Minggu ini saya ke satu hotel yang telah lama beroperasi di Petaling Jaya. Hotel ini letaknya bersebelahan dengan Lebuhraya Persekutuan (Federal Highway). Di hadapannya pula adalah Hotel Sheraton. Saya membuat tempahan bilik menggunakan aplikasi Booking.com dengan memilih bilik jenis Premier Deluxe yang berharga RM183.60 dan harga ini tidak termasuk sarapan pagi.
Saya tiba di hotel sekitar jam 1.00 tengahari dan terus sahaja membuat proses daftar masuk (check-in). Lobi hotel ini terletak di tingkat bawah hotel dan selain kaunter terdapat juga sebuah restoran di aras yang sama. Pada masa saya tiba pengunjung restoran sangat ramai untuk makan tengahari dan suasananya sangat bising hinggakan saya merasa agak tidak selesa. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan hotel ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM100. Oleh kerana bilik saya belum lagi sedia, saya diminta untuk menunggu sehinga jam 1.30 tengahari.
Pada pukul 1.30 tengahari saya kembali ke kaunter dan kakitangan bertugas terus memberi saya kad akses bilik. Selain kad akses saya menerima juga satu baucer percuma Decathlon bernilai RM10 (Decathlon terletak di belakang hotel ini). Bilik saya terletak di Tingkat 22 (iaitu di Tingkat Premier) dan saya telah diberi bilik jenis Grand Deluxe di mana biliknya lebih luas. Terdapat 3 buah lif di hotel ini dan masa menunggu tidaklah lama kerana pengunjung hotel tidaklah ramai, tetapi pergerakan lifnya agak perlahan (mungkin disebabkan ianya jenis lama). Dari pemerhatian saya hotel ini mungkin baru sahaja diubahsuai (refurbished) kerana ianya kelihatan agak baru.
Bilik Grand Deluxe ini mempunyai keluasan 398 kaki persegi dan ianya luas. Sebaik memasuki bilik terdapat sebuah almari berpintu di sebelah kanan pintu masuk. Saiz almari ini sederhana besar dan di dalamnya terdapat peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika. Di sebelah almari ini terdapat kabinet menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula terdapat para yang diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di hujung para ini terdapat tempat meletakan beg yang boleh dilipat.
Ruang katilnya luas menempatkan satu katil king. Di sebelah kanan katil terdapat satu sofa bujang dan juga meja empat segi sama yang kecil. Di sudut tingkap terdapat satu lampu tidur. Bertentangan dengan kaki katil pula diletakan TV berukuran 40 inci. Di bawah TV ini adalah para yang panjang di mana di sebelah hujungnya dijadikan meja kerja. Di bahagian ini diletakan satu kerusi dan di atas meja pula terdapat satu lampu bacaan. Bilik yang saya inap ini mengadap ke Hotel Sheraton dan rekabentuk dalamannya tidak sama seperti di Trip.com ataupun Booking.com dan mungkin ianya telah diubahsuai (refurbished).
Bilik airnya juga luas menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip disediakan di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula ada disediakan pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang pancurannya agak luas dan hanya ditutupi separa dengan cermin seratus peratus lutsinar. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tetapi hanya menyediakan tuala mandi.
Hotel ini tidak mempunyai kolam renang oleh itu ianya hanyalah berstatus 4 bintang. Walaupun begitu hotel ini mempunyai gimnasium tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining tetapi menunya tidaklah banyak. Walau bagaimanapun harga makanan di hotel ini bagi saya murah jika dibandingkan dengan hotel-hotel yang lain. Saya mencuba nasi goreng kampung berharga RM30 (tidak termasuk cukai SST 6%) dan rasanya sedap bagi saya. Hotel ini juga ada menyediakan parkir dan ianya percuma bagi pengunjung hotel.
Di dalam bilik wifi yang disediakan mempunyai kelajuan maksima 93mbps untuk muat turun dan 83mbps untuk muatnaik. Celcom pula mempunyai kelajuan 348mbps sementara Tune Talk pula 95mbps. Siaran TV pula tidaklah banyak dan juga bukan di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya agak gemar mandi di pancurannya.
Secara peribadi hotel ini agak murah jika dibandingkan harga dengan keluasan biliknya. Cuma bagi saya bilik yang baru sahaja diubahsuai ini tidak seperti bilik sebelum ini yang nampak lebih cantik dan mewah (ini hanyalah berdasarkan gambar sahaja kerana saya tidak pernah ke hotel ini). Walaupun biliknya luas tetapi ruangnya tidak dimanafaatkan sepenuhnya. Hiasan dalamannya (interior) juga sangat ringkas. Pencahayaan di dalam bilik juga agak malap dan di kepala katil terdapat lampu yang bagi saya tidak sesuai.
Hotel ini memang tidak sesuai bagi yang ingin bersantai dan berehat di hotel memandangkan biliknya yang tidak begitu cantik serta tidak mempunyai kolam renang. Ianya boleh dijadikan tempat bermalam bagi yang ingin bersiar-siar di sekitar Petaling Jaya atau untuk ke Kuala Lumpur kerana harganya yang agak murah (di bawah RM200). Lokasi hotel ini hanyalah 450 meter dari Stesen LRT Asia Jaya. Jika enggan membawa kenderaan pengunjung boleh sahaja ke Kuala Lumpur dengan menaiki LRT.
Bilik
Bilik Air
Hotel
Pemandangan dari Bilik
Comments