Hotel Grand Continental Kuala Lumpur (5-6/4/25)
- hanuds
- 5 hours ago
- 3 min read
Minggu ini saya ke satu hotel yang telah lama dibuka. Seingat saya hotel ini telahpun beroperasi sejak tahun 80an lagi dan ianya adalah antara hotel yang agak popular ketika itu hinggalah ke awal tahun 90an. Hotel ini letaknya di Jalan Belia iaitu di antara dua jalan utama, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan juga Jalan Raja Laut. Saya menggunakan aplikasi Trip.com untuk menempah bilik di hotel ini dan saya telah memilih bilik jenis Premium Double yang hanya berharga RM135.70. Harga ini termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.20 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk proses daftar masuk. Lobi hotel ini agak luas dan selain kaunter terdapat juga sebuah restoran di aras yang sama. Proses daftar masuk sangat pantas dan oleh kerana bilik saya telahpun sedia, saya terus menerima kad akses bilik. Saya menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di Tingkat 18 dan hotel ini mempunyai tiga buah lif.
Dengan hanya keluasan 182 kaki persegi, bilik Premium ini adalah bilik terkecil di hotel ini. Memasuki bilik terdapat almari berpintu gelongsor di sebelah kiri pintu masuk dan saiznya agak besar. Di dalam almari selain terdapat tempat untuk menyangkut baju, terdapat juga peti simpanan keselamatan, seterika serta papan seterika.
Di ruang katil, selain satu katil king terdapat satu sofa bujang dan juga meja bulat kecil di sebelah kiri katil. Di penjuru kanan kaki katil pula terdapat satu meja kerja yang agak panjang serta sebuah kerusi. Di atas meja ini terdapat sebuah lampu bacaan. Di sebelah kirinya ditempatkan peti sejuk mini dan di dalam laci pula terdapat perkakas untuk membancuh minuman. Di sebelah meja kerja ini terdapat satu para untuk pengunjung meletakkan barang-barang mereka. Hotel ini menyediakan TV yang kecil, hanya bersaiz 32 inci.
Bilik air pula terdapat di sebelah kanan pintu masuk dan saiznya kecil sahaja. Di dalamnya terdapat singki, tandas serta ruang untuk pancuran. Gelung paip ada disediakan di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula terdapat dua jenis pancuran. Ruang ini hanya dipisahkan dengan separa cermin yang seratus peratus lutsinar. Hotel ini ada menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi serta tuala tangan. Bilik yang saya inap ini mengadap ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Sebagai hotel berstatus 4 bintang hotel ini juga mempunyai kolam renang yang terdapat di Tingkat 11. Saiz kolam renangnya agak besar dan selain kolam renang dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Waku kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 7 malam. Selain kolam renang hotel ini juga mempunyai gimnasium tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi. Hotel ini juga ada menyediakan parkir dangan bayaran RM3 untuk sekali masuk.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju di mana kelajuannya mencecah 78mbps (muat turun) dan 55mbps (muat naik). Untuk telco pula, Tune Talk berkelajuan 270mbps sementara CelcomDigi pula 224mbps. Hotel ini hanya menyediakan siaran TV asas dan ianya bukan di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi kuat cuma saya tidak begitu gemar dengan ruang pancurannya yang terbuka dan agak sempit. Untuk menu makanan pula, ianya agak murah dan saya sempat mencuba laksa kari yang berharga RM25.50 serta teh o ais limau yang berharga RM8. Bagi saya ianya agak sedap. Untuk daftar keluar, saya meminta sehingga pukul 1.00 tengahari dan ianya adalah percuma. Jika sehingga ke pukul 6 petang, pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM100.
Jika dilihat di sekitar hotel ini, pengunjung akan tahu yang hotel ini telah lama beroperasi. Perabut serta kelengkapanya sangat lama tetapi ianya diselanggarakan dengan baik. Dari segi kebersihan pula, ianya bersih dan pengunjung akan selesa menginap di sini. Jika tidak kisah dengan identitinya yang ‘old skool’, hotel ini boleh dijadikan tempat menginap jika pemgunjung ingin ke Kuala Lumpur kerana harganya yang murah. Dari segi lokasi pula, hotel ini terletak berhampiran Chow Kit (hanya 500 meter untuk ke Pasar Chow Kit) dan 1km untuk ke World Trade Centre (WTC). Kepada yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak 850 meter untuk ke Stesen LRT Bandaraya.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Makan
Pemandangan dari Bilik
Comments