top of page
Search
hanuds

Hotel 99 Sepang (19-20/5/23)

Oleh kerana pada hari Sabtu saya akan ke Krabi melalui KLIA (Terminal 2), saya telah memilih satu hotel bajet yang terletak di Kota Warisan. Hotel ini sebenarnya bukanlah terletak betul-betul berdekatan dengan KLIA mahupun KLIA2, tetapi agak dekat iaitu kira-kira 12 km. Melalui aplikasi Booking.com saya telah memilih bilik jenis superior queen yang berharga RM76.20 (tanpa sarapan). Bilik tanpa tingkap ini mempunyai keluasan 150 kaki persegi. Hotel ini sebenarnya adalah deretan kedai yang mempunyai 2 blok sebelah menyebelah yang dihubungkan dengan jejantas di tingkat 1.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 6.45 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk (check-in). Lobinya ringkas sahaja dan proses untuk check-in sangat cepat. Walaupun hotel ini hanya mempunyai 3 tingkat tetapi terdapat sebuah lif. Lorong-lorong ke bilik agak sempit dan agak gelap. Bilik hotel ini sepenuhnya adalah berlantaikan kayu dan agak cantik serta kemas tetapi sangat ringkas (simple). Di hadapan pintu masuk adalah bilik air dan selain satu katil queen, hanya terdapat meja panjang yang kecil di dinding bertentangan dengan kaki katil. Di sebelah kanan meja ini pula terdapat palang besi yang dijadikan tempat untuk menyangkut baju. Di atas meja di sebelah kiri pula diletakan cerek letrik dan juga cawan serta 2 botol air mineral. Hotel ini tidak menyediakan kopi mahupun teh. Di atas meja pula terdapat TV berukuran 37 inci yang dilekatkan di dinding.


Bilik airnya juga kecil menempatkan sinki, tandas dan juga pancuran (shower). Terdapat gelung paip disebelah mangkuk tandas dan ruang untuk pancuran pula adalah terbuka. Terdapat hanya pancuran jenis siling sahaja di bilik airnya. Selain tuala mandi yang saiznya agak kecil, hotel ini juga menyediakan berus gigi, sabun mandi dan juga shampu. Tidak terdapat tuala untuk alas kaki disediakan (agak tidak selesa kerana lantai akan basah selepas mandi).


Wifi di dalam bilik pula laju, mencapai kelajuan 59mbps. Walaupun bilik yang saya inap ini tidak mempunyai tingkap, kelajuan telco juga laju di mana Celcom mempunyai kelajuan 117mbps sementara Tune Talk pula 82mbps. Tekanan air di bilik air pula kuat dan saya menyukai jenis pancuran yang digunakan. Terdapat hanya siaran asas sahaja untuk siaran TV tetapi ianya adalah di dalam bentuk HD. Hotel ini tidak menyediakan seterika di dalam bilik tetapi terdapat seterika dan papan seterika di luar bilik untuk kegunaan pengunjung.


Secara keseluruhannya saya agak berpuas hati dengan hotel ini. Dengan harga hanyalah RM76.20, biliknya agak besar dan selesa. Biliknya kemas cuma terdapat beberapa bahagian dinding bilik airnya yang agak berhabuk dan tidak dicuci sepenuhnya mungkin disebabkan ianya sudah lama tidak digunakan akibat pandemik tempohari. Walaupun jaraknya kira-kira 12km ke KLIA dan KLIA2, tetapi ianya boleh dijadikan transit untuk ke lapangan terbang oleh kerana jarak hotel ini hanyalah 3.7 km ke Stesen ERL Salak Tinggi. Dari Stesen ERL Salak Tinggi pengunjung boleh ke KLIA ataupun KLIA2 dengan menaiki ERL dengan tambang berharga RM4.90.


Bilik


Bilik Air


Hotel


171 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page