya terus diberi kad akses bilik yang terletak di tingkat 16. Hotel ini mempunyai hanya 2 buah lif dan oleh kerana pengunjung tidak ada pada masa itu, masa untuk menunggu lif tidaklah lama.


Apabila saya memasuki bilik, saya sangat teruja dengan hiasan dalaman (interior) hotel ini yang sangat cantik dan berlainan dari hotel yang lain. Bilik standard hotel ini agak besar dengan keluasan 344 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat satu ruang di sebelah kiri pintu masuk di mana di ruang ini terdapat tempat untuk menyangkut baju yang terbuka. Di sini juga terdapat rak untuk meletakan beg dan barang-barang. Rak tersebut mempunyai laci di bawahnya dan di dalam laci tersebut terdapat peti simpanan keselamatan. Di bahagian ini juga terdapat seterika dan papan seterika serta 2 pasang jubah mandi (bathrobe) yang digantung. Di sebelah kanan pintu masuk pula adalah bilik air yang mempunyai pintu yang cantik dan klasik.


Di ruang katil selain satu katil king terdapat satu sofa yang sederhana besar di sebelah kiri katil. Antara sofa dan katil terdapat satu meja yang agak besar dan meja ini boleh dijadikan tempat untuk bermain congkak (terdapat lubang-lubang di atasnya). Di sebelah sofa terdapat meja kerja yang agak besar dan juga sebuah kerusi untuk pengunjung melakukan kerja pejabat di sini. Di atas meja ini terdapat satu lampu bacaan. Di dinding bersebelahan dengan meja ini terdapat satu rak dan almari tertutup yang sangat cantik. Di sini diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh serta beberapa hiasan yang lain. Di dalam almari pula terdapat mesin membancuh kopi serta peti sejuk mini. Di dalam almari ini juga terdapat laci di mana di dalamnya terdapat biskut dan kekacang. Di dalam peti sejuk mini pula terdapat banyak air minuman tetapi kesemua ini perlu dibeli dan bukannya percuma, hanya kopi dan teh serta air mineral sahaja yang percuma. Hotel ini menyediakan air minuman yang unik kerana diletakan di dalam kotak dan bukannya di dalam botol plastik ataupun kaca seperti kebanyakan hotel. Hotel ini menyediakan TV yang sangat besar bersaiz 65 ataupun 70 inci yang dilekatkan di dinding bertentangan dengan kaki katil. Hotel ini tidak menggunakan langsir untuk menutupi cermin tingkapnya, hanya menyediakan 2 lapisan bidai sahaja yang boleh diturunkan atau dinaikan.


Bilik air hotel ini juga cantik menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Saiz bilik airnya agak besar begitu juga ruang untuk pancurannya yang ditutupi dengan cermin seratus peratus lutsinar. Hotel ini menggunakan mangkuk tandas yang terdapat paip di bahagian dalamnya dan tidak menyediakan gelung paip. Di ruang pancuran pula, terdapat 2 jenis pancuran disediakan iaitu pancuran jenis siling dan juga pegang. Di satu sudut dinding ruang pancurannya merupakan cermin yang seratus peratus lutsinar tetapi terdapat bidai yang boleh ditutup dari sebelah dalam. Hotel ini hanya menyediakan tuala sahaja termasuklah tuala tangan dan juga tuala muka. Untuk peralatan mandian yang lain seperti berus gigi, pengunjung perlu menghubungi hotel dan pihak hotel akan menghantarnya ke bilik.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di Tingkat 25 iaitu di bahagian atas bangunan (rooftop). Saiz kolam renangnya agak besar dan mempunyai lanskap serta pemandangan yang cantik. Kolam ini dibuka pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 8 malam. Walau bagaimanapun tidak terdapat kolam renang untuk kanak-kanak di hotel ini. Di tepi kolam renang ini juga terdapat sebuah gimnasium yang sederhana besar tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan tidaklah laju, hanya mempunyai kelajuan sekitar 14mbps sahaja. Telco pula laju di mana CelcomDigi mempunyai kelajuan sehingga 205mbps sementara Tune Talk pula 86mbps. Siaran TV pula agak banyak dan kebanyakannya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi tidak begitu kuat dan agak susah untuk mengawal suhu airnya. Hotel ini adalah antara hotel yang menyediakan gel mandian yang sangat wangi. Hotel ini juga menyediakan servis in-room dining sehingga pukul 11 malam. Bagi yang membawa kenderaan pula, hotel ini hanya menyediakan parkir valet yang berharga RM20.


Secara peribadi saya sangat suka dengan hotel ini kerana hiasan dalamannya yang sangat cantik. Pencahayaan di dalam bilik juga cantik serta seimbang di setiap sudut. Hotel ini menggunakan lampu automatik yang mempunyai sensor (tidak perlu meletakan kad untuk memasang lampu), begitu juga lampu di dalam bilik airnya. Bukan sahaja bilik, bahagian-bahagian lain di hotel ini juga mempunyai hiasan yang cantik. Kakitangan hotel ini sangat baik, mesra dan ramah. Dari segi lokasi pula, hotel ini terletak sangat dekat dengan Menara Kuala Lumpur. Untuk ke KLCC, jarak dari hotel ini ialah sekitar 950 meter dan untuk ke Pavilion Bukit Bintang pula, jarak dari hotel ini ialah 1.1 km. Saya bercadang untuk kembali lagi ke hotel ini dan menginap di suitenya pula.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Hotel


Pemandangan dari Hotel


83 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page