top of page
Search
hanuds

Hotel Aman Kuala Lumpur (29-30/7/23)

Jika pada minggu lepas staycation saya ialah di hotel bertaraf 5 bintang, pada minggu ini saya memilih satu hotel bertaraf 2 bintang. Hotel yang terletak di Jalan Barat, Imbi ini baru sahaja dibaik pulih dan dibuka semula selepas pandemik. Saya menempah bilik deluxe menggunakan aplikasi Trip.com. Bilik ini berharga RM148.23 tetapi selepas ditolak trip coins saya hanya perlu membayar RM88.33 sahaja. Harga ini adalah tanpa sarapan pagi.


Saya tiba di hotel tepat pukul 1 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk (check-in). Lobi hotel ini agak luas dan kemas serta agak cantik. Proses untuk check-in mengambil masa hanya beberapa minit dan pengunjung akan dikenakan deposit sebanyak RM100. Selepas menerima kad akses saya terus sahaja menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 8. Terdapat 2 buah lif di hotel ini dan oleh kerana tiada pengunjung lain pada masa itu, masa untuk menunggu lif tidaklah lama.


Bilik deluxe hotel ini tidaklah besar tetapi tidak juga begitu kecil. Ianya mempunyai keluasan 215 kaki persegi. Memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan pintu masuk. Di bahagian katil pula selain satu katil king terdapat almari berpintu gelongsor di sebelah kiri katil. Saiz almari ini agak besar. Di sebelah almari ini terdapat ruang menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula terdapat peti simpanan keselamatan. Di bahagian paling tepi almari ini terdapat satu ruang kosong yang diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Meja kerja pula terdapat di dinding bertentangan dengan kaki katil dan ianya besar dan panjang. Terdapat satu kerusi yang selesa disediakan untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat di sini. TV bersaiz besar digantung di dinding di atas meja ini. Saiznya mungkin 55 ataupun 60 inci.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Gelung paip ada disediakan di sebelah mangkuk tandas dan ruang untuk pancuran juga kecil menempatkan pancuran jenis siling dan juga pegang. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi dan tuala tangan. Di bilik air juga terdapat pengering rambut yang diletakan di sebelah sinki.


Hotel ini ada menyediakan wifi percuma yang agak laju di mana kelajuannya mencapai 48mbps tetapi ianya agak tidak stabil. Telco pula mempunyai kelajuan 62mbps bagi Celcom, dan untuk Tune Talk pula kelajuannya ialah 42mbps. Siaran TV tidaklah banyak kerana hanya menyediakan siaran asas sahaja tetapi ianya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi sangat kuat dan saya sangat puas mandi di pancurannya. Bilik deluxe ini mempunyai tingkap tetapi ianya tidak lutsinar. Tingkapnya tidak menggunakan langsir, tetapi menggunakan bidai. Bilik yang saya inap ini mengadap ke bahagian belakang hotel, iaitu mengadap ke Pavilion.


Hotel ini tidak mempunyai kolam renang dan parkir juga tidak disediakan tetapi di belakang hotel terdapat parkir awam yang luas untuk pengunjung meletakan kereta mereka jika membawa kenderaan sendiri. Bayaran untuk parkir di sini ialah RM12 untuk satu malam. Hotel ini juga tidak menyediakan seterika walaupun terdapat tempat meletakan seterika di dalam almarinya.


Secara keseluruhannya hotel ini agak berbaloi dengan harga yang saya bayar. Biliknya agak cantik dan bersih. Walaupun biliknya tidaklah besar tetapi ianya selesa jika datang seorang ataupun berdua. Hotel ini betul-betul mengadap ke Bangunan TRX di mana di sini terdapat sebuah taman yang cantik terutamanya di waktu malam. Jarak hotel ini hanyalah kira-kira 650 meter ke pusat membeli-belah Pavilion. Bagi yang menaiki pengangkutan awam pula, hotel ini terletak 650 meter sahaja untuk ke Stesen MRT Bukit Bintang.


Bilik


Bilik Air


Hotel


Taman


151 views0 comments

Comentários


Post: Blog2_Post
bottom of page